CARA PEMASANGAN VYNIL FLOORING JENIS STICKER (SELF-ADHESIVE) A -Z TIPS DAN KAEDAH



Assalamualaikum WBT.

Dalam ruangan DIY kali ini, Che Ahmad nak berkongsi mengenai produk yang menjadi viral sejak PKP dilaksanakan - VYNIL FLOORING. Ye lah masa PKP terkurung di rumah, macam-macam idea datang bila termenung tengok dinding, kebun, lantai dll. Mulalah gatal tangan nak order macam-macam di Lazada atau Shopee. Betul tak? 

Apa-apa pun sentiasa berwaspada apabila bershopping tu sebab keadaan ekonomi kita tidak begitu baik seperti yang Che Ahmad kongsikan dalam artikel lalu.

Che Ahmad sendiri baru pasang vynil flooring jenis pelekat ini di beberapa bilik. Bilik yang pertama adalah learning experience, banyak tersalah langkah dan sebagainya walaupun dah lihat pelbagai tutorial dan tips di Youtube/blog. 

Alhamdulillah bilik seterusnya Che Ahmad dah develop kaedah yang terbaik dan hasil yang lebih kemas. InsyaAllah Che Ahmad nak kongsikan di sini untuk rujukan bersama jika bermanfaat.


PENGENALAN: JENIS-JENIS VYNIL FLOORING


Vynil flooring berbeza dengan lantai kayu tulen dan jenis laminated yang diperbuat daripada serpihan kayu terpakai. Antara kelebihan flooring jenis vynil adalah ia kalis air dan serangga perosak kerana diperbuat dari 100% plastik (PVC). Antara kekurangannya pula adalah ia lebih nipis (1-7mm) dan bukan kayu asli semulajadi yang memiliki keunikan/feel tersendiri.

Dari segi bahan binaan, terdapat pelbagai jenis vynil flooring seperti LVT (luxury vynil tile)WPC (wood composite) atau SPC (stone composite). Semua jenis vynil adalah kalis air. 

Terdapat 3 jenis vynil flooring mengikut kaedah pemasangan:

1. Peel & stick (LVT) - Dilengkapi pelekat atau self-adhesive. Ketebalan dalam 1-2mm.
2. Glue Down (LVT/SPC/WPC) - Lebih tebal (3-4mm) tetapi memerlukan anda meletak lapisan gam sendiri.
3. Click-lock system (SPC/WPC) - Tak pakai gam. Lebih tebal dan keras (4-7mm) dan lebih mahal.

Bagi pengguna biasa yang tidak berpengalaman memasang sendiri lantai vynil, sudah tentu jenis peel & stick lebih digemari ramai kerana lebih mudah dan convenient. Lagipun ramai yang suka main sticker masa kecil kan? Jenis SPC/WPC mungkin lebih mahal tetapi ia lebih tahan lasak dan keregangan/haba tetapi ianya kurang fleksibel berbanding LVT.

Dalam artikel ini, Che Ahmad akan kongsikan tips pemasangan khusus untuk jenis peel & stick. Untuk tips maintenance selepas pemasangan agar lebih tahan lama, Che Ahmad akan kongsikan di penghujung artikel yang akan diupdate selepas 1-2 tahun menggunakannya.


PERALATAN YANG DIPERLUKAN
  1. Pembaris panjang (1 meter)
  2. Sesiku L atau Sesiku T panjang
  3. Pisau tajam
  4. Alas pemotong
  5. Pita ukur
  6. Pensel dan pen marker
  7. Vaccum cleaner (lebih baik jika jenis handheld)
  8. Mop lantai
  9. Kain lembab
  10. Kain kering
  11. Penukul getah (jangan guna hammer)









TIPS & KAEDAH PEMASANGAN VYNIL FLOORING JENIS PEEL & STICK (SELF-ADHESIVE)


LANGKAH 1 - Kenalpasti ruang yang akan dipasang vynil seperti ruang tamu, dapur atau bilik tidur.

(a) Ukur panjang, lebar dan keluasan lantai dalam unit kaki dan meter. Rekodkan untuk rujukan. 


