16 KESALAHAN & KELEMAHAN BERHUJAH PALING POPULAR APABILA TIDAK MAMPU BERHUJAH

jahil ilmu

Menurut pakar psikologi, terdapat beberapa kesalahan dalam berhujah yang digunakan apabila seseorang itu tidak mampu berhujah dengan sihat dan baik. AWAS dengan 16 kesalahan-kesalahan berhujah paling popular yang disenaraikan di bawah. Jika anda pernah terserempak dengan hujah-hujah dangkal seperti ini, sila kongsikan pengalaman anda di ruangan komen!

1. Sweeping Generalization

Maksudnya, kita menganggap semuanya sama berdasarkan perspektif kita. Ini kerap terjadi dan sangat bahaya apabila digandingkan dengan stereotyping. Contoh:

“Orang Cina ni semuanya tamak dan pentingkan diri sendiri”

Contoh lain:

“Islam ni adalah agama yang ganas. Bom sana-sini!”

Ops, hati-hati! Ini satu kenyataan yang bahaya! Walhal, ia mungkin berdasarkan pengalaman peribadi atau kes terpencil namun dianggap terpakai untuk semua orang dan keadaan. JAUHKAN!!!

2. Red Herring

Maksudnya, mengetengahkan isu lain yang bertujuan untuk mengalihkan isu yang sedang dibincangkan. Yang ini paling kerap berlaku dan menjadi kegemaran cybertroopers politik. Lebih dikenali sebagai SPIN!! Bila tidak mampu berhujah topik yang sedang dibincangkan, si fidget spinner yang bacul ini akan tukar topik. Contoh:

“Isu rasuah yang dibincangkan itu memang penting, tapi yang kita lebih bimbang adalah ancaman oleh golongan yang menentang Islam”

Biasa jumpa kan? Dengan menukar topik, isu rasuah tidak lagi dibincangkan. Sepatutnya perbincangan mengenai isu rasuah, tetapi fokus perbincangan sudah berubah apabila si putar alam datang. Itulah tujuannya! Supaya kita lemas dalam banyak isu-isu lain sehingga fokus lari! Kita pun pening!! Jangan gelabah. Abaikan sahaja dan fokus kepada topik yang dibincangkan.

Kita putar Halim!! Go fidget spinner!

3. "Straw Man" Fallacy

Maksudnya, cubaan untuk memenangi hujah dalam sesuatu isu dengan membawa hujah isu lain yang seakan-akan berkaitan. Yang ini pun kerap dilakukan tapi sukar untuk dikesan. Contoh:

A: “Iklan arak patut diharamkan di televisyen sebab banyak unsur negatif”
B: “Betul, tetapi orang tetap akan beli dan minum arak!”

Nampak tak apa yang si B dah buat? Si A tidak pernah berhujah mengatakan arak tidak patut dijual langsung. Isunya adalah iklan arak di televisyen yang negatif. Taktik ini selalu digunakan oleh orang politik. Saya bagi contoh yang lebih straight forward:

A: “Betulkah pihak pentadbiran telah melabur sebahagian duit pembeli yang dikumpulkan dalam instrumen yang berisiko tinggi tanpa pengetahuan?”
B: “Kita telah melakukan pelbagai kebajikan seperti umrah dan derma kepada anak yatim”

Ops, jangan tepuk tangan dahulu. Nampak tak apa yang si B dah buat? Nampak tak magik si B? Dia tak menjawab soalan pun!  Dia jawab isu lain, iaitu isu CSR. Yang ditanya adalah isu salahguna duit! Tak mustahil kan si B buat dua-dua?

4. False Analogy

Maksudnya, membuat perumpamaan atau analogi yang tidak tepat (tidak apple to apple). Yang ini yang saya paling benci sebab ia menunjukkan kelemahan berfikir. Namun ia kerap dilakukan oleh orang-orang kita yang merasakan dirinya sahaja betul. Perumpamaan yang tidak tepat adalah sesat dan menyesatkan! Contoh:

“Pihak Pakatan Harapan sibuk nak suruh EXCO PAS letak jawatan di Selangor, tetapi mereka mempertahankan pula jawatan guru-guru pembangkang yang bertugas di negeri BN”

Di sini penghujah gagal membuat perbandingan yang apple to apple. Apabila membuat perumpamaan, kefahaman yang jelas diperlukan dalam sesuatu perkara itu untuk mengetahui apakah perbezaan dan persamaannya. Dalam contoh di atas, penghujah gagal membezakan antara lantikan politik dengan lantikan awam.

