Rahsia Solat Khusyuk Dan 7 Cara Mudah Untuk Meraihnya

solat khusyuk

 

 

Rahsia Solat Khusyuk Dan 7 Cara Mudah Untuk Meraihnya

Oleh: Che Ahmad

Kepentingan solat khusyuk bagi seseorang mukmin itu tidak dapat dinafikan lagi. Firman Allah SWT:

Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya” (Al-Mukminuun: 1-2)

Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk” (Al-Baqarah: 238)

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.” (Al-Ma'un: 4-5)

Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya” (Al-Baqarah: 45-46)

HAKIKAT SOLAT

Kesedaran dan pemahaman akan hakikat solat yang sebenarnya dan kepentingannya adalah merupakan faktor utama jika kita hendak mendapat solat yang khusyuk. Apakah itu solat? Apakah pengertian solat buat anda? Adakah pemahaman anda terhenti pada solat itu sekadar satu ibadah yang wajib ditunaikan? Di sini saya tidak berhasrat untuk mengolah mengenai pengertian solat dari sudut fiqh yang telah pun kita pelajari sejak kecil tetapi lebih kepada menghuraikan apa yang kita faham mengenai hakikat solat dari sudut ruhaninya.

 

MENGAPA SUKAR MERASAKAN KHUSYUK?

Bagi yang merasa sukar untuk solat dengan khusyuk, dan merasa bahawa Allah berada di satu tempat yang saaaaaangat jauh dan sukar untuk dihubungi, ketahuilah bahawasanya yang jauh itu bukan Allah tetapi hati kita yang sudah dihinggap penyakit cintakan dunia.

Untuk dapat merasakan Allah itu dekat, syaratnya ialah mestilah orang itu beriman dengan sebenar-benarnya, yakni percaya dengan sepenuh keyakinan terhadap kewujudan dan keagungan Allah SWT. Jika imannya telah lemah kerana sudah dibahagikan sebahagian besar hatinya kepada cinta dunia, mustahil ia akan dapat merasakan kedekatan Allah.

Antara sebab mengapa sukar untuk meraih khusyuk di dalam solat adalah kerana banyaknya maksiat yang telah dilakukan yang melanggari perintah Allah. Apabila banyak maksiat yang dilakukan dan hati mulai menjadi hitam, maka sukar untuk kita menerima bisikan nurani dari Allah SWT. Sebaliknya bisikan syaitan yang melalaikan kita pula yang kita dengari. Hati yang keras membatu akibat terlalu mencintai dunia dan diselubungi kejumudan nafsu adalah mustahil untuk disirami dan dibasahi dengan siraman Nur hidayah-Nya.

Hanya ada satu sahaja jalan yang tinggal, iaitu jalan pulang menuju kepadaNya dengan bertaubat. Jika anda melakukan dosa besar seperti meninggalkan solat fardhu atau berzina, maka hendaklah segera bertaubat dan meninggalkan terus perbuatan itu kerana kita tidak tahu bilakah waktu akan berakhir buat kita. Jika ada melakukan kezaliman dan penganiayaan terhadap seseorang, maka segeralah mencari kemaafan dan eratkan silaturrahim. Ini kerana, semua dosa dan kesalahan ini akan menjadi hijab yang menutup dan menghalang perhubungan spiritual kita dengan Allah. Maka, segeralah kembali kepada Allah jika anda sudah tersasar dan janganlah berputus asa dari rahmat-Nya.

Allah SWT berfirman:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), “Aku itu dekat”. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

(Al-Baqarah: 186)

(Baca: Mengapa Hati Mati)

 

ANTARA JASAD DAN RUH

cover bukuSolat adalah merupakan hadiah yang terhebat yang dianugerahkan oleh Allah sebagai bekalan buat hamba-hambaNya yang beriman, yang telah diutuskan ke dunia ini sebagai khalifah di bawah lembayung pengabdian tulus. Solat adalah satu method perhubungan spiritual yang membolehkan sang hamba berhubung secara terus dengan Penciptanya. Melalui solat, kita diberikan peluang untuk menghadap ke bawah Yang Maha Mulia, Raja Segala Raja Kepada Segala Kerajaan di tujuh lapisan Langit dan tujuh lapisan Bumi.

