Merajuk Jangan Berpanjangan

Lelaki Jepun Merajuk 20 tahun

20 Tahun Tidak Bercakap

Saya terbaca artikel mengenai seorang pakcik japang yang merajuk selama 20 tahun dengan isterinya. Selama itu mereka suami isteri tidak bercakap langsung di antara satu sama lain sehinggalah mereka dipertemukan dalam satu rancangan TV setelah anaknya berkongsi kisah ayah dan ibu mereka. Bila bertemu di satu taman (tempat mereka bertemu buat pertama kalinya) mereka akhirnya berbual setelah lebih 20 tahun lamanya. Baru diketahui oleh si isteri yang si suami merajuk kerana cemburu dengan kasih yang diberikan si ibu terhadap anak-anaknya.

Selepas itu bila ditanya, si ayah berkata dia menyesal kerana merajuk tetapi tidak dapat putarkan kembali waktu yang telah berlalu pergi.

 

Merajuk Jangan Berpanjangan

Sabda Nabi SAW:

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثٍ، فَمَنْ هَجَرَ فَوْقَ ثَلَاثٍ فَمَاتَ دَخَلَ النَّارَ

“Tidak halal bagi seorang muslim untuk memboikot saudaranya lebih dari 3 hari. Siapa yang memboikot saudaranya lebih dari 3 hari, kemudian dia meninggal maka dia masuk neraka.”

(HR. Abu Daud 4914, dan dishahihkan Al-Albani).

Hadis di atas tersangatlah terpakai untuk pasangan suami isteri yang sudah tentu hubungan di antara keduanya lebih erat dan intim berbanding hubungan di antara dua sahabat karib.

Pihak yang merajuk atau berdiam diri atau memboikot pasangannya janganlah berbuat demikian lebih dari 3 hari, ataupun seminggu, apatah lagi selama 20 tahun.

Fitrah sebagai manusia yang mempunyai hati dan perasaan, sememangnya sukar untuk menahan emosi sedih dan marah, maka Allah SWT anugerahkan sehingga 3 hari untuk melayani perasaan, merenung dan bermuhasabah. Jika emosi segera dilandaskan kepada Allah SWT, nescaya 3 hari itu sudah lebih dari mencukupi. Namun, jika ia dilandaskan kepada nafsu, nescaya Syaitan akan memanjang-manjangkan layanan perasaan itu sehingga was-was dan syak wasangka bermaharajalela di dalam hatinya. Maka, 20 tahun pun tidak akan cukup puas. Ada yang sehingga suaminya telah mati pun masih merajuk dengan si arwah.

Diketahui umum yang selalu merajuk adalah para isteri. Maka, apabila ditujukan hadis di atas kepada mereka, sudah pasti para isteri segera mempertahankan diri mereka dengan mengatakan

"Kenapa isteri sahaja yang kena beralah?"

"Sudahlah suami yang buat silap, yang buat kita sedih dan marah, kita pula yang bersalah"

"Kita dah lah penat jaga anak-anak, sekarang kita pula kena berkorban"

"Hidup ni tidak adil!"

Ketahuilah sesungguhnya Allah itu Yang Maha Adil. Jika suami benar-benar sayangkan isterinya, sudah tentu dia tidak sanggup melihat isteri yang dikasihi ke neraka.

keluarga muslimSuami yang mencintai isterinya kerana Allah SWT pasti akan memujuk isterinya. Suami yang memahami isterinya sudah tentu faham dengan fitrah kejadian perempuan yang lembut hatinya dan mudah terasa, maka dia akan berikan ruang kepada isterinya untuk melayani perasaan dan kembali bertenang. Suami yang gagah perkasa mesti berupaya menahan amarah tatkala berhadapan dengan ‘krisis mulut’ dan ‘musim dingin’ dan menjadi pihak yang matang dan masih mampu berfikir dengan tenang bersama kelebihan akal yang dikurniakan.