Guna laser finder seperti ini untuk memudahkan mengukur ruang yang besar


(b) Lukis layout bilik dan kenalpasti bentuk bilik seperti segiempat tepat atau memanjang untuk membantu anda memilih susunan pemasangan, warna dan corak yang sesuai agar ruang tidak kelihatan terlalu sempit. Untuk ruang sempit dan memanjang, cuba susunan melintang agar ruang kelihatan lebih luas.





Untuk langkah (a) dan (b) di atas, anda boleh menggunakan perisian floorplanner.com untuk melukis pelan dengan mudah dan tepat. Terdapat pelbagai jenis lantai yang anda boleh cuba dan perabot untuk dipadankan yang boleh dilihat secara 2D dan 3D. Tidak cukup dengan itu, anda boleh render imej 3D untuk gambaran/pencahayaan yang lebih tepat!



(c) Kenalpasti permukaan yang tidak rata. Jika keadaan permukaan terlalu teruk, anda mungkin perlu membuat treatment terlebih dahulu. Anda boleh meletakkan satu lapisan tikar getah gulung di keseluruhan bilik. Ini adalah penting kerana permukaan yang tidak rata akan mengakibatkan bahagian sambungan tidak kemas dan menyebabkan vynil mudah tercabut apabila dipijak.

(d) Jika anda merancang untuk menukar warna cat dinding, tangguhkan dahulu sehingga anda siap memasang vynil flooring. Ini kerana cat lebih murah dan mudah untuk ditukar jika anda tidak berpuas hati dengan skim warna keseluruhan bilik.


LANGKAH 2 -  Pilih Warna dan Corak

Terdapat beberapa kriteria untuk pemilihan warna dan corak yang perlu dipertimbangkan.
  • Padankan warna dengan tema keseluruhan bilik. Adakah tona panas (warm) atau sejuk (cool)?
  • Untuk ruang kecil, pilih warna yang cerah dengan corak yang tidak terlalu besar/menonjol.
  • Corak/alur kayu yang sepadan dengan perabot kayu lain.
Kenalpasti lokasi kedai yang menawarkan corak dan warna yang dipilih dan lihat sendiri dengan mata kasar. Jika kedai online, tanyakan lokasi kedai untuk anda datang melihat sendiri sebelum membuat pesanan. 

Jangan beli tanpa melihat sendiri produk tersebut dengan mata kasar! Ini kerana gambar yang ditunjukkan tidak tepat kerana pencahayaan yang berbeza.

Adalah lebih baik jika anda beli dahulu beberapa keping yang berbeza rekaan dan warna untuk dibawa pulang supaya anda membuat pilihan yang tepat. Buat pesanan hanya selepas anda benar-benar berpuas hati. 

Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya. 

Di bawah ini Che Ahmad senaraikan beberapa kedai pembekal untuk membuat pemilihan dan pembelian (sekadar contoh):

Al Aqsa Carpets

Valoobuy

Carpet Prima Nilai 3
Lokasi Kedai | Laman Rasmi | Lazada | Shopee | FB

FloorDepot

EzyFloor
Lokasi Kedai | Laman Rasmi | Lazada | Shopee | FB

Nota: Anda boleh cuba membeli di kedai RM2 EcoShop tetapi ianya sangat bergantung kepada stok yang terhad dan anda tidak boleh membuat pre-order. 

Maklumkan kepada pembekal keluasan bilik/ruang dan pembekal akan membuat kiraan berapa kepingan atau kotak yang diperlukan. 

Sangat digalakkan untuk tambahkan 10% luas apabila membuat pesanan untuk kepingan yang rosak atau perlu dipotong sebagai spare.

Contoh:

Luas ruang = 300 kp + 10% = 330 kp.


Ingat! Jangan terdesak untuk membuat pembelian kerana stok terhad. Anda boleh membuat pre-order dan sila tunggu dengan penuh kesabaran :)


LANGKAH 3 - Mengatur Susunan Dan Merancang

Sebelum membuang pelekat dan mula memasang, adalah sangat digalakkan untuk anda meletakkan semua kepingan di atas lantai terlebih dahulu tanpa melekatkan. 

Langkah ini sangat penting kerana jika anda tidak merancang susunan dari awal, terdapat banyak kepingan yang akan dibazirkan dan hasil keseluruhan menjadi kurang kemas.

Apabila menyusun, kawasan yang perlu diberikan perhatian adalah bahagian tepi dinding, bucu dan pintu. Rancang strategi bagaimana anda ingin tackle bahagian-bahagian ini dengan kemas. 

