5 IDEA MENDIDIK ANAK MENJADI MATANG SEBELUM USIANYA

558288_10203045444647590_730876106_n

1. Mengadakan Usrah Mingguan & Usrah Bulanan Bersama Keluarga

Usrah ini boleh dilakukan seminggu sekali. Sebaiknya pada malam Jumaat atau malam Sabtu. Antara tugasan usrah yang boleh diberikan kepada anak-anak mengikut usia mereka termasuklah melantik anak menjadi pengerusi majlis, membacakan doa pembuka & penutup majlis, mencatat minit mesyuarat dan membacakan kitab.

5-7 tahun – Membaca doa

8-10 tahun – Mencatat minit mesyuarat

10-12 tahun – Mempengerusikan majlis dan membaca kitab

13-17 tahun – Memberikan tazkirah

Antara pengisian atau agenda usrah ini termasuklah:

Agenda 1: Selepas solat berjemaah, berikan tazkirah berdasarkan kitab yang dipilih. Pilih kitab yang mudah dan menyentuh bab tasawwuf, akhlak dan disiplin untuk dibacakan oleh anak dan diulas oleh ayah sebagai naqib. Pendek sahaja dalam 10-15 minit. Kaitkan solusi yang Islam tawarkan dalam menguruskan masa, emosi dan hubungan sosial. Hasil tazkirah ini boleh dijadikan rujukan atau teladan apabila membincangkan isu-isu yang akan disentuh di bawah.

Apabila anak sudah meningkat usia, mereka boleh memberikan tazkirah. Latih mereka bercakap tanpa merujuk teks dan teknik-teknik public speaking. Berikan tajuk untuk mereka bentangkan dalam usrah seterusnya.

Agenda 2: Laporan prestasi solat, puasa dan hafalan Al-Quran. Adakah perkara-perkara sunat dilakukan? Setkan KPI untuk mereka. Tegur jika ada ibadah yang kurang.

Agenda 3: Laporan prestasi pelajaran dan aktiviti ko-ku. Berkongsi masalah yang dihadapi di sekolah, dengan kawan-kawan dan sebagainya.

Agenda 4: Laporan kewangan isirumah  dan simpanan anak-anak seperti simpanan untuk pelaburan, mainan, pelancongan dan sebagainya. Apa yang dibeli oleh anak-anak di sekolah? Kongsi kekangan kewangan keluarga jika ada. Anak-anak akan lebih memahami taraf hidup dan celik kewangan.

Agenda 5: Perancangan aktiviti hujung minggu seperti gotong royong membersihkan rumah dan aktiviti sosial bersama masyarakat, jalan-jalan dan balik kampung. Bahagikan tugasan rumah untuk sepanjang minggu seterusnya dan rotate tugasan-tugasan ini di setiap minggu seperti membasuh periuk, menyapu, melipat baju dan lain-lain. Jangan biarkan anak-anak mengisi masa mereka sendiri tanpa panduan seperti bermain game sepanjang hari. Tetapkan perancangan dan jangan ubah supaya anak-anak tidak terkejut jika ibu bapa ada perancangan yang mungkin bercanggah dengan perancangan mereka.

Agenda 6: Perkongsian masalah atau konflik yang dihadapi sesama ahli keluarga dan bagaimana untuk menyelesaikannya. Tegaskan sifat kasih sayang, sabar, prihatin, bertanggungjawab dan lain-lain.

Agenda 7: Makan bersama dan membuat aktiviti yang menggembirakan seperti menonton movie, bermain permainan board, makan di luar dan lain-lain.

2. Menyertai aktiviti kemasyarakatan

Anak-anak perlu dididik untuk bersosial dan bertanggungjawab. Bawa mereka menyertai aktiviti gotong-royong di surau dan kawasan penduduk. Jika tiada aktiviti yang dirancang ketika itu, lakukan sendiri dengan anak-anak dengan skop yang lebih kecil seperti membersihkan jalan, padang permainan, mengutip sampah, menebas semak, vacuum dan mop surau. Yang penting, skop mesti melibatkan aset awam. Jangan jadikan anak-anak manja dengan pelbagai kemudahan dan servis yang disediakan. Ajar mereka erti kesusahan orang-orang yang berkerja keras bagi memastikan kawasan rumah bersih dan selamat.

3. Solat berjemaah Subuh, Maghrib dan Isyak di surau bersama anak-anak.

Luangkan masa mengajar dan mendengarkan hafalan anak-anak selepas atau sebelum solat berjemaah. Pentingkan disiplin dan bersikap tegas sepertimana generasi lama mendidik anak-anak dahulu.

4. Menggalakkan anak-anak menyertai kelab.

Utamakan kelab pertahankan diri, kelab pencinta alam dan kelab sukan yang mengajar disiplin yang tinggi di samping menjaga kesihatan, keselamatan diri dan menanamkan rasa cinta kepada alam semulajadi.

5. Membantu orang susah

Lawat rumah anak yatim, mengedarkan makanan kepada gelandangan, mengutip derma dan lain-lain. Ajarkan anak-anak kesusahan hidup orang yang tidak bernasib baik dan erti kesyukuran serta tanggungjawab yang lebih besar sebagai orang Islam.

Akhir kata, apa yang paling penting adalah ibu bapa sendiri mestilah berdisiplin dan tegas dengan anak-anak. Pendirian dan prinsip ibu bapa mestilah jelas supaya anak-anak tidak keliru.

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.