Secubit politik dan iktibar #15 - Kerajaan Silih Berganti




Musibah dan Hikmah

Apa sahaja musibah yang berlaku adalah disebabkan perbuatan manusia sendiri dan agar mereka mengambil pengajaran dan bertaubat. Allah SWT berfirman:

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” 

(Ar-Rum: 41)

Dan musibah yang berlaku juga terkandung hikmah yang lebih besar di luar pengetahuan makhlukNya kerana Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Firman Allah SWT:

"Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan Allah sebaik-baik perancang (membalas tipu daya)."

(Ali `Imraan: 54)

"Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." 

(Al-Baqarah: 216)

Kerajaan Silih Berganti 

Firman Allah SWT:

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

(Ali 'Imran:26)

Kerajaan 17 bulan yang terbentuk melalui Langkah Sheraton pada awal tahun lalu tidak bertahan lama boleh jadi sebahagiannya kerana ianya terbina melalui jalan yang bathil pada prinsip walaupun mungkin dibenarkan oleh undang-undang manusia (pengkhianatan mandat persekutuan rakyat melalui lompat parti). Satu demi satu negeri telah diambil alih atas kesempatan ini pada waktu itu tatkala pandemik sedang melanda dan akhirnya kini ianya berbalik ke peringkat persekutuan.

Mengambil kesimpulan daripada firman-firman Allah SWT di atas, jika ditakdirkan UMNO-BN kembali berkuasa memegang tampuk utama pemerintahan negara, maka itu pada prinsipnya adalah dengan restu dan kehendakNya. 


Peluang Kedua

Peluang kedua yang diberikan adalah untuk menguji sejauh mana mereka mengambil iktibar dan pengajaran setelah kerajaan mereka jatuh pada PRU14 yg lalu. 

Kaum Yahudi pun Allah SWT berikan peluang berkali-kali, namun mereka tidak mengambil pengajaran dan terus melakukan kerosakan demi kerosakan sehinggalah Allah SWT berjanji akan membinasakan dan menggantikan mereka. 

Allah SWT berfirman:

"Kemudian, Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar."

"Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai."

(Al-Isra': 6-7)

Maka, bagi mereka yang diberikan peluang ini dan mendapat kuasa pemerintahan, laksanakanlah tanggungjawab dengan penuh keinsafan dan ketaqwaan. Sesungguhnya Allah SWT sedang menguji kalian tatkala musibah pandemik dan ekonomi yang sedang melanda negara. Jawatan yang diperolehi adalah merupakan ujian yang sangat berat untuk diterima dan dipikul. Menjadikan pangkat dan jawatan sebagai habuan dan ganjaran adalah bertentangan dengan prinsip agama ini. 

Allah SWT berfirman:

"Barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk. Dan barang siapa yang Dia sesatkan, maka sekali-kali dia tidak akan mendapat penolong bagi mereka selain dari Dia. Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat (diseret) atas muka mereka dalam keadaan buta, bisu dan tuli."

(Al-lsraa: 97)

Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak di hari kiamat ia akan menjadi penyesalan." 

(Riwayat Bukhari)


Kesimpulan

Sebagai rakyat kebanyakan, apa yang kita boleh lakukan adalah dengan mendoakan yang terbaik untuk negara dan agama seraya mengambil kejadian yang berlaku ini sebagai ujian untuk kita berpegang teguh kepada prinsip-prinsip yang haq dan agar kita tidak keterlaluan dan melampaui batas.

Wallahu'alam.

Che Ahmad

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.