5 Langkah Mudah Pilih Kereta Sebelum Memohon Pinjaman Kereta 2018 (Panduan)



Sedang cari kereta baru? Sukar buat pilihan? Ikuti langkah-langkah berikut.

Selepas rumah, kereta adalah merupakan pembelian terbesar dalam hidup kita. Kesilapan merancang dengan baik boleh menyebabkan kita menghadapi dilema dan krisis kewangan. Ini kerana kos pinjaman kereta adalah tinggi dan ianya bukanlah aset yang menjana pendapatan (melainkan jika digunakan untuk Grab dan tingkatkan produktiviti perniagaan) malah akan susut nilai.





LANGKAH 1 - Kenalpasti Objektif Memiliki Kereta

Sama ada anda masih bujang, sudah berkahwin, mempunyai anak atau sudah bersara, kereta adalah merupakan satu KEPERLUAN dan keperluan kita adalah berbezza-bezza (ops terpromote kereta sendiri plak!).

Pada asasnya, kereta adalah pengangkutan untuk membawa orang dan barangan dari tempat A ke Z dengan selamat. Ingat fungsi asas kereta ini semasa anda memilih kereta yang sesuai. Ini adalah keperluan hakiki anda, yang lain-lain cuma kemahuan!

Langkah pertama adalah mengenalpasti apakah keperluan anda. Apakah masalah yang cuba diselesaikan? Apakah cadangan penyelesaiannya? 

Contoh-contoh masalah/keperluan:

Anak semakin ramai. Kereta tidak muat.
Kadang-kadang perlu travel berasingan, perlu kereta kedua.
Kereta uzur dan kerap rosak. Kos selenggara/baikpulih pula sangat mahal.
Kereta lama kurang ciri-ciri keselamatan yang wajib ada.
Perjalanan jauh kurang selesa dan bahaya.

Contoh-contoh kemahuan:

Gaji baru naik, inginkan kereta model baru keluaran Hongdai atau Toyato.
Kereta lama kurang canggih dan sudah tidak glamer.

Nota: Anda hanya dibenarkan untuk membeli kereta berdasarkan KEMAHUAN hanya jika anda telah berjaya mengasingkan sekurang-kurangnya 30% daripada gaji untuk savings dan juga pelaburan!

Setelah mengenalpasti masalah-masalah, cuba senaraikan cadangan penyelesaian. Kenalpasti cadangan yang dapat menyelesaikan paling banyak masalah yang utama. Sesetengah cadangan tidak dapat menyelesaikan masalah yang lain. Jadi, prioritize masalah anda dan tanya kembali, adakah ia masalah yang perlu diselesaikan segera (urgent)?

Contoh cadangan penyelesaian:

Beli kereta kedua (kereta pertama sudah habis bayar)
Jual kereta pertama dan beli MPV (guna satu kereta sahaja)

Impak kewangan kepada cadangan-cadangan penyelesaian di atas akan berbeza. Jadi, kenalpasti cadangan yang menepati bajet anda seperti yang akan dijelaskan dalam langkah seterusnya. Setiap solusi ada pros and cons masing-masing. Jadi, buat senarai kelebihan dan kekurangan bagi setiap cadangan solusi. 

Contoh Analisa 1 - Beli Kereta Kedua VS Beli MPV?



Nota: Kita akan isi jadual di atas setelah mengikuti langkah-langkah seterusnya.







LANGKAH 2 - Kenalpasti Lebihan Pendapatan Anda

Perkara kedua yang perlu dikenalpasti adalah lebihan pendapatan bulanan anda. Lebihan ini adalah selepas ditolak savings sekurang-kurangnya 10% daripada gaji kasar. Jangan korbankan komitmen savings ini hanya kerana untuk mendapatkan kereta yang lebih selesa!

Contoh:



RM1050 sebulan ini adalah lebihan pendapatan yang boleh digunakan untuk pembelian kereta baru anda.

Untuk panduan merancang pendapatan dan perbelanjaan, boleh rujuk artikel ini.

Ingat: (Income - Savings) = Expenses bukan (Income - Expenses) = Savings!