Contoh lain:

Menteri: “Minyak petrol di Malaysia masih murah. Sebagai contoh, di UK 1 liter bersamaan RM6. Di Malaysia cuma RM2 seliter!”

Nampak tak kesalahannya di sini? Patutnya si Menteri jangan convert duit di UK tu dan bandingkan juga dengan pendapatan rakyat di sana. Bahananya, Menteri tak nampak kesusahan rakyat. Sedih kan?

perbandingan tak tepat itu sesat
Kenapa perbandingan ini tidak tepat? Hint: ekspres
   

5. Ad Hominem

Maksudnya, menyerang peribadi seseorang apabila tidak mampu memberikan hujah. Ini juga kesalahan yang paling kerap dan paling bacul. Mudah untuk dikenalpasti tetapi menyedihkan apabila ada orang tidak anggap ia sebagai satu kesalahan. Contoh: 

A: “Aku rasa apa yang dia buat tu tak betul lah”
B: “Alah, kau tu pun bukannya baik sangat. Cermin muka sendiri tu dulu!”

Isu asal ditolak mentah-mentah apabila peribadi seseorang itu diserang. Walhal ia tiada kaitan pun dengan isu yang dibangkitkan. Selalu jumpa kan? Orang puteh kata “don’t shoot the messenger!”   
   

6. Arguing by Association

Maksudnya, menghukum seseorang berdasarkan keahlian atau hubungannya dengan sesuatu organisasi atau ideologi. Yang ni selalu orang pakai bila tak mampu nak counter hujah yang diberikan. Contoh:

“Cakap dia ni tak boleh pakai sebab dia ni khadam (nama organisasi)!!”

Selalu dengar kan? Dalam kata lain ialah memberikan label. Bila label diberikan, ia mencabar kredibiliti si penghujah tanpa melihat kepada isi hujah tersebut. Ramai orang suka pakai label kan? Itu menunjukkan dia adalah orang yang lemah otak dan tak mampu berhujah!

7. Authority Fallacy

Maksudnya, berhujah dengan menggunakan latar belakang kuasa atau kedudukan seseorang. Contoh:

A: “Eh, aku rasa apa yang Pak Su buat tu tak betul lah. Dia tak boleh gunakan duit tu untuk tujuan lain”
B: “Pak Su tu kan Ketua Kampung, dia tahu la apa yang dia buat!”

Nampak tak apa kesalahan yang dilakukan. Sepatutnya si B membawa hujah kenapa dia rasa perbuatan Pak Su itu betul. Tetapi si B hanya menggunakan kedudukan Pak Su untuk menolak hujah si A. Selalu jumpa jugak kan?

8. Appeal to Ignorance

Maksudnya, menghalalkan sesuatu perkara itu kerana belum terbukti haram. Contoh:

“Ubat yang kami buat ni bagus, setakat ni takde orang yang sakit bila makan ubat kami”

“Bisnes yang kami lakukan ini adalah sah di sisi undang-undang kerana tidak tersenarai di dalam watchlist BNM”

Selalu jumpa bila orang iklan produk atau MLM. Dalam contoh kedua, tidak tersenarai di dalam watchlist BNM bukan bermakna bisnes yang dilakukan itu sah di sisi undang-undang. Ia mungkin menunggu masa sahaja!

9. Argument Backed by a Stick

Maksudnya, memaksa orang menerima hujahnya dengan menggunakan kekerasan atau ancaman. Yang ini selalu digunakan oleh orang yang mempunyai kuasa. Contoh:

A: “Saya rasa jika syarikat buat begini syarikat akan menanggung kerugian dalam jangka masa panjang”

B: “Kalau awak tak setuju dengan cara pihak Pengurusan, saya bimbang awak tidak mampu berkerja dengan baik untuk syarikat ini.”

