Anak Dibuli Atau Membuli? Kedua-Duanya Wajar Dipandang Serius!
Sebagai ibu bapa, kita memang risau jika anak kita menjadi mangsa buli di sekolah. Pelbagai nasihat diberikan dan langkah berjaga-jaga diambil supaya anak kita tidak dibuli. Ada yang hantar anak untuk belajar seni mempertahankan diri, ada yang pilih sekolah swasta yang yurannya masyaAllah, kalah gaji kita yg B40 ni. Macam-macam lagi lah ikhtiar oleh ibu bapa dan pelbagai nasihat yang diberikan oleh pakar supaya anak tidak menjadi mangsa buli.
Namun, apakah ikhtiar ibu bapa supaya anak mereka tidak menjadi pembuli? Jarang kita dengar dan sentuh isu ini dari perspektif si pembuli. Lebih memeranjatkan, ada ibu bapa yang menyokong dan mempertahankan sikap anak mereka itu pula. Apa tidaknya, ibu bapa juga merupakan pembuli tegar! Pembuli jalan raya, pembuli jiran, pembuli staf, pembuli anak sendiri dan macam-macam lagi.
Membuli adalah satu sikap yang sangat-sangat dilarang di dalam Islam. Ini kerana, ianya boleh mendatangkan kecederaan fizikal dan juga kecederaan mental seperti trauma dan kecacatan yang mungkin akan berkekalan sepanjang hidup orang yang dibuli tersebut. Ia adalah satu bentuk penganiayaan dan kezaliman yang sangat-sangat ditegah oleh Allah SWT, seperti firmanNya di dalam surah Al-Ahzab ayat ke-58:
"Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminah tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata."
Nabi Muhammad SAW yang kita cintai juga turut bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari & Muslim:
"Siapa yang merasa pernah berbuat aniaya kepada saudaranya, sama ada berupa kehormatan badan atau harta atau lain-lainnya, hendaknya segera meminta halal (maaf) dari orang itu, sebelum datang suatu hari yang tiada harta dan dinar atau dirham, jika dia punya amal soleh, maka akan diambil menurut penganiayaannya, dan jika tidak mempunyai hasanah (kebaikan), maka diambilkan dari kejahatan orang yang dianiaya itu untuk ditanggungkan kepadanya."
Jadi jelas, perbuatan membuli ini ditegah di dalam agama dan merupakan satu dosa yang nyata, jelas dan tiada kompromi kerana boleh menyebabkan pelbagai kerosakan dan kecederaan kepada orang yang dizalimi.
Dalam ruangan komen video tersebut, ramai netizen turut berkongsi kisah-kisah buli yang tidak diketahui umum. Ada yang cacat kerana dibuli! Astaghfirullah...
Sebagai seorang ibu atau ayah yang mematuhi perintah Allah SWT, sudah tentu kita akan melarang anak kita dari menjadi pembuli. Tetapi, oleh kerana pengaruh rakan-rakan dan pengaruh media, dan pada usia yang masih mentah, anak kita mungkin akan terjebak dalam geng pembuli ini. Kalau lihat pelajar-pelajar MRSM yang didakwa itu, saya yakin tidak semuanya jahat dan cuma terikut-ikut kawan.
Ini satu perkara yang cukup merisaukan saya. Walaupun didikan sudah mencukupi dan anak kita memang baik orangnya, pengaruh rakan sebaya adalah satu faktor yang sangat kritikal dalam pembentukan sahsiah anak kita.
Kita harus terus dan terus mendidik anak-anak dengan menyuburkan rasa kasih sayang sesama makhluk dalam anak-anak kita dan supaya mereka membenci sebarang bentuk kezaliman. Kita mesti bentuk sikap dan personaliti ini dari awal. Supaya mereka boleh menilai sendiri dan menjauhkan diri dari terlibat dalam fenomena buli yang berleluasa sejak dahulu.
Saya secara jujurnya merasakan tindakan yang lebih tegas perlu diambil terutamanya terhadap ibu-bapa itu sendiri. Masa depan anak-anak kecil ini masih boleh diselamatkan.
Wallahualam.
Che Ahmad
Leave a Comment