Perhubungan spiritual ini berlaku di peringkat ruh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Apabila kita solat, ketahuilah bahawasanya bukan jasad kita sahaja yang berdiri, rukuk dan bersujud, tetapi ruh kita juga sebenarnya turut bersolat menghadap Allah. Apabila kita solat, ruh kita berpeluang untuk “bertemu” dengan Allah, untuk menyatakan kerinduan kepada Penciptanya dan kepada Syurga yang pernah didiami suatu masa dahulu.

Bukti bahawa solat itu merupakan satu pertemuan spiritual di antara hamba dengan Tuhannya tidak dapat saya persembahkan dengan lojik akal dan pandangan mata zahir yang terhalang oleh hijab dan dalam ruang lingkup dimensi yang kita huni. Ia harus dirasai sendiri dan dilihat dengan mata hati yang bersih dan dengan keyakinan yang mendalam terhadap kewujudan alam ghaib. Harus ditegaskan bahawa penjelasan yang lebih mendalam mengenai apakah ruh adalah dalam rahsia Allah semata-mata.

“Bertanya mereka kepada Engkau Hai Muhammad tentang roh, katakan roh itu adalah urusan Tuhanmu, sedang kamu diberi pengetahuan hanya sedikit saja.”

(Al-Isra’: 85)

galaksiSudi saya lontarkan satu persoalan di sini, siapakah kita yang sebenarnya? Jika anda renung jauh ke dalam anak mata anda apabila berdiri di hadapan cermin, siapakah yang dapat anda lihat? Sesungguhnya, awalan agama itu adalah ma’rifatullah dan untuk kita mengenal Allah kita mestilah melihat ke alam ini dan ke dalam diri sendiri.

Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda [kekuasaan Allah] bagi orang-orang yang yakin, (20) dan [juga] pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tiada memperhatikan? (21)”

(Adz-Dzariyat: 20-21)

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. ditanya:

من أعرف الناس بربه؟
Maksudnya: "Siapa yang paling kenal Allah dari kalangan manusia?"

Rasulullah s.a.w. menjawab:
أعرفهم بنفسه
Maksudnya: "Orang yang paling kenal dirinya".

(Adab Ad-Dunwa wa Ad-Din, Imam Al-Mawardi)

(Ingatlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia, Adam dari tanah; (71) Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan ke dalamnya roh-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (72)”

(Sod: 71-72)

subconscious-300x336Ketahuilah bahawasanya jasad hanyalah satu kepompong yang kita diami di dunia ini dan akan kita tinggalkan apabila kita berpindah ke alam barzakh kelak. Jasad umpama sebuah kereta yang kita sedang pandu, apabila tiba ke destinasi yang dituju, kita akan keluar dari kereta itu. Maka fahamilah hakikat bahawa solat kita bukan sekadar fizikal jasad tetapi ruh kita yang berasal dari-Nya, yang rindu untuk bertemu dengan-Nya. Solat yang tidak diringi dengan ruh adalah umpama solat si mayat kerana hanya jasad sahaja yang bersolat.

Bagi mereka yang telah dihadiahkan dengan keilmuan dan kefahaman mengenai persoalan ruh, solatnya akan menjadi sumber kebahagiaan hakiki yang tiada bandingnya dengan segala kemewahan dunia dan segenap isinya.

Allah SWT berfirman:

Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya (Al-Baqarah: 45-46)

 

ISTIADAT TERAGUNG

Solat adalah merupakan satu istiadat mempersembahkan diri kepada Raja Segala Raja. Istiadat ini mestilah disantuni dengan upacara penuh peradaban dan kecantikan kerana ini adalah merupakan istiadat yang teragung. Penampilan kita, pertuturan kita, persembahan kita mestilah dilakukan dengan penuh rasa takzim terhadap Allah SWT kerana Dialah Raja kepada segala kerajaan di langit dan di bumi. Hiasilah diri dengan pakaian yang cantik dan haruman ketika menghadapNya tanda kita merindukan pertemuan denganNya dan keindahan Syurga milikNya.