Nota: Ada orang kata 10% simpanan tidak mencukupi. Namun saya memahami jika anda bergaji kecil, jumlah lebihan pendapatan untuk simpanan adalah sangat terhad. Apa yang penting di sini adalah anda mengasingkan dahulu simpanan sebelum membuat sebarang perbelanjaan. Wajib simpan walaupun tidak banyak!






LANGKAH 3 - Kenalpasti Kos Memiliki Kereta

Dalam pembelian kereta, bajet yang anda perlu kenalpasti adalah jumlah kos memiliki kereta sebulan, bukan cukup sekadar melihat bayaran bulanan pinjaman kepada bank atau harga kereta tersebut. Kesilapan yang kerap dilakukan adalah tidak mengambilkira kos-kos tambahan yang berkaitan dengan pemilikan kereta.

Secara amnya, kos-kos tambahan tersebut adalah seperti berikut:
  • Insuran dan cukai jalan
  • Kos selenggara
  • Kos repair dan alat ganti
  • Kos minyak dan tol
  • Kos pengangkutan apabila kereta perlu dibaiki untuk tempoh yang lama
  • Kos aksesori tambahan (simpan sebelum beli, bukan beli dahulu!)

Bagi kos-kos di atas, anda perlu letak ketepi sejumlah wang pada setiap bulan untuk perbelanjaan pada masa depan apabila kereta perlu diservis atau dibaiki kerana accident, rosak dsbnya. 

Contoh pengiraan simpanan untuk selenggara dan repair (kekerapan ikut tempoh masa atau jumlah kilometer):



Bagi contoh di atas, jumlah yang perlu diasingkan ialah RM222.08 sebulan (termasuk insuran dan cukai jalan). Kos ini bergantung kepada jenis dan usia kereta. Rujuk kepada mekanik di pusat servis kereta atau buat carian online untuk nilai yang lebih tepat bagi kereta tertentu. Kos dan kekerapan di atas adalah anggaran sahaja.

Setelah mengambil kira kos minyak dan tol (bergantung kepada penggunaan masing-masing), bajet maksima anda ialah RM670 sebulan.

Bajet ini adalah bayaran bulanan pinjaman kereta kepada bank.

Selain kaedah di atas, terdapat juga rule of thumb untuk menganggarkan kos selenggara iaitu kira-kira 20-30% daripada bayaran bulanan pinjaman. Kos selenggara kereta juga diukur mengikut kos per 100,000 km. Anda boleh rujuk artikel ini dan ini untuk bacaan lanjut mengenai kos selenggara.

Contoh:

Bayaran pinjaman kereta = RM500 sebulan
Kos selenggara dan alat ganti = 30% x RM500 = RM150 sebulan

TIPS: Seperti yang anda dapat lihat, kos selenggara kereta adalah tinggi. Jadi, pertimbangkan promosi yang menawarkan servis percuma.


LANGKAH 4: Kenalpasti Jumlah Pinjaman Yang Layak Dipohon dan Jenis Kereta 

Berdasarkan tempoh pinjaman 9 tahun pada kadar 3.2%, harga kereta atau MPV yang mampu dimiliki dengan bajet RM670 sebulan berharga kira-kira RM62,000 ke bawah. Harga ini ialah harga OTR termasuk insuran dan selepas 10% deposit. Ini adalah nilai pinjaman yang ingin dipohon daripada bank. Anda boleh buat pengiraan sendiri menggunakan kalkulator ini.

Seperti yang anda mungkin telah duga, semakin tinggi deposit yang diletakkan, semakin tinggi harga kereta yang layak dibuat pinjaman. Anda boleh buat pilihan untuk upgrade pilihan kereta atau kekalkan pilihan dan simpan lebihan pendapatan.

Nota: Harga OTR (On The Road) adalah harga kereta termasuk SST/GST, kos pendaftaran, no plat dan cukai jalan tetapi tidak termasuk insuran. Ia bermakna kereta baru anda boleh terus digunakan di atas jalan tanpa kos-kos lain.

TIPS PINJAMAN KERETA:

1. Buat permohonan di banyak bank (5 ke atas) untuk kadar  yang terbaik. Pada tahun 2018, bank yang didapati menawarkan pinjaman yang murah adalah Kuwait Finance House (KFH) untuk kereta-kereta tempatan. Saya mendapat tawaran kadar 2.98% daripada KFH berbanding 3.27% daripada Ambank dan Public Bank, 3.33% daripada Hong Leong dan 3.45% daripada Maybank.

