7 Sebab Mengapa PAS Perlu Pertimbang Kerjasama Dengan UMNO BN

Sudah lama tidak menulis artikel berbaur politik. Sedikit rindu, tetapi tidak dapat mengatasi ketenteraman yang terlahir akibat tidak menjerumuskan diri dengan kerenah politik tanah air yang ternyata tidak seindah seperti kata-kata manis sesetengah ahli politik. Ternyata seloroh mereka terlebih sudu dari kuah.

Dalam perkembangan terkini politik di Selangor yang melibatkan krisis PR dengan TSKI (dalam isu MB Selangor), saya melihat ada kecenderungan di kalangan ahli PAS (mahupun UMNO) untuk mempertimbang kerjasama dengan BN lantas membentuk Kerajaan Perpaduan atau Konsensus Nasional di peringkat negeri iaitu di Selangor.

Perihal yang demikian adalah merupakan serampang dua mata kepada PAS kerana PAS akan dilihat sebagai parti yang “pecah amanah” dan mengkhianati perjanjian tahalluf siyasi dengan parti komponen PR dalam usaha merampas Putrajaya daripada BN buat julung kalinya.

Sebaliknya, tahalluf siyasi ini, jika dilihat sebagai perjanjian yang bersifat sementara untuk mencapai objektif-objektif jangkamasa pendek, maka bukanlah menjadi dosa besar bagi PAS untuk senantiasa mengkaji-semula strategi dakwah mereka, termasuklah memperbaharui atau tidak memperbaharui perjanjian bersama PR.

Maka, dari sudut yang berbeza ini saya menggariskan tujuh (7) faktor dan sebab utama mengapa PAS wajar mempertimbang kerjasama dengan UMNO dalam usaha dakwah mereka sebagai berikut:

1. PENERIMAAN RAKYAT YANG LEBIH BAIK TERHADAP ISLAM BERBANDING ZAMAN 70-AN, 80-AN DAN 90-AN


0942aab76af9db659c8c3b119d6a82edPenerimaan rakyat terhadap Islam pada tahun 2014 adalah berbeza dengan penerimaan rakyat pada tahun 1974, 1984 dan 1994. Malahan, pada tahun 70-an, wanita muslimah yang memakai tudung boleh dibilang dengan jari. Secara otomatisnya, penerimaan rakyat terhadap gerakan Islam seperti PAS juga masih tidak boleh diterima ramai. Agama pada waktu itu kelihatan benar-benar terasing daripada kehidupan seharian.

Namun pada hari ini, kita dapat lihat penerimaan yang lebih baik terhadap Islam. Lihat sahaja berapa ramai artis yang bersara dari dunia hiburan pada usia yang muda. Majlis ilmu pula semakin diminati. Tolak ketepi kontroversi, majlis *NamaBandar* Berselawat sentiasa dibanjiri orang ramai.

Bermakna, hari ini orang ramai dahagakan agama. Amatlah rugi jika PAS tidak memanfaatkan situasi yang ada untuk merancakkan lagi usaha dakwah. Memang benar sebahagiannya adalah disebabkan pengaruh PAS dalam Kerajaan Negeri yang dimenangi PR, namun ia boleh dikembangkan lagi di peringkat Pusat jika PAS berada di dalam Kerajaan.

Pendek kata, Jika PAS berada bersama Kerajaan Pusat, usaha dakwah boleh dirancakkan lagi di setiap Kementerian dan Jabatan di mana penerimaan kakitangan dan rakyat secara umumnya adalah lebih baik. Dengan kesedaran yang bertambah baik terhadap agama, kakitangan kerajaan akan lebih mudah menerima nasihat dan berubah untuk menjadi lebih baik. Akidah akan bertambah mantap dan akhlak mulia dapat dibentuk sekaligus dapat mendidik mereka untuk berkerja dengan amanah.
Ingatlah, kita mungkin tidak mampu membetulkan generasi lama tetapi kita boleh melakukan perubahan dengan melahirkan generasi baru yang mantap akidahnya.


artis


2. KETERBUKAAN KERAJAAN DALAM MENERIMA KRITIKAN

Khairy-Jamaluddin2Berbeza di zaman Tun Mahathir, Kerajaan pada hari ini dikatakan lebih bersifat terbuka dan boleh dikritik. Jika di zaman Tun Mahathir mana-mana individu yang mengkritik akan disenyapkan. Jika sebuah akhbar, lesennya akan ditarik. Jika seorang ulamak, akan digam. Jika aktivis akan di-ISA-kan. Namun pada hari ini keadaan jauh berbeza.

PAS sudah menjalankan tugas dengan cemerlang sepanjang menjadi Pembangkang sebagai entiti ‘Check & Balance’ pada tahun-tahun solo mereka. Namun pada hari ini, dengan kewujudan PKR dan DAP yang lebih kuat, maka tugasan untuk check and balance ini boleh diserahkan kepada orang lain.