solat-jemaah

Istiadat teragung ini bermula semasa kita berwudhuk lagi, iaitu apabila kita mula mensucikan hati dan diri tatkala mendengar panggilan azan.  Apakah pengertian wudhuk buat anda? Adakah ia hanya sekadar satu proses penyucian zahir semata-mata atau lebih dari itu? Wudhuk yang sempurna adalah wudhuk yang bukan sekadar pada zahirnya sahaja tetapi juga pada batinnya, di mana kita dibersihkan daripada dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh pancaindera dan anggota badan. Nabi SAW bersabda:

“Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwudhu’ maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwudhu’ ia bersih dari dosa-dosanya”.

(Riwayat Muslim)

Wudhu'Maka apabila kita berwudhuk, lakukanlah ia dengan penuh perasaan, keinsafan dan pengharapan. Rasakan wudhuk itu sebagai satu upacara mensucikan diri  dengan air yang bercahaya dan menyegarkan jiwa sebelum dibenarkan menjunjung duli menghadap Allah SWT. Apabila disapukan air ke kepala, maka insafilah dosa-dosa yang dilakukan oleh fikiran kita yang liar dan songsang. Apabila disapukan air wudhuk kepada mata, maka insafilah dosa-dosa zina mata yang telah dilakukan selama ini dan begitulah seterusnya sehingga kepada kedua kaki yang melangkah. Setelah menyempurnakan wudhuk, lantas kita membaca doa wudhuk dengan penuh pengharapan:

“Ya Allah, jadikanlah aku golongan orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah aku golongan orang-orang yang membersihkan diri!”

(Riwayat at-Tirmidzi)

Misteri_Solat_Ta_4e80247eaf3faSeterusnya kita berdiri menghadap Kaabah iaitu kiblat di bumi yang berkait langsung dengan kedudukan ‘arasy Allah di atas langit yang ketujuh, bersedia untuk mempersembahkan diri di hadapan Allah. Lalu kita pun mengangkat takbiratul ihram menyerah diri dalam keadaan yang lemah dan hina. Takbiratul Ihram adalah tempat di mana bermulanya segala pantang larang apabila kita berhadapan dengan Allah. Jika niat adalah merupakan “pintu” yang kita buka maka takbiratul ihram adalah ketika mana kita “dimi’rajkan” untuk menghadap Allah SWT. Kata hukamak: “Solat itu adalah mi’raj bagi orang mukmin”.

Kemudian kita pun membaca doa iftitah atau doa tawajjuh sebagai satu kesaksian:

“Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan keadaan lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik…”

al-fatihah-2Setelah mengisytiharkan diri menghadap Allah dan menyatakan kesaksian kita, kita pun bersedia untuk berbicara dengan Allah dengan membaca surah Al-Fatihah. Apakah pengertian surah Al-Fatihah buat anda? Adakah Al-Fatihah ini sekadar bacaan yang wajib dibaca sahaja? Di dalam surah Al-Fatihah terkandung intipati kepada solat yang khusyuk. Ketahuilah bahawa solat adalah merupakan hubungan komunikasi dua hala di antara hamba dan TuhanNya. Cuma hati kita yang kotor mana mungkin akan dapat merasai hubungan spiritual ini yang hanya dialami oleh golongan Nabi dan para salafussoleh. Firman Allah di dalam sebuah hadis Qudsi:

“Aku telah membahagikan solat di antara Aku dan hambaKu, kepada dua bahagian, dan hambaKu akan mendapat apa yang dimintanya. Apabila hamba itu berkata, “Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam” Allah berkata, “hambaKu telah memujiKu.”

Apabila hamba itu berkata “Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang” Allah berkata, “hambaKu telah menyanjungKu.”

Apabila hamba itu berkata “Yang Menguasai Hari Pembalasan” Allah berkata, “hambaKu telah memuliakanKu.”