2. Sebelum membayar deposit kepada pengedar atau wakil penjual, sign dahulu perjanjian pinjaman dengan bank. Ini kerana terdapat kes penipuan wakil penjual palsu yang meminta pembeli membayar deposit dahulu dan kemudian hilang tanpa  jejak. Pihak bank akan menyemak jika pengedar tersebut adalah sebuah syarikat yang sah. Pastikan anda mendapatkan nama syarikat pengedar dan buat semakan wakil penjual yang sah.




Jadi kereta apakah yang berharga di bawah RM62,000? Kebiasannya kita sudah ada target kereta yang diidamkan dalam kepala. Walau bagaimanapun, untuk memastikan kita telah mempertimbangkan semua pilihan yang ada, mari kita senaraikan kereta yang menepati objektif kita seperti dalam Langkah 1, iaitu beli kereta kedua (sedan/hatchback) atau beli MPV.

Anda boleh rujuk laman web CarBase untuk melihat pilihan kereta. Buat carian mengikut segmen dan harga maksima. Kemudian asingkan pilihan anda mengikut julat harga.

Kereta Sedan Bawah RM40,000
Kereta Hatchback Bawah RM40,000

Kereta Sedan RM40,000 ke RM60,000
Kereta Hatchback RM40,000 ke RM60,000

MPV Bawah RM60,000

Untuk memudahkan proses saringan, kita mungkin mencari kereta dengan ciri-ciri yang tertentu seperti tempat duduk yang selesa, ruang simpanan yang luas, gear auto, airbag yang mencukupi, stability control, keyless entry, entertainment dll. Kenalpasti ciri-ciri ini semasa anda menyaring pilihan yang ada. Utamakan keperluan berbanding kemahuan.

Katakanlah kita telahpun menyaring pilihan-pilihan yang ada dan berakhir dengan pilihan berikut untuk dibandingkan dengan teliti.

Kereta



MPV








LANGKAH 5 - Buat Perbandingan & Padankan Dengan Objektif Anda

Bagi saya, memilih kereta adalah lebih sukar berbanding memilih hartanah atau memilih baju kerana terdapat begitu banyak ciri-ciri yang perlu dipertimbangkan selain harga seperti muatan, saiz enjin, rekabentuk, aftersale service, kos selenggara, features, aksesori, keselamatan, kualiti dll.  Oleh itu kita wajar membuat perbandingan spesifikasi setiap kereta dengan teliti.

Terdapat banyak sumber rujukan berbentuk review oleh laman blog automatif seperti PaulTan, Funtasticko, Careta dan sebagainya. Buat juga carian di Google untuk perkongsian  peribadi. Video review juga sudah banyak terdapat di youtube. Selain itu, anda juga boleh sertai diskusi di forum atau group Facebook untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh pengguna sedia ada.

Contoh carian Google:

Review Myvi 2018 blog
Lowyat Myvi 2018
Saga atau Bezza

Setelah melakukan pembacaan dan kajian, buat perbandingan lanjut berdasarkan ciri-ciri utama yang menjadi keutamaan buat anda. Sebagai contoh, berikut adalah perbandingan yang saya lakukan sebelum membeli Bezza.


Di peringkat ini, adalah penting untuk anda melihat kembali objektif dalam Langkah 1. Ini kerana sedang kita asyik membuat perbandingan dan pembacaan, kita mungkin terpengaruh dan tersasar daripada objektif asal.

Selain itu, promosi oleh pengeluar kereta yang kerap bertukar memberikan pengaruh yang besar. Pertimbangkan tawaran-tawaran ini jika ia benar-benar berbaloi seperti rebate yang banyak dan free service, bukan sekadar free gifts sahaja.

Dipendekkan cerita, katakan anda telah memilih kereta idaman kalbu selepas membuat perbandingan.

Pilihan 1 (Beli kereta kedua) - Kereta Pilihan: Perodua Bezza Advance
Pilihan 2 (Beli MPV) - Kereta Pilihan: Proton Ertiga Premium AT

Sekarang kita boleh lengkapkan jadual daripada Langkah 1. Jangan lupa untuk update dan perincikan kos selenggara bagi kereta yang dipilih. Tujuan kita ialah untuk menilai pilihan manakah yang boleh selesaikan masalah dengan kedudukan kewangan yang selesa.


