7 Langkah Praktikal Tabayyun Apabila Menerima, Mendengar atau Membaca Sesuatu Berita

Tidak mudah sebenarnya untuk bertabayyun jika anda benar-benar melakukan pemeriksaan fakta seperti yang dituntut dalam Islam. Oleh itu saya berasa sangat takjub jika ada orang yang sangat pantas berkongsi sesuatu penulisan dan claim dia sudah tabayyun - Che Ahmad



"Tabayyun" bermaksud menthabitkan dan menyemak asas kebenarannya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat yang ke-6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”

Seruan untuk bertabayyun apabila menerima, mendengar dan membaca sesuatu berita sudah begitu banyak dan kerap sekali diberitahu kepada umum. Namun, walaupun sudah dipesan berkali-kali, masih banyak berita palsu dan fitnah yang disebarkan oleh orang-orang yang mengaku dirinya Islam. Bahkan orang yang kuat agama juga tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan ini.


Di manakah silapnya?

Berdasarkan pemerhatian saya di media sosial, berita palsu tersebar luas kerana pengguna umumnya tidak mengetahui kaedah yang praktikal untuk meneliti kebenaran berita tersebut terutamanya apabila melibatkan warga emas dan teknologi maklumat.

Saya merumuskan kurangnya common sense dan kemahiran dalam menggunakan teknologi maklumat menjadi faktor utama. Oleh itu, saya tidak berniat untuk menghurai syariat bertabayyun yang sudah kerap dikongsikan. Di sini, saya akan kongsikan "Do's and Don't" serta langkah-langkah yang praktikal untuk memeriksa kebenaran sesuatu berita atau artikel yang dikongsikan. 


LANGKAH 1: Jangan Terus Marah - Rileks Dahulu!

Apabila membaca berita yang membuatkan kita marah dan geram yang membuak-buak, rileks dahulu! Jangan tekan butang share dan post di Facebook atau Whatsapp lagi. Tarik nafas dalam-dalam dan lapangkan dada. 

Kesilapan pertama kita adalah membiarkan tulisan orang lain mempengaruhi emosi kita. Emosi kita adalah milik kita. Maka, jangan biarkan orang lain yang mengawalnya dengan pelbagai sentimen. Ada orang baru baca tajuk sahaja sudah ingin mengamuk! Jangan begitu kawan. Ia hanya  menunjukkan bahawa kita memiliki mental dan emosi yang lemah dan mudah dipengaruhi. 

Luangkan masa atau tempoh bertenang sebelum memberikan apa-apa reaksi. Hanya dengan dada yang lapang barulah fikiran kita kekal waras untuk menilai sejauh mana kebenaran sesuatu berita tersebut.

Simpan dulu artikel tersebut. Jangan share lagi. Jangan berikan apa-apa pendapat semasa makan tengah hari. Solat dan lakukan kerja harian seperti biasa dahulu. Selepas pulang ke rumah atau sebelum tidur anda boleh baca semula artikel tersebut dengan hati yang tenang dan tidak stress.


LANGKAH 2: Baca Keseluruhan Artikel dan Fahami Isu

Setelah menenangkan diri, baca semula keseluruhan tulisan yang dikongsikan dengan teliti. Jangan baca tajuk sahaja. Saya ulang, jangan baca tajuk sahaja! 

Periksa juga tarikh artikel, gambar dan ucapan yang dikongsikan tersebut. Kerap terjadi pembaca berkongsi tulisan lama yang mungkin tidak lagi relevan atau sudah basi.

Apakah isu yang cuba diketengahkan oleh penulis? Kenalpasti poin-poin utama yang menyokong apa yang cuba disampaikan penulis.

Walaupun anda mungkin merupakan ahli dalam bidang yang berkaitan, anda wajar melangkah ke belakang dan lihat dengan teliti isu tersebut daripada pelbagai perspektif sebelum mengutarakan apa-apa pandangan.


LANGKAH 3: Isu Penting Untuk Siapa?


Fahamkan isu yang cuba dibangkitkan oleh penulis dan sejauh mana ianya memberikan kesan langsung kepada kita. Seringkali kita menjadi runsing dengan perkara-perkara atau pertelingkahan orang lain yang tidak memberikan apa-apa faedah pun kepada kita.

