Mengapa Berpolitik di Facebook Amalan Yang Tidak Sihat



Hari ini saya menerima satu perkongsian di Facebook oleh seorang pakar psikologi organisasi, Dr. Alizi Alias berkenaan satu kajian terhadapan perdebatan politik di Facebook. Kajian tersebut boleh dibaca di sini: Science Proves It: Political Arguments on Facebook Won't Change Anyone's Mind.

Menurut kajian tersebut, perdebatan politik di media sosial tidak memberikan kesan terhadap mengubah persepsi seseorang. Malahan ia hanya sekadar menjadi tempat untuk pengguna melepaskan geram dan kemarahan. Elemen-elemen negatif ini perlu dijauhi kerana ia meninggalkan kesan yang tidak sihat kepada kehidupan sosial dan psikologi kita serta orang di sekeliling kita.


'Beri Kesedaran'

Ada beberapa sebab mengapa orang suka memberikan pendapat mengenai isu politik. Antara sebab yang paling popular adalah kerana kononnya ingin memberikan kesedaran kepada ahli keluarga dan kawan-kawan di Facebook. Namun, niat yang baik ini selalunya hanya dijadikan alasan untuk bersikap emosi dan melepaskan kemarahan dengan nada yang keras dan menyindir.

Jika benar niat kita adalah untuk memberikan kesedaran maka kita perlu menyampaikan mesej dengan cara yang profesional. Periksa fakta dan kenali audience terlebih dahulu serta sampaikan dengan cara yang berhikmah dan beradab. Berhujahlah dengan sihat dan disokong oleh fakta yang telah disahkan benar.


Makan Diri

Oleh kerana tidak semua kenalan kita mempunyai fikrah yang seiring dengan kita dan mungkin ada di antara mereka yang kita tidak kenal rapat, maka kita perlu berhati-hati apabila mengutarakan pendapat berkaitan politik. 

Elakkan nada menyindir apatah lagi menggunakan bahasa yang kurang sopan. Lebih memalukan jika pendapat kita itu sebenarnya tidak tepat dan hanya menjadi fitnah yang kita bantu sebar-luaskan. Natijahnya, rakan-rakan mula memandang remeh terhadap kredibiliti dan tahap kematangan anda.

Seperti saranan Dr. Alizi, jika anda benar-benar ingin berdebat politik, maka lakukanlah ia di ruang peribadi seperti di group yang tertutup. Tapi jangan pula anda buat fake profile yang memberi lesen untuk anda mencaci-maki dan menghina orang lain. Apatah lagi jika ia dilakukan atas nama agama.

Sekian, terima kasih atas kematangan anda.




Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.