Seperti yang dapat anda lihat, walaupun kereta lebih murah berbanding MPV, namun kos memiliki dua kereta memberikan impak yang lebih besar terhadap kedudukan kewangan kita.





NOTA-NOTA LAIN

Tempoh pinjaman yang terbaik? 5, 7 atau 9 tahun?

Ia bergantung kepada strategi kewangan anda. Secara umumnya, tempoh pinjaman 5 tahun adalah yang terbaik lebih-lebih lagi jika anda mendapat promosi free services dan warranty. Ini kerana kereta anda akan susut nilai kerana semakin uzur. Selain itu, anda juga dapat merasai model kereta terbaru dengan teknologi yang lebih canggih setiap 5 tahun sekali tanpa perlu risaukan baki pinjaman. Siapa tak suka pakai kereta baru kat sini sila angkat tangan! Pada pendapat saya, bayaran bulanan bagi tempoh 5 tahun adalah ukuran kemampuan kita yang sebenar.

Walau bagaimanapun, jika anda perlukan lebihan cashflow untuk dilaburkan, maka anda akan pilih tempoh pinjaman paling lama. Dengan syarat, anda tidak membeli kereta yang lebih mahal apabila bayaran bulanan kini menjadi rendah.

'Return on investment' kereta tidak diukur dengan keuntungan tetapi lebih bersifat qualitative. Iaitu selagi ia boleh memenuhi keperluan anda untuk bergerak. Sebaiknya, guna kereta untuk tempoh yang lama walaupun pinjaman telah dilangsaikan. Analisa mudah yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

Kos asal kereta = RM60,000

Contoh 1
Bilangan tahun penggunaan = 3 tahun
Nilai kereta pada tahun ke-3 = RM50,000
Jumlah susut nilai = RM10,000
Susut nilai sebulan = 10,000/36 = RM278
Bayaran bulanan pinjaman = RM500
Kos selenggara sebulan = RM200
Jumlah kerugian sebulan = RM978

Contoh 2
Bilangan tahun penggunaan = 10 tahun
Nilai kereta pada tahun ke-10 = RM15,000
Jumlah susut nilai = RM45,000
Susut nilai sebulan = RM45,000/120 = RM375
Bayaran bulanan pinjaman = Tiada
Kos selenggara sebulan = RM300
Jumlah kerugian sebulan = RM675

(kos selenggara / alat ganti semakin meningkat apabila kereta semakin uzur)


Beli kereta yang lebih murah daripada bajet anda supaya simpanan dapat ditingkatkan.

Jika anda mempunyai lebihan pendapatan dan banyak pilihan bagi memenuhi keperluan anda, maka pilihlah kereta yang lebih murah. Walaupun anda mampu pakai kereta Hongdai, tidak salah jika anda cuma pakai kereta Plotong. Jika anda mampu beli varian yang paling mahal, tidak jatuh populariti anda jika anda pilih varian yang lebih murah. Malah anda sebenarnya seorang yang bijak! Lebihan pendapatan anda dapat dilaburkan untuk menjana keuntungan dan sekaligus menjamin masa depan anda.


Kereta second hand tidak bermakna kereta lama!

Jangan lupa untuk pertimbangkan juga kereta second hand kerana kereta susut nilai dengan banyak walaupun selepas tahun pertama. Bau kereta baru pun mungkin masih melekat lagi!

Membeli kereta second hand yang lebih murah bermakna anda boleh menyimpan lebih pendapatan setiap bulan. Apa yang penting adalah untuk mengenalpasti keadaan kereta tersebut. Bayar sahaja mekanik untuk buat inspection.

Contoh:

Proton Perdana 2.4 baru = RM135,000
Proton Perdana 2.4 2017 = RM70,000



Template Google Sheet

Akhir sekali, jika anda mahukan template yang saya bentangkan dalam artikel ini, silakan share artikel ini di Facebook atau laman blog anda dan berikan alamat emel anda di ruangan komentar di bawah. Terima kasih!

Wallahu'alam




Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.