Anda adalah orang yang penting dan sibuk dengan pelbagai permasalahan keluarga, kerja dan kehidupan. Adakah isu ini berbaloi untuk kita menggunakan masa dan tenaga kita yang terhad untuk kita marah-marah dan memeriksa kebenarannya? Jika anda rasa ianya tidak penting, maka tinggalkan sahaja berita tersebut dan diamkan diri apabila orang sekeliling berbicara mengenainya. Dengar dan senyum sahaja :-)

Janganlah setiap isu atau perkara kita mesti hendak memberikan pendapat tanpa memahami kedudukan perkara sebenar kerana ia hanya membuatkan orang menyampah dan hilang hormat/kredibiliti terhadap kita. 


LANGKAH 4: Jejak Sumber dan Penulis Asal

Jika anda rasa isu tersebut penting dan memberikan kesan langsung kepada anda, ayuh teruskan ke langkah keempat.

Saya nak tekankan sikit langkah ini dan langkah seterusnya kerana ramai yang mengambil mudah akan kepentingan memeriksa sumber dan si pembawa berita, sedangkan ianya adalah intipati utama syariat tabayyun yang diperintahkan Allah SWT seperti di dalam ayat di atas.

Panjangnya sesuatu artikel itu serta disertakan petikan bijak pandai tidak menjadi artikel tersebut artikel yang berkredibiliti dan benar selagi kita tidak bertabayyun dan mengesahkan ianya sebagai benar.

Banyak tulisan di Facebook atau di blog-blog yang sekadar copy dan paste artikel asal. Ada juga yang ditokok tambah dengan komen sendiri yang tidak berkaitan atau sengaja menimbulkan provokasi agar kita menjadi emosi. Oleh itu, jejaki artikel asal dengan membuat carian mudah Google.

Setelah menjejaki sumber asal, kenalpasti pula siapakah penulisnya. Berbeza dengan budaya barat yang menyebut "Don't shoot the messenger" yang membawa maksud lihat isi, bukan si pembawa berita, Islam menegaskan dalam ayat di atas bahawa si pembawa berita mestilah seseorang yang dikenali siapa dia (bukan fake profile), dan bukan seorang yang fasik (pendosa tegar). Tanya juga soalan-soalan berikut:

Adakah si penulis seorang yang layak berbicara dalam perkara itu? 
Adakah si penulis ada kepentingan peribadi?
Adakah si penulis seorang yang gilakan populariti?
Adakah si penulis mungkin bias dalam tulisannya?
Dan lain-lain lagi...

Seseorang yang bersembunyi di sebalik fake profile antara sebabnya adalah mereka tidak berani bertanggungjawab di atas apa yang ditulis. Oleh itu, tulisan mereka kebanyakannya tidak berintegriti dan tidak berakhlak kerana mereka tidak ada rasa bertanggungjawab dan bimbang jika imejnya terjejas dek tulisan picisannya itu.

"Fake profile ini boleh jadi orang perseorangan atau fake page, fake group, fake blog, fake youtube dan segala macam fake yang lain"


Cara mudah untuk mengenali fake profile di Facebook adalah melalui tanda-tanda berikut:

Lihat gambar profile. Buat carian imej di Google menggunakan gambar profile. Fake profile selalu menggunakan gambar orang lain dan gambar asal akan muncul di carian Google.

Lihat hantaran (post) sebelum ini. Jika hantaran sebelum ini hanya berkisarkan kepada satu perkara sahaja (contoh politik), tidak bercampur aduk dengan perkara-perkara lain yang orang normal buat, maka kebarangkalian fake profile adalah tinggi. Interaksi mereka juga hanya tertumpu kepada perkara  yang sama.

Lihat senarai rakan-rakan dan page likes. Fake profile yang bertugas sebagai cybertrooper politik selalunya adalah orang lelaki yang gila seks. Ada yang menyamar sebagai awek cun dan lelaki sado. Senarai rakan pula penuh dengan awek-awek cun yang mereka stalk dan curi gambar. Waspada jika anda ada ter-add orang sebegini di Facebook. Gambar anda mungkin telah dicuri dan "didagangkan".