Jika terdapat kepingan yang perlu dipotong, susun agar potongan yang akan dibuat nanti tidak terlalu nipis (digalakkan sekurang-kurangnya separuh kelebaran kepingan). Ini kerana kepingan yang terlalu nipis mudah tertanggal. 

Jangan terlalu rapat ke dinding dan elakkan kepingan yang terlalu nipis

Kebanyakan corak adalah random (tidak seperti tile). Oleh itu tidak perlu menyusun mengikut corak. Untuk kepastian anda boleh tanya kepada pembekal jika corak boleh disusun. 


LANGKAH 4 - Bersihkan Lantai Dengan Vacuum dan Mop

Setelah berpuas hati dengan susunan dan pelan strategi anda, ambil gambar dan simpan sebagai rujukan. 

Clearkan bilik dari semua kepingan dan tolak perabot ke tepi dengan ruang yang selesa untuk anda berkerja. 

Vacuum dan mop keseluruhan bilik dengan bersih. Jika perlu lakukan dua kali proses ini. Pastikan permukaan lantai tidak berminyak.


LANGKAH 5 - Lekatkan Barisan Pertama Dengan Kemas

Setelah membersihkan lantai, anda boleh mula melekat barisan pertama.

Lap bahagian lantai yang ingin dilekat dengan kepingan pertama dengan kain basah/kering. Pastikan tiada habuk, rambut dan sebagainya. Gunakan vacuum tangan jika perlu. 

Jika anda melekat di atas tile sedia ada, gunakan garisan tile sebagai panduan. Jangan gunakan garisan dinding sebagai panduan kerana dinding anda tidak semestinya lurus.

Jangan rapatkan kepingan ke dinding. Tinggalkan 2-3mm jarak dari tepi dinding. 

Perhatikan anak panah di pelekat (jika ada). Tanggalkan 1/3 pelekat secara perlahan-lahan dan lekatkan mengikut arah anak panah. 



Tekan dengan telapak tangan semasa melekatkan kepingan sehingga habis pelekat ditanggalkan. 

Ronyokkan kertas pelekat dan terus buang di dalam tong sampah. Jangan biarkan bersepah kerana ia akan mengganggu kerja anda (akan ada banyak kertas pelekat yang ditanggalkan semasa memasang!)

Gunakan penukul getah dan ketuk keseluruhan permukaan kepingan terutamanya di bahagian tepi dan sambungan.

Lekatkan kepingan-kepingan seterusnya. Rapatkan bahagian sambungan tanpa meninggalkan ruang.

Jika terdapat kesalahan semasa memasang, anda boleh tanggal semula kepingan dengan perlahan-lahan, tetapi jangan dilakukan banyak kali kerana kekuatan gam akan berkurangan. Betulkan kesalahan memasang dengan segera. Jangan biarkan sehingga kepingan lain dipasang. 

Barisan pertama adalah sangat penting. Pastikan lurus dan lekatkan kepingan rapat-rapat.

Penting: Jangan lekat barisan seterusnya sebelum anda selesai barisan pertama sehingga ke hujung.




LANGKAH 6 - Lekatkan Barisan Kedua

Setelah selesai barisan pertama, anda boleh sambung ke barisan kedua. 

Jika anda memilih susunan jenis random/bata, anda perlu memotong kepingan kepada dua sebagai permulaan barisan kedua. 

Ukur panjang kepingan dan bahagi dua. Simpan ukuran ini kerana setiap kepingan yang dipotong harus sama panjang. Buat garisan dan potong menggunakan pisau dan sesiku L. 

Potong dengan selurus-lurusnya. Tidak perlu tekan pisau dengan kuat kerana kepingan boleh dipatahkan dengan mudah dan kemas setelah dipotong. Yang penting lurus!



Bahagian tepi yang dipotong diletakkan ke arah dinding/tepi. Jangan gunakan bahagian tepi yang dipotong untuk sambungan kerana potongan anda tidak semestinya sentiasa lurus.

Bahagian tepi yang dipotong tidak lurus diletakkan ke arah dinding/tepi, bukan ke arah sambungan. Bahagian tidak lurus ini boleh ditutup dengan skirting.


Tolak kepingan semasa melekat untuk rapatkan sambungan dengan barisan pertama. Jangan tinggalkan sebarang ruang.