Apabila hamba itu berkata “Kepada Engkau kami sembah dan kepada Engkau kami meminta pertolongan,” Allah berkata, “ini adalah antara Aku dan hambaKu, dan hambaKu akan mendapat apa yang dipintanya.”

Apabila hamba itu berkata Tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat, bukannya jalan orang-orang yang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat,” Allah berkata, “semua ini adalah untuk hambaKu, dan hambaKu akan mendapat apa yang dipintanya.”

(Riwayat Muslim)

Maka, setiap kali kita solat, cuba renungkan perbualan seorang hamba dengan Allah tatkala kita membaca Al-Fatihah. Perhatikan apa yang kita minta dari Allah di dalam surah Al-Fatihah. Sesungguhnya Allah telah memakbulkan permintaan kita untuk mendapatkan pertolongan daripada Allah, iaitu untuk diberikan petunjuk ke jalan yang lurus. Sesungguhnya janji Allah adalah benar kerana pada hakikatnya, kita semua senantiasa diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah yang membantu kita membezakan antara yang hak dan yang batil, antara yang baik dan yang buruk. Tetapi, oleh kerana hati yang kotor dengan maksiat dan nafsu yang gagal dibendung, kita masih jua memilih kebatilan lantas tambah menjauhkan diri dari jalan yang lurus.

 

Warkah Cinta Agung

Setelah selesai membaca Al-Fatihah, lantas kita pun membacakan ayat-ayat Al-Quran yang lain yang mana ada di antara yang lebih diutamakan oleh Nabi SAW seperti surah-surah lazim dan ayat-ayat yang tertentu. Di sini, kesedaran mengenai tujuan Al-Quran itu diturunkan haruslah dihadam dan dimengerti. Ketahuilah bahawasanya Al-Quran itu diturunkan sebagai panduan untuk manusia terutamanya umat Nabi Muhammad SAW. Di dalamnya terkandung panduan, amaran, ganjaran, pencerahan, cerita dll yang lengkap.

Al-Quran adalah bukti cinta Allah terhadap kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW. Sebagai utusan Allah, cabaran dan dugaan yang diharungi oleh Baginda amatlah berat. Maka, bait-bait Al-Quran lah yang menjadi teman dan panduan Baginda. Bait-bait cinta ini bukan sekadar ditujukan kepada Nabi SAW tetapi juga kepada kesemua umat Baginda yang beriman. Ia adalah mukjizat yang diwariskan kepada kita untuk kita jadikan sebagai teman dan panduan hidup.

Fahamilah dan hadamkanlah surah-surah lazim dan ayat-ayat tertentu yang bermakna buat anda. Apabila dibacakan di dalam solat, maka ketahuilah sesungguhnya bait-bait di dalamnya adalah warkah cinta agung yang menjadi pedoman di kala kita menghadapi kesukaran dan kepayahan hidup.

 

sujud

TOMAKNINAH

Nabi Muhammad SAW bersabda:

Sejahat-jahat pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana ia mencuri dalam solatnya? Baginda menjawab: Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.”

(Riwayat Imam Ahmad)

Suatu masa Rasulullah SAW memasuki masjid, lalu masuk seorang lelaki ke masjid untuk melakukan solat. Selesai solat, ia mendatangi Rasulullah seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salam, Baginda berkata: “Kembalilah ke tempatmu dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum solat".

Lelaki itu lalu solat semula seperti tadi, tetapi Rasulullah SAW tetap menyatakan yang sama iaitu menyuruh lelaki itu solat semula kerana menurut Rasulullah SAW, lelaki itu belum mengerjakan solat (secara sepatutnya). Hal ini berulang sampai tiga kali.

Lalu lelaki itu berkata: Demi zat yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, aku tidak boleh mengerjakan yang lebih baik daripada ini, maka ajarlah aku. Baginda pun mengajarnya: Apabila engkau berdiri menunaikan solat maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagimu, kemudian rukuklah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan engkau rukuk, kemudian bangkitlah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan engkau iktidal, kemudian sujudlah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan sujud, kemudian bangkitlah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan duduk. Engkau buatlah yang demikian itu dalam semua solat engkau.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam mazhab Syafie dan Hanbali, tomakninah adalah rukun solat yang mana tanpanya, solat seseorang menjadi tidak sah. Begitulah pentingnya tomakninah, sehinggakan solat kita menjadi sia-sia jika ditinggalkan. Semua orang tahu maksud tomakninah iaitu menurut syarak ia bererti berhenti seketika dan tidak bergerak-gerak, namun apakah tujuannya?

