PRU15 - PAS CAPAI MATLAMAT MELALUI PERIKATAN NASIONAL


Lima tahun sekali, Che Ahmad akan cerita pasal politik. Sebab masa tu je lah pun kita semua akan pakat mengundi demi masa depan negara. Jika pada PRU14 rakyat dikejutkan dengan kekalahan BN kepada PH, pada kali ini rakyat dikejutkan dengan kebangkitan PAS yang memenangi kerusi terbanyak mengalahkan parti-parti gergasi lain seperti UMNO dan PKR.

Jadi, apa sebenarnya yang telah berlaku?

Apa yang berlaku adalah tsunami orang Melayu yang telah pun kita lihat semasa PRU14. Penduduk Malay Heartland melibatkan negeri-negeri majoriti orang Melayu telah membuat pilihan yang jelas dan dikuatkan lagi dengan Perlis dan Pahang. 

Orang Melayu masih memilih untuk menghumban perasuah dan kaki sakau cuma pada kali ini, mereka mempunyai pilihan ketiga yang lebih kurang "berisiko" berbanding PH iaitu PN. 

Risiko yang jelas pada kacamata orang Melayu Heartland adalah kehilangan hak istimewa dan ketuanan orang Melayu. Kelebihan kepada PN apabila mereka jelas menyatakan tiada kompromi dengan DAP yang dikatakan memperjuangkan hak sama rata antara kaum (Malaysian Malaysia) dan agenda Kristianisasi. Persepsi atau kenyataan? Itu saya biarkan kepada pembaca untuk menilai. 

Sentimen ini berjaya digunakan oleh PN habis-habisan dengan sambil menyelam minum air. Mereka serang BN kerana rasuah, dan mereka serang PH kerana bangsa dan agama. Selain mendapat semula undi Melayu yang mengundi PH dahulu (atas tiket Bersatu), mereka juga berjaya mencuri sebahagian besar kerusi UMNO (atas tiket PAS). 

Kegagalan pucuk pimpinan UMNO untuk mengubah persepsi rasuah pasca PRU14 telah menyebabkan mereka mengalami kekalahan yang sangat teruk pada PRU kali ini. Ternyata, sentimen di peringkat negeri yang dimenangi di peringkat DUN sebelum ini (Johor dan Melaka) tidak boleh dijadikan indikasi di peringkat Parlimen.


PAS Capai Matlamat

Pertembungan di antara PAS dan DAP tidak dapat disangkal lagi. Kedua-duanya memenangi kerusi terbanyak di dalam PRU15. Bahkan tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa fokus pilihanraya kali ini adalah pertembungan di antara PAS dan DAP. 

Sejarah pertembungan mereka bermula sejak kedua-duanya masih sekapal. Pertembungan di antara right wing PAS dan right wing DAP yang ekstrem tidak dapat diuruskan dan diselesaikan dengan baik oleh pimpinan Pakatan Rakyat pada masa itu. Right wing DAP menuduh PAS taliban dan right wing PAS menuduh DAP komunis. Begitulah tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan sehingga ke hari ini. 

Ia berakhir dengan perpecahan dalaman PAS di antara kumpulan progresif (Parti Amanah Negara) dan konservatif/tradisionalis selepas pemergian Almarhum TGNA yang menjadi tulang belakang kepada pendekatan Islam For All yang telah memungkinkan kerjasama dengan DAP.

Di bawah TGHH, PAS menjadi parti konservatif yang tidak mungkin akan berselingkuh lagi dengan DAP. Bagi PAS, hal yang demikian adalah mafsadah atau mudharat yang terbesar bahkan lebih besar daripada isu-isu rasuah di mana pertimbangan ini telah memungkinkan kerjasama dengan UMNO melalui penubuhan Muafakat Nasional (MN). Pertimbangan ini jugalah yang menghalalkan Langkah Sheraton dan penubuhan Kerajaan Pintu Belakang. Ia tidak bermakna PAS menyokong perasuah atau pengkhianat tetapi keutamaan untuk menumbangkan DAP mendahului segalanya. 

Hakikatnya, PRU15 menunjukkan sebahagian besar orang Melayu mengiktiraf Kerajaan Pintu Belakang ini dan pada masa yang sama menolak UMNO yang imejnya masih terpalit dengan isu-isu rasuah (sebahagian besarnya dikaitkan dengan Zahid).

Musuh tradisi PAS bukan lagi UMNO tetapi DAP. Dalam pertembungan tradisi antara PAS dan DAP ini, PAS telah menang dengan bergayanya.