Jangan tolak atau bengkokkan kepingan dengan keterlaluan kerana kepingan boleh patah. 


Seterusnya untuk kepingan kedua di barisan kedua, mula lekatkan bahagian bucu kepingan. Rapatkan dengan kepingan tepi dan barisan pertama. 

Terus melekatkan barisan kedua. Ingat... jangan lekatkan barisan seterusnya sehingga selesai sampai ke hujung.

Guna baki kepingan yang dipotong tadi untuk hujung barisan pertama/kedua. Jangan tinggalkan lompong di antara barisan!


Jangan tinggalkan lompong seperti ini. Lekatkan sehingga ke hujung sebelum memulakan barisan seterusnya!



LANGKAH 7 - Sambung Melekat Barisan-Barisan Seterusnya

Sambung lekat barisan ketiga dan seterusnya.

Jika perlu, mop dan vacuum kembali lantai kerana habuk boleh berterbangan dari kipas, rambut kita mungkin ada yang gugur dan tapak kaki yang berminyak dan berpeluh. 

Setelah melekat banyak kepingan, anda mungkin sudah develop kaedah tersendiri untuk melekat dan memotong kepingan. 

Apa yang penting ialah setiap kepingan melekat dengan baik dan sambungan dibuat rapat-rapat dan kemas. Sebarang ukuran mestilah tepat dan kepingan dipotong dengan lurus.

Ingat, selesaikan satu baris sehingga ke hujung. Terus lekatkan bahagian yang tidak penuh menggunakan kepingan yang telah dipotong sebelum mula barisan seterusnya.

Jika boleh, letakkan benda berat di atas kepingan yang baru dipasang. 



LANGKAH 8 - Potong Kepingan Untuk Bahagian Tepi Dinding

Apabila hampir keseluruhan bilik telah ditampal, kini tinggal bahagian tepi dinding yang memerlukan kepingan dipotong.

Perkara yang terpenting di sini adalah ukuran dan potongan anda mestilah tepat untuk hasil yang lurus dan kemas.

Ingat, jangan gunakan bahagian tepi yang dipotong sendiri sebagai sambungan selagi boleh.

Jika anda telah merancang susunan dengan baik, sepatutnya tidak ada potongan yang terlalu nipis atau terlalu janggal.

Jika terdapat bahagian tepi yang tidak lurus dengan barisan-barisan lain, lukiskan garisan lurus dan gunakan pahat atau butcher knife yang rata dan ketuk dengan hammer untuk membuang lebihan.

Jika perlu, buat kemasan dengan memasang kepingan secara melintang dengan barisan lain setelah bahagian-bahagian tepi ini diluruskan dengan kemas.  


LANGKAH 9 - Survey Bahagian Yang Tidak Kemas

Jika terdapat kepingan yang tidak kemas atau tidak melekat dengan baik, ketuk dengan penukul getah dan letakkan benda berat. 

Jika perlu, sediakan gam tambahan untuk bahagian yang tidak rapat tersebut. 


Beli gam vynil dalam kuantiti yang kecil untuk baiki bahagian yang kurang melekat



LANGKAH 10 - Mengemas Ruang

Alhamdulillah selesai pasang. Tahniah!

Pastikan ruang berada dalam keadaan kering sehingga kepingan melekat dengan baik.

Jangan mop lantai dengan basah kerana gam boleh tertanggal dan menyebabkan kepingan menjadi longgar. Gunakan vacuum atau sapu lantai sahaja untuk beberapa hari. 

Apabila mengalihkan perabot, jangan heret perabot kerana ia boleh mengakibatkan kepingan tertanggal di bahagian sambungan yang tidak rata. Gunakan pengangkat perabot atau dapatkan bantuan.


LANGKAH 11 - Pasang Skirting, Divider dan Waterproof Paste

Langkah ini adalah optional tetapi amat digalakkan untuk hasil yang lebih kemas. 

Anda boleh beli skirting jenis PVC atau jenis kayu. 

Gunakan divider untuk transisi lantai yang berbeza.

Letakkan waterproof paste di bahagian tepi dinding untuk perlindungan yang lebih baik terutamanya di bahagian sliding door, tingkap dan pintu.




Semoga bermanfaat.

Sekian, terima kasih.


Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.