Di dalam hadis di atas terkandung rahsia meraih solat yang khusyuk yang diajarkan terus oleh Rasulullah SAW kepada kita. Tomakninah bertujuan untuk memberikan kita kekosongan fikiran. Tomakninah bukan sahaja bererti tenang pada anggota badan tetapi juga tenang fikiran:

“Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat(mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa aman, Maka dirikanlah solat itu (sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.”

(An-Nisa: 103)

Apabila anggota badan tenang dan fikiran juga tenang, maka kita akan bersedia (alert) dan fokus.

 

Mode Automatik

DriveSeringkali apabila kita solat dan terlalu mengambil mudah akan perihal solat kita, kita akan mula memasuki mode automatik dan fikiran kita akan segera melayang memikirkan perkara-perkara yang tidak selari dengan apa yang kita lakukan dan apa yang kita sebut ketika sedang rukuk, iktidal, duduk dan sujud. Ini serupa dengan perlakuan kita sewaktu bercakap sambil memandu kereta di mana fikiran kita dapat memproses pemanduan dan keadaan sekeliling jalanraya secara tidak sedar (unconscious) walaupun kita sedang asyik berbual.

Ketidakhadiran minda sedar inilah yang mengakibatkan khusyuk tidak mudah diraih. Dengan tomakninah, yakni dengan diam seketika bagi tujuan mengosongkan fikiran, kita akan berupaya untuk  mengalihkan bacaan dan perbuatan dalam solat dari minda tidak sedar kepada minda sedar (conscious) dan supaya apa yang kita ucapkan itu selari dengan apa yang kita lakukan.

minda tidak sedar

 

Apabila saya mula-mula menyedari akan hakikat ini, saya mula mempraktikkan dengan tidak melafazkan bacaan dalam rukuk dan sujud (tidak diwajibkan melafazkan). Saya hanya diam dan cuba mengosongkan fikiran. Hanya apabila timbul perasaan rendah diri dan hormat dan keinginan untuk membesar dan memuji Allah barulah saya mula membacanya di dalam hati:

“Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya.”

“Maha Suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.”

Maka dapatlah difahami bahawa, sebab untuk kita lakukan sesuatu itu haruslah datang dahulu, jika tidak perbuatan itu adalah sia-sia dan tidak ada maknanya.

333

sequance-solatJika perbuatan/ucapan mendahului sebab, maka jadilah permasalahan kesukaran untuk meraih khusyuk seperti yang kita alami sekarang. Jika kita rukuk dahulu baru hendak mencari dan memahami mengapa kita rukuk dan mengapa kita ucapkan bacaannya, maka rukuk itu lambat untuk dinikmati kerana tidak ada kesedaran yang ikut bersama. Apa yang dilakukan tidak signifikan dan telah terpendam di dalam minda bawah sedar. Permasalahan ini telah lama berlarutan sejak waktu kita kanak-kanak lagi, di mana kita tidak diajarkan untuk mengerti mengapa kita melakukan dan menyebutkan sesuatu rukun itu. Apa yang diajar dalam sukatan hanyalah sifat zahiriah solat sahaja.

 

LAIN-LAIN BACAAN DALAM SOLAT

Ramai yang berpendapat bahawa kita mestilah memahami makna bacaan di dalam solat terlebih dahulu jika mahu meraih solat yang khusyuk, namun hakikatnya ia bukanlah suatu perkara yang menjadi kewajiban. Sebagai contoh, orang Arab walaupun faham namun khusyuk masih juga sukar untuk diraih. Lagi satu contoh, siapa yang tidak tahu akan makna bacaan “Allahu Akbar” setiap kali mengangkat takbir? Semua orang tahu maknanya tetapi berapa ramaikah yang benar-benar memahami dan membesarkan bacaan itu dalam solat ketika menyebutnya?