Pemenang Sebenar

Para penyokong PAS mungkin sedang memanjatkan kesyukuran di atas kemenangan ini di sebalik panji penyatuan ummah. Namun perjalanan politik sejak 2 penggal pilihanraya yang lalu menzahirkan satu konsistensi yang sangat menyesakkan nafas.

Ia bermula dengan perpecahan Pakatan Rakyat (PR) pasca PRU13 yang telahpun berjaya menidakkan majoriti mudah BN pada waktu itu. PAS mengambil keputusan untuk keluar daripada pakatan pembangkang dan menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) pada 16 Mac 2016, setahun selepas pemergian Almarhum TGNA.

Timing PAS keluar PR ini sangat mengecewakan para pendokong Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat tatkala PRU14 menghampiri dan BN sudahpun seperti telur di hujung tanduk di sebalik isu-isu panas seperti 1MDB. 

Ternyata yang akan beroleh kelebihan adalah BN apabila PR berpecah undi. Selama ini, sudah puas Almarhum TGNA menepis provokasi perkauman yang ditimbulkan oleh pihak musuh untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP namun akhirnya mereka berjaya. Apa yang jelas, PAS dengan DAP kini tidak lagi boleh bersama di bawah kepimpinan PAS pasca era ATGNA. 

Motif PAS membentuk blok ketiga bersama IKATAN dan BERJASA menjadi pertanyaan utama pada ketika itu. Di sebalik IKATAN ini adalah individu yang dekat dengan Tun Mahathir semasa krisis yang membentuk UMNO Baru pada 1988. Penyertaan BERJASA dalam Gerakan Tanah Air (GTA) yang diasaskan oleh Tun Mahathir untuk PRU15 juga menimbulkan persoalan.  

Pada masa yang sama, usaha dari dalam untuk menjatuhkan Najib & Rosmah empire giat dijalankan. Kelompok elit melayu memandang berat isu 1MDB yang boleh menjejaskan kedaulatan negara. Setelah usaha dari dalam ini gagal, kumpulan ini telah mengumumkan untuk berkerjasama dengan PR lalu membentuk Pakatan Harapan (PH). 

Lompong sokongan Melayu yang ditinggalkan PAS kini telah diisi oleh Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang diketuai Tun Mahathir. Anwar mendapat tentangan hebat dari pejuang Reformasi kerana menerima tawaran Tun Mahathir. Batang tubuh inilah yang menyumbat mereka ke dalam penjara dengan menggunakan ISA. Batang tubuh ini jugalah yang mengaitkan PAS dengan taliban suatu masa dahulu. 

Dengan tujuan untuk menjatuhkan regim Najib & Rosmah dari luar, Tun Mahathir melalui PH telah berjaya menawan Putrajaya pada PRU14 dan melantik dirinya sebagai PM. Dikatakan perjanjian telah dibuat dengan Anwar untuk dijadikan PM namun setelah 2 tahun berlalu pelbagai dolak dalih diberikan.

Walaupun menerima tekanan hebat, Tun Mahathir masih tidak mahu menyerahkan kerusi PM kepada Anwar. Bahkan, Langkah Sheraton tiba-tiba berlaku di mana Tun Mahathir tidak semena-mena mengumumkan untuk meletakkan jawatan dan Muhyiddin menjadi PM seterusnya melalui sokongan MN. 

Adakah Tun Mahathir sudah nyanyuk atau beliau mempunyai agenda yang lebih besar? Benarkah Tun Mahathir dan Muhyiddin tidak sehaluan atau ianya sekadar lakonan? Adakah tujuan Pejuang dan GTA ditubuhkan sekadar mengaburi mata pihak lawan?

Jika kita memikirkan keadaan semasa di atas premis Bersatu menggantikan UMNO dan PN menggantikan BN, maka garis konsistensi ini akan semakin jelas kelihatan dan matlamat ini semakin hampir menjadi kenyataan apabila lebih ramai pimpinan dan penyokong UMNO meninggalkan parti tersebut. Bahkan berlaku perpindahan undi yang sangat besar daripada BN ke PN dalam PRU15. 

Jika kalian merasakan Tun Mahathir telah tewas teruk kerana kehilangan kerusi tradisinya, maka wajarlah kalian fikirkan semula rantaian kejadian yang telah berlaku. 

Natijah kepada semua ini adalah kita lihat sentimen perkauman yang pernah dimainkan dahulu pada zaman ATGNA semakin menebal dan ini sangat merbahaya kepada keharmonian dan kestabilan negara.


Che Ahmad

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.