Walhal, pekerja tu mungkin sekadar bertanya dan menegur keputusan yang tidak betul atau perbuatan rasuah. Sepatutnya si B jawab balik kenapa keputusan yang dibuat pihak Pengurusan itu adalah keputusan yang terbaik. Ancaman akan digunakan apabila tidak ada jawapan kukuh. Kemungkinan besar si B mungkin terlibat sama!

Contoh lain:

Guru: “Laporan Audit Negara menyebut harga jualan sebuah komputer oleh kontraktor yang dilantik oleh Kerajaan adalah sangat tinggi berbanding harga pasaran. Projek ini  dilihat menguntungkan orang-orang tertentu.”

Menteri: “Kakitangan Kerajaan sepatutnya bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan tidak menjadi gunting dalam lipatan. Ada ramai lagi orang yang mahukan jawatan-jawatan ini.”

Nampak tak kesalahan yang dilakukan oleh si Menteri. Dia tak menjawab pun isu yang dibangkitkan oleh si guru. Ada dua kesalahan di sini. Pertama Straw Man Fallacy dan kedua berbentuk Ugutan. Nampak tak dua-dua kesalahan ini? Bagus! Ada kemajuan! Teruskan…

10. Bandwagon Appeal

Maksudnya, sesuatu perkara itu dianggap betul kerana ramai orang sokong (tanpa memberikan apa-apa statistik). Sikap orang di sekelilingnya tidak bermakna ia terpakai untuk semua orang. Contoh:

“You tau tak, sekarang tudung berjenama ni dah jadi trend tau. Bila I balik ke Malaysia hari tu, I tengok rrramai orang pakai tudung Neelofa walaupun mahal.”

Walhal, orang yang dia lihat di sekelilingnya mungkin terdiri daripada komuniti yang mampu dan berduit. Cuba tanya orang yang kerja kilang. Jangan buat kesalahan ini. Ada orang mungkin terasa!

Contoh lain:

“Kehadiran pada hari ini cukup ramai! Ini menunjukkan sokongan rakyat yang padu!”

Betul ke semua rakyat sokong? Awas! Jangan terpedaya. Mungkin yang datang tu diberikan dedak atau dapat surat wajib hadir!

11. Begging the Question

Maksudnya, memberikan hujah dengan membawa hujah yang sama. Yang ni ramai tak sedar. Contoh:

“Kau jangan risau, aku buat ni sebab ia keputusan yang betul. Aku dah diajar sejak kecil untuk fikir betul-betul sebelum buat sesuatu keputusan!”

Hujah yang sepatutnya diberikan adalah kenapa ia adalah keputusan yang betul seperti menjamin masa depan dll. Ini adalah hujah orang malas!

12. False Alternative

Maksudnya, menafikan kemungkinan-kemungkinan lain dalam menghalalkan hujahnya. Contoh:

“Penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar adalah lemah dan tidak kompetitif, jadi kita kena tukar  bahasa pengantar buku teks kepada Bahasa Inggeris”

Yang ni contoh yang real. Dengan menafikan faktor-faktor lain seperti penguasaan bahasa di kalangan guru dan ibu bapa, Kerajaan telah  menukar bahasa pengantar Matematik dan Sains yang melibatkan jutaan kos. Ini terbukti satu penyelesaian yang gagal apabila guru pun tidak boleh mengajar dengan baik. Terbukti hari ini bahasa pengantar ditukar semula. Boros kan? Itulah bahana kesalahan dalam berhujah!

Contoh lain:

Menteri: “Ekonomi negara masih dalam keadaan yang baik kerana lebuhraya sesak dengan kenderaan!”

Di sini, si Menteri gagal mempertimbangkan kemungkinan-kemungkinan lain yang menyebabkan lebuhraya sesak. Kereta yang banyak tu mungkin kereta lama, loan 9 tahun, jalan tak cukup lebar, populasi meningkat dan lain-lain. Tapi kemungkinan-kemungkinan ini tidak dipertimbangkan dengan menyeluruh. Bahananya, Menteri tak nampak kesusahan rakyat. Sedih kan?