Maka di sini terkandung rahsia yang seterusnya iaitu, bukanlah makna bacaan yang menjadi faktor utama, tetapi ruh bacaan tersebut, di mana kita mestilah menghadirkan hati ketika membaca segala bacaan yang terkandung di dalam solat. Untuk menghadirkan hati, “sebab dan mengapa” mestilah mendahului perbuatan dan bacaan kita.

 

EMPAT FAKTOR KESEDARAN SOLAT (KHUSYUK)

Dapatlah dirumuskan di sini bahawa khusyuk yang dimaksudkan adalah kesedaran dan ianya terdiri daripada empat (4) faktor/komponen seperti berikut:

1. Perbuatan Fizikal yakni rukun fi’li solat seperti mengangkat takbir, berdiri, iktidal, duduk antara dua sujud dll. Fahamilah hikmah dan fadhilat di sebalik setiap perbuatan dan gerakan di dalam solat.

2. Pertuturan/Ucapan yakni rukun qauli yang dilafazkan oleh lidah seperti membaca surah Al-fatihah dan tahiyyat dll. Fahamilah dan hadamkanlah makna dan pengertian bacaan-bacaan di dalam solat.

3. Fikiran (conscious mind) yakni apa yang anda fikirkan ketika melakukan dua rukun di atas. Fikirkan tentang hikmah dan makna di sebalik setiap perbuatan dan ucapan anda ketika sedang solat. Jika perbuatan dan ucapan tidak selari dengan fikiran yang melayang, adalah mustahil untuk meraih khusyuk.

4. Kesedaran Hati yakni apa sahaja yang anda lakukan di atas sama ada perbuatan, peruturan mahupun fikiran mestilah dibenarkan oleh hati iaitu keimanan.

Untuk meraih kekhusyukan di dalam solat, keempat-empat faktor atau komponen khusyuk di atas mestilah berjalan seiring dan senantiasa hadir serentak. Keadaan serentak ini bolehlah dikatakan sebagai fokus terkumpul yang tertinggi. Tetapi sebagai hambaNya yang lemah, diakui iman senantiasa naik dan turun. Ada ketikanya khusyuk sukar diraih pada ketika iman sedang lemah. Orang yang baru lepas bertaubat nasuha mampu meraih fokus tertinggi ini dengan mudah kerana pada ketika ini keimanan mereka adalah sangat tinggi. Solat mereka pada ketika ini adalah solat yang sangat-sangat-sangat khusyuk.

Cuba nilai di mana keadaan dan kualiti solat anda. Adakah hanya tertumpu kepada perbuatan sahaja ataupun kepada perbuatan dan ucapan tetapi fikiran melayang?

Maka, sebagai orang umum, berdoalah selalu agar kita senantiasa dipelihara dan diberikan keteguhan keimanan dan ketaqwaaan oleh Allah. Berusahalah untuk bersolat di persekitaran yang kondusif dan selalulah berdampingan dengan ahli ibadat dan orang-orang yang soleh. Lakukanlah tomakninah dengan sempurna dan berusahalah mendalami ilmu akhirat. InsyaAllah, khusyuk akan dapat diraih.

Allah SWT berfirman:

(Mereka itu ialah) orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian)

(At Taubah Ayat 112)

 

SOLAT SEBAGAI TANDA KESYUKURAN DAN SUMBER KEBAHAGIAAN

Allah SWT berfirman:

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”  (Al-‘Ankabut: 45)

“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Al-Ra’du: 28)

Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya” (Al-Baqarah: 45-46)

Allah menfardhukan solat kepada umat Nabi Muhammad SAW sewaktu Baginda dimi’rajkan ke tujuh lapisan langit bukanlah untuk menyusahkan kita tetapi sebagai satu hadiah yang menjadi sumber kebahagiaan dan kekuatan buat kita di bumi. Namun segala kelebihan dan keistimewaan solat ini tidak akan dapat kita perolehi jika kita solat tanpa diiringi oleh kesedaran.

