PERUTUSAN KHAS DAN AMANAT #PRU14 - MERDEKA 2.0



Assalamualaikum WBT.

Buat pembaca yang dikasihi sekalian.

Genaplah sudah 5 tahun kita menunggu untuk sekali lagi diberikan peluang bagi menentukan masa depan negara yang dicintai. Pada 9 Mei 2018, kita akan bersama-sama mengundi pemimpin yang akan mewakili suara kita untuk tempoh 5 tahun akan datang.


Saya sedari, setiap orang mempunyai keutamaan yang berbeza. Ada yang melihat isu nasional seperti hutang negara, rasuah, ketirisan, pertindihan kuasa (conflict of interest), masalah sosial, kos sara hidup, jurang miskin kaya, kestabilan ekonomi, integriti pemimpin dan lain-lain sebagai keutamaan. Ada juga yang melihat isu-isu sentimenal sebagai keutamaan seperti isu hak Bumiputera, isu agama, sentimen perkauman, anasir tidak sihat, ancaman luaran dan lain-lain lagi. Apa jua keutamaan anda, pastikan pilihan yang anda buat dapat menyelesaikan isu-isu yang menjadi keutamaan buat anda. Pastikan juga anda bebas untuk memilih dan mempunyai akses kepada maklumat yang tepat dan seimbang.

Undi kita adalah umpama kupon yang digunakan untuk membeli barang yang hanya boleh digunakan 5 tahun sekali. Pastikan kupon ini digunakan dengan sebaik-baiknya dan tidak disia-siakan begitu sahaja.

Dalam negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, pilihan yang terbaik adalah gabungan yang mampu mewakili suara setiap golongan masyarakat bagi membolehkan negara diperintah dengan stabil dan harmoni.

BN telah menjalankan tugas ini dengan baik dan harmonis sejak merdeka. Sebagai sebuah gabungan yang diwakili kaum-kaum utama di Malaysia, ianya merupakan formula yang terbukti berjaya dan berdiri kukuh di atas semangat hormat-menghormati dan bertolak-ansur. Apabila masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum bersatu-padu dan bersepakat di bawah satu gabungan, kita telah berjaya mendapatkan kemerdekaan daripada British.

Walau bagaimanapun, monopoli politik untuk puluhan tahun lamanya telah memberi ruang kepada salahguna kuasa dan kelemahan tatakelola. Natijahnya, ketirisan berlaku di setiap peringkat pentadbiran yang mengakibatkan kerugian berbilion-bilion ringgit kepada Negara. Kerugian ini menyebabkan hutang Negara meningkat dari tahun ke tahun sehingga berada di tahap yang mencemaskan. Negara pula tidak dapat maju dengan lebih terkehadapan oleh kerana kekangan kewangan, mentaliti dan budaya kerja yang tidak beranjak.

Rakyat mula mencari alternatif Kerajaan yang lebih telus yang mampu melonjakkan negara ke peringkat yang seterusnya. Pelbagai parti menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah namun parti-parti kecil ini tidak berkemampuan untuk mengalahkan BN di peringkat Pusat mahupun Negeri. Hakikat ini mula disedari oleh parti-parti kecil ini.

Sejak itu gabungan baharu mulai dibentuk dan pada PRU12, gabungan terkuat parti-parti utama di Malaysia melalui Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, DAP dan PKR telah mengenepikan perbezaan dan bersatu-padu untuk bertembung 1 lawan 1 dengan BN. Natijahnya, tahun 2008 memperlihatkan kekalahan paling teruk BN dalam sejarah negara apabila PR berjaya mengambil alih beberapa buah negeri daripada BN. Walaupun demikian, gabungan ini masih belum mampu untuk mengalahkan BN di peringkat Pusat. Manakala BN yang menyedari arus kebangkitan rakyat ini mula meniup api perkauman dan keagamaan yang mengancam keharmonian.

Harapan menggunung tinggi untuk melihat Kerajaan Pusat bertukar sekaligus memberi laluan untuk amalan demokrasi yang lebih matang. Namun, sokongan majoriti rakyat masih tidak mencukupi apabila BN kekal memerintah selepas PRU13 walaupun dengan sokongan majoriti di bawah 50%. Ini kerana sistem first past the post di mana persempadan semula yang bertujuan mengasingkan sokongan (gerrymandering) lebih menyebelahi BN.

Pasca PRU13, BN menghadapi krisis 1MDB yang menyebabkan kepercayaan rakyat jatuh merudum. Pergolakan berlaku di dalam UMNO yang akhirnya menyebabkan beberapa pemimpin kanan dipecat. Kumpulan yang dipecat ini membentuk parti baharu yang diberi nama Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dengan pembentukan Bersatu, bertambahlah satu lagi parti pembangkang utama yang akan bertanding untuk mengalahkan BN.

Dalam pada itu, pergolakan berlaku di dalam gabungan Pakatan Rakyat yang berakhir dengan gabungan ini terbubar. Rundingan-rundingan berlaku namun PAS, DAP dan PKR gagal mencapai kata sepakat.

