Tragedi Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Milik MAIWP - Satu Pengajaran

anak-anak syurga pusat tahfiz al-ittifaqiyah

Tragedi kebakaran pusat tahfiz yang mengejutkan kita dari lena yang panjang sudah hampir pasti diselesaikan. Walaupun begitu, tindakan lanjut seperti yang diharap-harapkan orang ramai terutamanya keluarga yang terkesan mungkin tidak kesampaian kerana hakikat penglibatan juvenil dalam kes ini. Bagaimana mungkin hukuman setimpal dikenakan terhadap penjenayah juvenil?

Di sebalik kesedihan dan kemarahan yang dirasakan, tragedi ini seharusnya membuka mata kita semua terhadap pelbagai kelemahan dan masalah yang sudah berlarutan. Benar, apa yang terjadi adalah kehendak Allah SWT tetapi ia sarat dengan pengajaran dan peringatan kepada manusia yang masih hidup, secara khusus dan secara amnya. Al-Haliim, Dia lah Allah Yang Maha Lembut. Segala sesuatu itu datangnya dari Allah SWT.

Oleh itu, saya harap penulisan saya ini diambil dengan hati yang terbuka…

  1. Remaja juvenil yang terlibat terutamanya yang paling muda (11 tahun) tidak boleh dipersalahkan 100%. Ibu bapa yang tidak menghiraukan perihal anak-anak yang tidak pulang-pulang ke rumah dan terpalit dengan dadah juga perlu diheret dan disiasat kerana kecuaian.
  2. Pun begitu, ibu bapa ini mungkin terdiri daripada golongan yang susah dan terpaksa #3kerja untuk menampung kehidupan menyebabkan tarbiah anak-anak terabai. Kos sara hidup dan desakan tinggal di kota yang tinggi menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak pilihan. Jurang miskin kaya yang semakin melebar terus menghimpit mereka. Kawasan tempat kejadian menyempadani jurang ini. Di atas bukit tersergam megah banglo-banglo mewah, di kaki bukit terdampar rumah-rumah kayu perkampungan Datuk Keramat dan flat kos rendah.
  3. Masalah ekonomi dan masalah sosial adalah saling berkaitan dan menyumbang kepada peningkatan jenayah di kalangan remaja. Masalah-masalah jangka panjang ini memerlukan perhatian sewajarnya oleh kerajaan.
  4. taman tasik datuk keramatTaman-taman awam perlu mempunyai kawalan keselamatan 24 jam atau pondok polis terutamanya di sebelah malam. Ia tidak sepatutnya menjadi port melepaskan gian dadah. Rukun tetangga boleh dibentuk untuk membendung.
  5. Begitu juga dengan premis pendidikan, perlu mempunyai kawalan keselamatan untuk menjaga keselamatan anak-anak pelajar dari anasir-anasir luar terutamanya boarding school.
  6. Pemilik premis dan pengurusan iaitu MAIWP perlu mengambil tanggungjawab terhadap sebarang kelemahan operasi dan kemudahan yang disediakan di institusi-institusi perlindungan mereka. Dengan dana yang besar dari kutipan zakat, kemudahan dan operasi pengajian sewajarnya setanding dengan institusi-institusi lain. Saya agak terkilan kerana page pusat tahfiz ini di laman rasmi MAIWP tidak lagi boleh dicapai. 

    laman web ittifaqiyah MAIWP 1  laman web ittifaqiyah MAIWP 2 laman web ittifaqiyah MAIWP 3
  7. Spesifikasi bangunan walaupun telah mengikut garis panduan perancangan namun kerja-kerja renovasi selepas premis diserahkan mungkin tidak mendapat kelulusan yang berkaitan yang mungkin tidak mematuhi garispanduan keselamatan.
  8. Pemeriksaan berkala terhadap bangunan melibatkan premis awam terutamanya pendidikan seperti fire drill oleh bomba, operasi, wiring dsbnya perlu dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan bangunan sentiasa selamat untuk didiami.
  9. Pemasangan grille di aras tinggi sekolah yang bertujuan untuk memastikan pelajar tidak melompat harus diberikan pertimbangan yang seimbang dari sudut keselamatan. Tidak dinafikan perbuatan khianat yang dirancang telah menutup pintu keluar dan mengakibatkan kecelakaan.
  10. Niat yang ikhlas untuk mewujudkan pusat tahfiz sebagai satu usaha jihad fisabilillah harus berserta dengan rasa amanah yang tinggi dengan memastikan perancangan dan dana yang mencukupi sebelum membuat keputusan untuk membina pusat tahfiz yang baru.
  11. Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak seharusnya memberi kelonggaran dan pengecualian atas dasar sentimen di atas. Apabila melibatkan soal keselamatan, PBT harus bertegas kerana ianya juga adalah amanah yang menjadi tuntutan agama yang lebih utama bagi memelihara nyawa.
  12. Walaupun pelbagai bantuan telah diberikan, namun ianya tidak mencukupi apatah lagi dengan jumlah pusat tahfiz baru yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di seluruh negara. Meskipun fenomena ini adalah satu perkara yang baik di sisi agama namun ianya perlulah dikawal dan dana yang lebih besar diberikan di samping sumbangan orang ramai yang berterusan.
  13. Mekanisme kawalan untuk kelemahan-kelemahan yang disebutkan di atas boleh ditambahbaik dengan meletakkan pembinaan dan pengoperasian pusat tahfiz di bawah akta-akta yang berkaitan sepertimana yang tertakluk untuk sekolah-sekolah awam dan institusi pendidikan swasta yang lain. Saya harap jawatankuasa khas yang ditubuhkan akan mengambil inisiatif ini sebagai penyelesaian yang komprehensif terhadap dilema yang sudah berlarutan sekian lamanya ini.
  14. Permintaan meningkat terhadap sekolah tahfiz perlu diraikan dengan lebih perhatian oleh Kerajaan. Masalah sosial boleh dikurangkan dengan pendidikan agama dan pendidikan akhlak di institusi tahfiz. Sangat menyedihkan kerana generasi Al-Quran telah menjadi korban dan kita ditinggalkan dengan generasi penagih. Fikir-fikirkan
  15. Sebagai orang awam dan sebahagian daripada komuniti Muslim, kita harus terus memberikan sumbangan dan sokongan kepada pusat-pusat tahfiz ini. Alhamdulillah, ramai profesional yang mula menawarkan diri untuk memberikan perkhidmatan secara percuma. Teruskan amalan mulia ini di masa hadapan. Masuk ke kawasan-kawasan kampung dan kenalpasti pusat-pusat tahfiz dan sekolah agama yang kebanyakannya dalam keadaan daif ini.
  16. Terdapat segolongan pemimpin yang mengambil kesempatan atau mileage di atas tragedi ini, tidak kurang juga yang menuding jari. Budaya hangat-hangat tahi ayam juga sudah dipamerkan sejak dahulu lagi namun akhirnya menyepi dan dilupakan.
  17. Akhir sekali, sikap orang awam dan netizen tidak wajar dalam membuat pelbagai andaian yang menimbulkan fitnah dan kecurigaan sedangkan kes masih dalam siasatan. Gambar-gambar diviralkan tanpa memikirkan sensitiviti keluarga mangsa. Sikap buruk ini harus dibuang jauh-jauh. Manakala, public figures terutamanya harus berhati-hati dalam memberikan pendapat.

Innalillahi wainna ilaihi rojiuun…

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.