Untuk lain-lain tips yang lebih teknikal, boleh rujuk artikel ini.


LANGKAH 5: Periksa Fakta Yang Diberikan

Jika artikel yang dikongsikan itu adalah asli dan penulisnya seorang yang tulen, maka langkah tabayyun yang seterusnya adalah memeriksa hujah dan fakta yang dipersembahkan kepada pembaca.

Jangan sesekali ambil bulat fakta yang dikongsikan hanya kerana si penulis mengatakan ianya fakta. Boleh sahaja si penulis membuat dakwaan palsu atau fakta yang tidak tepat dengan konteks. Berikut adalah checklist tabayyun yang anda perlu lakukan:

Periksa sebarang petikan kata-kata yang dikongsikan sama ada benar kata-kata itu diucapkan sedemikian atau dipetik luar konteks. 

Kaedah Pemeriksaan: Buat carian di Google jika ada media lain yang melaporkan ucapan tersebut. Laporan kejadian yang sama boleh memimbulkan reaksi yang berbeza kerana gaya penulisan.

Periksa sebarang screenshot atau gambar yang dikongsikan kerana screenshot boleh dipalsukan.

Kaedah Pemeriksaan: Buat carian imej di Google (reverse image search). Gambar yang mirip akan muncul dalam hasil carian.

Periksa sebarang laman web yang dikongsikan, adakah ia laman rasmi atau sekadar tulisan di blog yang tidak diketahui siapa penulis asalnya.


Kaedah Pemeriksaan: Lawati laman yang dipautkan dalam artikel tersebut dan periksa alamatnya. 

Buat cross checking dengan carian google jika ada penulis lain yang memetik sumber atau fakta yang sama.


Kaedah Pemeriksaan: Buat carian di Google.

Lihat saluran di mana maklumat itu disebarkan. Adakah saluran yang digunakan itu adalah saluran rasmi atau cuma cicipan oleh puluhan fake profile yang cuba mencipta isu?


Kaedah Pemeriksaan: Buat carian di Google



LANGKAH 6: Baca Pendapat Bertentangan

Langkah seterusnya tidak kurang juga pentingnya kerana penulis mungkin seorang yang bias dan mempunyai kepentingan lain. Sesuatu penulisan, walaupun menggunakan fakta yang benar, boleh  sahaja diolah untuk memberikan maksud tertentu.

Oleh itu, luangkan masa untuk membaca penulisan yang mempunyai pandangan yang berbeza atau bertentangan. Anda mungkin mendapat maklumat baru yang sengaja tidak dikongsikan oleh si penulis. Mungkin isu tersebut ada penjelasannya.

Jika anda sudah mempunyai tanggapan prejudis terhadap sesuatu atau seseorang, anda hanya menjadi pak angguk yang membenarkan sahaja apa yang ditulis walaupun tulisan tersebut adalah tulisan sampah. 

Oleh itu, luaskan pandangan anda dan lapangkan fikiran untuk menilai isu tersebut dari pelbagai perspektif yang berbeza dan secara neutral.

Banyakkan mendengar daripada bercerita sehinggalah anda mempunyai kefahaman yang jelas dalam perkara tersebut. Jika anda tidak tahu, katakan sahaja anda tidak tahu!


LANGKAH 7: Tulis Deraf Sebelum Share Pendapat Sendiri

Akhir sekali, sebelum anda menekan butang enter dan share pendapat anda, tulis dalam bentuk draf dahulu dan simpan untuk dihantar kemudian.

Pandangan anda di sebelah pagi mungkin berubah apabila hari sudah petang. Dan pandangan anda di sebelah petang mungkin berubah apabila hari sudah malam. Hari esok mungkin anda akan lebih tenang dan menyedari bahawa anda terlepas pandang beberapa perkara.

Saya sendiri banyak menulis deraf pendapat tetapi tidak dikongsikan langsung setelah meyedari betapa bodohnya pendapat yang saya cuba sampaikan itu. 

Akhir kata, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.