Dengan attitude yang berbeza Kerajaan Pusat pada hari ini, sudah tiba masanya PAS melaksanakan tugas check and balance ini secara dalaman dan menyeluruh. Tetapi, apabila berada di dalam Kerajaan, PAS mestilah berani bersuara dan tidak takut untuk menegur Kerajaan kerana rakyat pada hari ini sudah bijak dan bermaklumat dan boleh menilai dengan sendiri apakah yang dikritik itu benar ataupun tidak.

PAS juga harus mencedok peluang yang ada kesan daripada ‘Transformasi Agama’ dalam UMNO dalam usaha mereka menarik sokongan orang Melayu dalam Pilihanraya Umum akan datang yang semakin ‘sedar agama’ dan spiritually conscious.


3. PROFESIONAL DAN ULAMAK DALAM PAS PERLU PEGANG JAWATAN-JAWATAN PENTING DALAM KERAJAAN SEPERTI PTD

Sebagai pembangkang di luar pagar, PAS hanya boleh mengkritik tanpa meninggalkan kesan yang konkrit. Ini kerana para pembuat keputusan berada di dalam Kerajaan dan kebanyakan mereka adalah orang UMNO.

Penggubal polisi seperti Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) adalah satu jawatan yang sangat penting yang menentukan halatuju sesebuah Jabatan. Jika PAS bergabung dengan UMNO, ruang untuk para profesional dan pemimpin dalam PAS untuk memegang jawatan-jawatan ini akan terbuka dengan seluas-luasnya sekaligus memberikan PAS kuasa untuk melaksana (enforcement) bukan sekadar kata-kata yang lebih mudah dilafazkan dari dilaksanakan.

PAS perlu memikirkan dengan lebih mendalam tentang manfaat-manfaat yang bakal diperolehi jika para profesionalnya memegang jawatan-jawatan penting dalam Kerajaan termasuklah pos dalam Kabinet untuk kepentingan ummah. Ternyata sejak ditendang keluar tahun 1978, pengaruh PAS dalam membuat keputusan yang dapat memberikan kesan dalam perlaksanaan dasar Kerajaan telah berkurang sama sekali.

ne_07.1


4. SALURAN DAKWAH YANG LEBIH BAIK DENGAN BATU ASAS YANG TERKEDEPAN

Tidak dinafikan bahawa Kerajaan pada hari ini, walaupun tidak Islam sepenuhnya seperti yang dimimpikan PAS, adalah merupakan sebuah Kerajaan yang urusan hariannya banyak dipengaruhi oleh ajaran Islam. Berbanding dengan negara-negara Islam yang lain, Malaysia dilihat sebagai negara yang maju dalam urusan agama dan mempelopori inovasi seperti islamic banking dan penubuhan agensi seperti Lembaga Tabung Haji (jika PAS berada dalam UMNO ada kemungkinan besar pemimpin PAS akan dilantik sebagai Pengerusi Tabung Haji).

Saluran dan batu asasnya telah ada cuma bagaimana ia dapat dimanfaatkan bergantung kepada siapa yang mengepalainya. Jika PAS membiarkan agensi-agensi agama di dalam Kerajaan dipimpin oleh orang yang bukan ahlinya ataupun orang yang berkepentingan, maka agensi-agensi agama ini tidak dapat berfungsi dengan sebaiknya. Jika PAS bersama Kerajaan, sudah pasti para ulamak di dalam PAS akan diutamakan untuk memimpin agensi-agensi agama yang sudah established ini. Sekaligus dapat membuat perlaksanaan yang lebih baik dan memberikan kesan langsung kepada ummah.

Begitu juga saluran-saluran sekunder seperti saluran media. Pada hari ini begitu banyak saluran dan rancangan baru yang bersifat islamik seperti TV Al-Hijrah, Astro Oasis dan seumpamanya. Ini menunjukkan saluran yang ada untuk berdakwah mengenai Islam semakin banyak dan terbuka dengan seluas-luasnya dan perlu dimanfaatkan dengan baik.

Jika rakyat memahami asas akidah, maka yang lain akan terlaksana dengan sendirinya.

Astro-OasisLogo_of_the_TV_Alhijrah.svgmimbar-pencetus-ummah


5. KERJASAMA RAPUH DI ANTARA PARTI-PARTI KOMPONEN PAKATAN RAKYAT DENGAN ULTIMATE IDEOLOGI JANGKA PANJANG YANG BERBEZA DAN ADAKALANYA BERTENTANGAN

Matlamat PAS untuk bertahalluf siyasi bersama DAP dengan matlamat untuk meluaskan dakwah adalah merupakan niat yang murni. Untuk jangkamasa pendek, dapat dilihat kerjasama di antara PAS, PKR dan DAP adalah untuk menjatuhkan UMNO dan BN namun apakah yang akan terjadi selepas itu?