Pada 2016, PAS mengatur langkah seterusnya dengan memperkenalkan strategi King Maker melalui pembentukan blok ketiga bersama parti-parti minoriti yang lain seperti Ikatan, Berjasa dan PCM. Ini adalah turning point yang mengubah senario dan lanskap politik Malaysia apabila PRU14 bakal berlaku dalam senario 3 penjuru pada skala yang besar. Sebahagian pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengan halatuju PAS yang baru ini telah keluar dan membentuk Parti Amanah Negara (Amanah).

Pembubaran Pakatan Rakyat menjadi tamparan hebat dan mengecewakan rakyat yang telah menaruh harapan yang tinggi sejak PRU12 dan PRU13 terhadap gabungan yang paling berkemampuan untuk mengalahkan BN ini. Masa depan negara sekali lagi berdepan ketidakpastian apabila gabungan pembangkang berpecah sedang BN dalam keadaan paling lemah sokongan.

Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak berlarutan apabila saki baki komponen Pakatan Rakyat, PKR dan DAP, diberikan nafas baru dengan penyertaan Bersatu dan Amanah dalam gabungan baharu yang diberi nama Pakatan Harapan. Dengan penyertaan mereka, gabungan pembangkang kembali kukuh dengan sokongan orang Melayu dalam Bersatu dan Amanah yang dapat mengimbangi pengaruh DAP setelah kehilangan PAS.

Harapan rakyat untuk melihat monopoli politik BN ditamatkan kembali mekar dengan pembentukan Pakatan Harapan. Bagi majoriti rakyat Malaysia, keutamaan yang paling utama adalah agar dengan berakhirnya monopoli politik ini, negara boleh beranjak ke hadapan melalui amalan demokrasi yang lebih hidup dan matang. Pelbagai reformasi boleh dilakukan untuk membetulkan kelemahan pentadbiran BN dan salahguna kuasa yang berleluasa dengan pentadbiran yang lebih telus.

Sebagai gabungan pembangkang yang paling kuat dan berkemampuan untuk mengalahkan BN, Pakatan Harapan menawarkan inklusiviti dan keseimbangan pengaruh yang mampu menyaingi BN dengan track record cemerlang mentadbir dan menguruskan Selangor dan Pulau Pinang.

Bagi PAS, pendekatan politik yang diambil pastinya menimbulkan pelbagai persoalan sedang telah terbukti dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu akan keperluan pembangkang bersatu-padu untuk mengalahkan BN. Senario 3 penjuru juga dilihat bakal menguntungkan BN apabila sokongan pembangkang berpecah. PAS menyasarkan segmen tertentu di dalam kempen mereka termasuklah pengundi Melayu yang tidak menyukai BN tetapi dalam masa yang sama tidak menyukai DAP. Melalui persengketaan dengan DAP, PAS menawarkan pilihan ketiga buat segmen ini.

PAS juga dilihat mempunyai sokongan akar umbi yang terkuat berbanding parti-parti pembangkang yang lain. Manifesto PAS juga dilihat mampu menawarkan penyelesaian kepada masalah-masalah utama dengan pendekatan Budaya Politik Matang & Sejahtera dan Kerajaan Teknokrat. Tidak keterlaluan jika dikatakan yang sokongan dan sentimen pengundi PAS pada hari ini adalah yang tertinggi dalam sejarah parti ini.

Walau bagaimanapun, PAS masih jauh ketinggalan dalam sokongan Bukan Melayu. Untuk memerintah Malaysia dengan stabil, satu gabungan yang seimbang dan mewakili lapisan utama masyarakat majmuk adalah diperlukan. Pendekatan PAS yang agak agresif terhadap golongan Bukan Islam yang majoriti mereka berada dalam DAP juga dilihat tidak dapat membantu. Pengaruh PAS di Sabah dan Sarawak juga umum diketahui adalah sangat rendah. 

Di dalam senario 3 penjuru dan sistem first past the post, yang akan beroleh keuntungan adalah BN. Tidak timbul lagi soal siapa yang memecahkan undi atau siapa yang menjadi tongkat BN apabila keutamaan ini tidak tercapai. Jika keutamaan anda tidak memerlukan BN diganti, maka saya hormati keutamaan anda. Tetapi, jika keutamaan anda ialah untuk melihat perubahan Kerajaan Pusat buat pertama kalinya dalam sejarah, maka pilihan yang paling berkemampuan untuk menang adalah Pakatan Harapan yang diwakili oleh majoriti rakyat berbilang kaum. Untuk mendapatkan 'kemerdekaan' dari belenggu monopoli politik BN, ayuhlah kita semua rakyat Malaysia, tidak mengira latar belakang kaum dan agama, marilah kita bersama-sama bersatu-padu untuk mencapai kemerdekaan yang baru.

2018 - Merdeka 2.0

Che Ahmad

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.