Selalunya punca perselisihan di antara suami dan isteri adalah kerana hal yang remeh-temeh. Namun begitu, oleh kerana kedua-duanya terlalu sibuk melayan perasaan (baca: emosi dan hasutan syaitan), maka keduanya tidak dapat melihat dengan terang jalan untuk keluar dari perselisihan ini. Soalan mudah seperti "kenapa awak sedih?" atau "kenapa awak marah dengan saya?" pasti akan dapat merungkai segala persoalan dan permainan perasaan jika tidak kerana ego yang menghalang.

 

3 Hari Untuk Kita Renung-Renungkan

sabar3 hari yang diberikan oleh Allah SWT bukanlah untuk kita gunakan semuanya menangis di atas katil, tetapi untuk kita bersujud, berzikir, berdoa dan bermuhasabah akan kelemahan diri sendiri. Jika kedua-dua suami isteri mengambil kesempatan yang Allah SWT berikan ini dengan sebaik-baiknya, nescaya pasangan ini akan menjadi pasangan yang terbahagia.

Setelah mendapat kembali ketenteraman hati dan kepentingan diri dapat ditundukkan, maka keduanya akan dapat berdiskusi dengan baik, insya Allah. Maafkan kesilapan pasangan dengan sebenar-benar keikhlasan dan kemaafan dan janganlah dipendamkan perasaan yang sedih itu.

 

Cegah Sebelum Parah

Perselisihan mungkin berpunca daripada perasaan atau kehendak yang telah lama terpendam namun tidak dapat atau tidak sempat disuarakan. Sebaik-baiknya berbincanglah dengan pasangan semasa pasangan berada dalam mood positif dan mudah menerima cadangan, selalunya apabila pasangan sedang gembira. Sebutkan secara berhikmah perkara-perkara yang perlu diperbaiki demi kebahagiaan bersama. Memberi dan merasa, berkorban bersama-sama, dalam susah mahupun dalam senang.

Untuk suami (atau isteri), jangan abaikan perkara yang dilihat remeh kerana ia boleh terpendam dan meletus menjadi amarah yang pasti akan melukakan hati. Tegurlah segera dengan bijaksana dan lemah lembut sesuai dengan akal yang dikurniakan sebelum keadaan menjadi lebih sukar atau terjadi krisis pada masa hadapan kerana isu yang remeh itu tadi.

 

Kekal Bahagia Ke Jannah

Untuk bahagia itu berkekalan, ianya hendaklah disandarkan kepada Allah SWT. Bahagia tidak semestinya bersama. Bahagia boleh hadir dalam hati yang pasrah dan redha terhadap ketentuanNya. Namun jika boleh, sudah tentu kita tidak mahu pengakhirannya berseorangan. Maka teruskan dan tetapkan arah tuju pernikahan yang terikat dahulu kepada Allah.

Hati kita adalah milik Allah SWT. Bukan milik kita, dan bukan juga milik pasangan kita! Maka, jagalah hati sebagaimana kita menjaga mata, mulut, telinga, tangan dan kaki. Usah dibiar hati terumbang-ambing dalam badai emosi kerana Syaitan pasti datang mengetuk pintu hati untuk meniupkan syak wasangka, was-was dan kebencian.

Suburkan hati yang dirundung kepiluan dengan Surat CintaNya, basahi wajah dengan air wudhuk bukan dengan air mata yang dibiarkan mengalir tanpa henti. Ketahuilah, kebahagiaan yang hakiki adalah kebahagiaan yang kekal abadi.

Firman Allah SWT:

لَّقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;

Al-Fath: 18

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Ar-Rum: 21

Semoga kekal bahagia hingga ke Jannah dan selamat pengantin baru buat mereka yang baru melangsungkan perkahwinan.

Akhir kata, ayuh renungkan lirik lagu-lagu nasyid di bawah:

 


#newblogpost2017
#muhasabahdiri

 

Abe: Ada isteri yang bijak. Kena tegur masa sedang kongsi azam tahun baru.

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.