Suka saya meng-highlight-kan perkataan ‘dominan’ di sini kerana ia merupakan faktor yang terpenting untuk menentukan kerjasama di antara parti komponen PR akan kekal relevan untuk jangkamasa panjang. Cuba diteliti dasar-dasar parti PAS, PKR dan DAP pasti banyak yang bercanggah dan tidak harmonis. Bagaimana mungkin DAP dapat terima Negara Islam yang ingin diwujudkan PAS. Mana mungkin PAS dapat terima agenda DAP untuk menyamaratakan agama?

Maka, untuk tempoh jangkamasa panjang, ternyata kerjasama di antara PAS, PKR dan DAP tidak akan kekal. Apakah halatuju PAS selepas itu jika majoriti rakyat mula menyokong ideologi yang dibawa PKR dan DAP? Kembali bersama Umno menjadi pembangkang? Saya kira kerjasama ini adalah rapuh dan tidak akan bertahan lama apabila isu-isu sensitif mula diperbincangkan selepas menang pusat seperti isu oktoberfest, judi dan penggunaan nama Allah dalam bible. 

Ini berbeza jika PAS berada bersama Umno di dalam BN kerana ternyata Umno memiliki dominasi dalam kerjasama di antara parti-parti komponen BN. Jarang kita lihat MCA atau MIC akan cuba menyanggahi Umno. Maka dalam konteks yang serba cetek ini, MCA dan MIC dilihat lebih dekat kepada kafir mu’ahad berbanding DAP kerana wala’ nya mereka kepada Umno-BN. Jika ada pun sedikit ketidaksefahaman pun jarang kita dapat lihat ia berlarutan.


6. POLARISASI KAUM MENJADI POLARISASI AGAMA DAN ANCAMAN RADIKAL KRISTIAN

Walaupun ramai yang tidak bersetuju dengan penggunaan istilah ‘polarisasi kaum cina’ ataupun ‘tsunami cina’ yang dipopularkan oleh Najib apabila mengulas keputusan PRU yang lalu, namun hakikatnya tidak dapat dinafikan.

Selain ingin melihat good governance dalam kerajaan, kaum cina juga ingin melihat Negara maju dari pelbagai sudut dan ini termasuklah hak kesamarataan sejagat ataupun dikenali sebagai “universal rights”.

Ternyata universal rights di dalam Islam yang diwar-warkan PAS adalah berbeza dengan universal rights Barat yang dibawa DAP dan ini akan menyebabkan berlakunya konflik ideologi di antara PAS dan DAP pada masa akan datang. 

Polarisasi yang berlaku seterusnya bukan lagi polarisasi kaum tetapi akan menjadi polarisasi agama di mana generasi muda di dalam DAP pada hari ini majoritinya bukan lagi merupakan penganut agama Buddha tetapi beragama Kristian.

Ia bukan menjadi masalah namun terdapat gerakan radikal kristian yang telah menyerap masuk ke gereja-gereja tempatan. Ini adalah ancaman yang real dan perlu dibendung sebelum merebak oleh Kerajaan dan orang Kristian di Malaysia sendiri. Jika ia dibiarkan berkembang, ditakuti ia akan mengancam keharmonian.

Bagi memperkukuhkan kebimbangan ini, PAS wajar pertimbang kerjasama dengan UMNO untuk menguatkan suara orang Islam.


7. LUPAKAN SENGKETA LAMA

Dan yang terakhir, PAS dan UMNO harus meninggalkan sikap keras kepala mereka yang hanya akan merugikan ummat. Di antara alasan PAS untuk tidak bergabung dengan Umno adalah bersifat tidak matang dan kebudak-budakan yang tidak lagi relevan pada tahun 2014 seperti yang dipetik dalam laporan ini.

PAS mengatakan mereka tidak mahu dikhianati lagi sekali oleh Umno seperti yang terjadi di Kelantan dan Terengganu. Ada benarnya juga dakwaan PAS ini, maka atas sebab ini Umno perlu membuktikan kejujuran mereka untuk menerima dengan terbuka salam perpaduan dengan memberikan dana dan royalti yang sepatutnya diberikan kepada Kerajaan negeri Kelantan. Lupakan dendam dan hulurkan bantuan dengan ikhlas dan terbuka.

PAS juga mengatakan yang mereka tidak mahu masuk ke dalam lubang yang sama dua kali adalah merupakan alasan yang popular yang digunakan akibat ditendang keluar pada tahun 1978 akibat cuba melaksanakan Islam dalam Kerajaan ke peringkat yang seterusnya. Seperti yang diterangkan di dalam poin-poin sebelum ini, keadaan sekarang adalah jauh berbeza. PAS wajar melangkah ke depan dan melihat peluang dan manfaat yang tersedia dalam ruang lingkup yang jauh berbeza berbanding dengan tahun-tahun dahulu. PAS harus lupakan dendam lama demi kesatuan ummah.

Ada juga gesaan sebaliknya untuk Umno dibubarkan dan bergabung dengan PAS yang mana saya rasa ini hanya relevan jika PAS adalah merupakan parti pemerintah.

Wallahu’alam

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.