TAKUT ALLAH BUKAN MAKHLUK DENGAN MENTAATI PERINTAHNYA #COVID19



Takut dan syukur itu perkara iman (hati, ghaib). Manakala sikap dan tindakan mencerminkan tahap keimanan. Kita solat sebab kita takut dan syukur. Kita buat perintah Allah dan jauhi laranganNya kerana kita takut dan syukur.

Antara perintah Allah adalah menjaga nyawa dan tubuh badan yang dikurniakan Allah dari kemudaratan serta menjaga hubungan sesama manusia yang lain.

Jika benar kita takutkan Allah maka zahirkan ia melalui tindakan, berusaha melakukannya dari pelbagai sudut sebelum kita berserah diri. Solat, zikir, pakai topeng, elak berkumpul, tidak keluar rumah, ikut arahan pihak berkuasa, ahli kesihatan dll. Tidak cukup dengan hanya berdoa tetapi tidak berusaha apatah lagi dengan sengaja mencampakkan diri ke lembah kebinasaan.

"Dan janganlah kamu mencampakkan (diri kamu) dengan tangan-tangan kamu ke arah kebinasaan." (Al-Baqarah: 195)

“Dari Usamah bin Zaid R.A dari Nabi S.A.W: “Apabila kamu mendengar berlakunya wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya, maka jangan kamu keluar.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Ujian #COVID19 datang agar kita menginsafi diri akan betapa lemahnya manusia apabila diuji dengan hanya makhluk sehalus zarah seperti virus. Segala jentera dikerahkan dan manusia lari menyorokkan diri. Apabila bersendiri di rumah, kita merasa kehilangan punca dan arah dan dengan itu kita kembali bergantung harap hanya kepadaNya.

Atas keinsafan ini ayuh kita tambah mendekatkan diri kepada Allah bagi mereka yang mengambil pedoman sepertimana firman Allah SWT:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Ar-Rum: 41)

Bukanlah virus itu yang kita takuti pada hakikatnya, bahkan peringatan Allah SWT agar manusia tidak sombong dan kenal asal-usulnya. Maka bertaqwalah dan lakukan segala perintahNya termasuklah menjaga kesihatan diri dan keluarga kita.

Allahu a'lam bissawab. Allahu musta'an.

Che Ahmad

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.