13. Fallacy Fallacy

Maksudnya, hujah yang digunakan dengan penafian langsung dan selalunya diikuti dengan penipuan. Selalu digunakan oleh budak-budak. Maka yang menggunakan hujah ini juga bolehlah dianggap tidak matang macam budak-budak. Contoh:

A: “Mak, adik pecahkan pinggan tu!”
B: “Eh mana ada, adik tak buat pun, dia jatuh sendiri!”

Contoh lain:

A: “Menurut laporan ini, sejumlah besar wang telah dialirkan secara haram ke dalam akaun si Penyangak”
B: “Eh, mana ada, itu tidak benar! Semuanya adalah fitnah untuk menjatuhkan si Penyangak!”

Senangkan kalau boleh berhujah macam ni? Segala fakta atau laporan, walaupun berjela-jela sekalipun menjadi invalid!

14. TWO WRONGS MAKE ONE RIGHT

Maksudnya, haram + haram = halal. Seseorang menjustifikasikan kesalahannya dengan kesalahan orang lain. Contoh:

A: “Eh, abang tak boleh buat macam ni. Mana boleh ikut laluan kecemasan!”
B: “Alah orang lain pun buat juga, mana aci!”

Contoh lain:

A: “Eh, mana boleh pakai cai ni. Biarlah penduduk pilih betul-betul berdasarkan kebolehan”
B: “Akhi, dulu depa pun buat lagu ni. Sebab tu masjid-masjid semua depa pegang. Kalau kita tak buat lagu ni, kita yang rugi! Hang nak jadi lagu tu ka?”

Biasa jumpa jugak kan? Ingat, jika perkara itu salah dan haram, ia tetap salah dan haram!

15. Permission by Age

Maksudnya, menolak hujah seseorang dengan mengatakan tidak cukup ilmu atau usia untuk berhujah. Contoh:

A: “Cuba terangkan kenapa anda menyatakan bahawa teori konspirasi ini benar-benar terjadi di negara kita?”
B: “Isu ini terlalu sulit untuk difahami oleh kalian yang belum cukup ilmu!”

Nampak tak apa yang si B lakukan apabila dia tak mampu menjawab persoalan si A? Dia gunakan alasan tidak cukup ilmu untuk tidak menjawab! Bagi saya hujah ini digunakan untuk membodohkan orang daripada mencari kebenaran. Budaya ni tak bagus sebab kita kena meraikan ilmu. Ilmu dan hidayah tidak mengenal usia!

16. Copy Paste Syndrome

Maksudnya, tidak menjawab hujah yang diutarakan secara tuntas tetapi berkongsi artikel lain yang selalunya panjang lebar dan tidak semuanya berkaitan dengan topik tanpa membuat apa-apa rumusan yang menambah nilai perbincangan (add value). Kesalahan ini kerap diamalkan sejak kewujudan media sosial. Contoh:

A: “Cuba terangkan kenapa anda menyatakan bahawa Amanah ini adalah kuda tunggangan DAP?”
B: *Paste article profesor kang kung 10,000 perkataan*

Nampak tak apa yang si B lakukan? Si B membiarkan artikel menjawab bagi pihaknya! Bagi saya ini adalah satu amalan yang tidak sihat dan menunjukkan si penghujah itu malas atau sebenarnya kurang faham. Jika si penghujah faham, dia tidak perlu berkongsi keseluruhan artikel tetapi cukup dia merumuskan poin-poin yang penting.
   

  

KESIMPULAN

Tahniah, anda sudah arif dan kenal dengan hujah-hujah dangkal ini!

Ada banyak lagi jenis-jenis kesalahan dalam berhujah menurut pakar psikologi. Namun yang saya senaraikan di atas adalah yang paling kerap dilakukan. Kesan daripada kelemahan berhujah tidak boleh dianggap remeh. Kita boleh ditipu buta-buta jika kita tidak dapat mengesan kesalahan-kesalahan ini. Apatah lagi jika orang yang berhujah tu bercakap manis! Berbekalkan pengetahuan ini, anda kini bersedia untuk berdepan dengan sesiapa sahaja!

Jika anda ada pengalaman berdepan dengan hujah-hujah dangkal di atas, sila kongsikan di ruangan komen.

Sekian.

Abe: Mari semaikan budaya berhujah yang sihat, matang dan sejahtera!

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.