Apabila kita telah meraih kekhusyukan, nescaya kita akan memperoleh kerehatan yang dicari-cari di dalam solat selama ini. Namun, janganlah menganggap bahawa solat yang khusyuk itu hanya dikhususkan kepada orang-orang yang alim sahaja. Yang utama ialah untuk kita datang menghadap Allah dalam keadaan berserah diri dan mengharapkan rahmatNya. InsyaAllah, khusyuk itu akan datang jika Allah mengkehendaki. Wallahu’alam.

Di bawah ini saya simpulkan tips dan cara mudah untuk meraih khusyuk di dalam solat melalui huraian yang telah dibentangkan di atas. Akhir sekali, sudi saya kongsikan sebuah lagu di sini. Hayatilah liriknya.

Solat khusyuk adalah bukti cinta kepada Rabb

 

~7 CARA MUDAH MERAIH KHUSYUK~

1. Menghormati dan menyahut panggilan azan dengan menyegerakan solat pada waktunya;

2. Menyempurnakan wudhuk pada zahir dan batin dan menyakini bahawa wudhuk itu dapat membersihkan dosa-dosa kecil;

3. Menyakini akan penghadapan kepada Allah dan menjaga segala pantang larang dan adab ketika menghadapNya;

4. Diam sejenak ketika rukuk dan sujud supaya dapat merasakan kenikmatan rukuk dan sujud itu sebelum menuturkan bacaan yang harus dibaca serta merehatkan fikiran dan memahami pengertian solat pada setiap rukunnya. Hayatilah perbualan spiritual dua hala di antara hamba dengan Allah di dalam surah Al-Fatihah;

5. Segera bertaubat dan menjauhkan diri daripada melakukan dosa besar mahupun dosa-dosa kecil yang kerap dilakukan sehingga mengakibatkan hati menjadi hitam dan menghalang sampainya nur hidayah Allah. Hati pula menjadi keras kerana telah menyerahkan diri kepada nafsu dan godaan syaitan. Seandainya dalam keadaan berdosa, ketahuilah bahawa rahmat Allah itu luas. Serahlah diri dan sambutlah pengampunan-Nya;

6. Mengandaikan solat yang dilakukan itu sebagai solat yang terakhir; dan

7. Merasakan IHSAN

“Apakah itu Ihsan? Baginda menjawab: Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah melihat kamu.

(Riwayat Bukhari & Muslim)

 

 

Abe: Waktu yang terbaik untuk anda mula mempraktikkan tips-tips di atas adalah ketika solat tahajjud di sepertiga malam. Selamat meraih khusyuk.

12 ulasan:

  1. Syukron ya akhi.post ni benar2 bermanfaat

    BalasPadam
  2. Terima kasih tuan. Ilmu yang ana gay bergunapabila. .

    BalasPadam
  3. Tq.input yg baik.1/3 malam memang best

    BalasPadam
  4. Sebelum ni saya cuba eksperimen sendiri cara untuk solat yang khusyuk, ternyata apa yang saya research kan selama ni sama dengan apa yang post ni sampaikan. Alhamdulillah. terima kasih kerana menulis. :)

    -nabil-

    BalasPadam
  5. SYUKRAN! Sgt mbantu :)

    BalasPadam
  6. ALLAH HUAKBAR,ALLAH HUAKBAR,ALLAH HUAKBAR. ribuan tkasih Assmlkm.

    BalasPadam
  7. sangat menatjubkan.....terima kasih atas perkongsian ilmu......semoga allah memberkati hidup mu....

    BalasPadam
  8. Mudah-mudahan kita berjaya untuk khusyuk dalam solat. Insyaalah, sama-sama kita berusaha untuk khusyuk dalam solat.

    BalasPadam
  9. Terima kasih kerana sudi kongsi tips..moga dapat keberkatan dunia akhirat..

    BalasPadam
  10. Alhamdulillah.. Terima kasih atas perkongsian ini. Mudahan kita semua akan kusyuk dalam solat kita. Mudahan Tuan penulis akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. amin..

    BalasPadam

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.