BIBIT PERPECAHAN PAS 2015 DAN GERAKAN HARAPAN BARU - Kronologi Muktamar Cai & Usul Tanpa Bahas

Gerakan Harapan Baru

Selama ini perbezaan pendapat di antara golongan ulamak dan profesional di dalam PAS memang wujud tetapi perbezaan ini masih boleh diraikan dan mereka masih boleh berbincang dengan baik.  Akan tetapi,  disebabkan corak kepimpinan Presiden PAS iaitu Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) menyebabkan hubungan di antara kedua golongan ini keruh dan kian retak kerana mereka tidak diberikan titik pertemuan dan persefahaman apabila timbul isu-isu besar.

Pendekatan TGHH amat berbeza dengan Almarhum TGNA.  Almarhum TGNA bersikap tegas dan jelas dalam prinsipnya. Tindakan tegasnya telah mematikan suara-suara Kerajaan Perpaduan dalam PAS. Namun ketika pemerintahan TGHH, suara-suara anti-DAP dan anti-IRC dibiarkan berkuak bebas dan menjadi semakin lantang sehingga pemimpin G18 telah terkena tempiasnya. Keadaan ini dikeruhkan lagi dengan kemunculan NGO dan ustaz-ustaz muda dalam PAS yang bersikap melampau seperti Geng Ustaz. Di media sosial, akaun FB berhantu seperti El-Haraki dan TUC menjadi batu api  yang penuh provokasi dan melebarkan jurang ketidaksefahaman. Natijah kepada corak kepimpinan TGHH yang lemah, PAS telah dicemari dengan doa laknat terhadap pemimpin sendiri, boo-mengeboo, keluar dewan dan demonstrasi sama ada oleh pemerhati mahupun oleh perwakilan sendiri.

Kemuncak kepada ketidaksefahaman di antara golongan ulamak dan profesional ini terjadi pra dan pasca Muktamar PAS 2015 dan dapatlah diringkaskan seperti berikut:

1. Di dalam wawancara yang disiarkan akhbar sebelum muktamar, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Mahfodz secara terang-terangan tidak mahukan golongan profesional atau secara khususnya pimpinan G18 berada di dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP), dengan alasan mereka pandai beri fakta dan kerana itu sukar untuk membuat keputusan. Walaupun kedengaran tidak masuk akal,  namun itulah pendirian yang dirakamkan.  Tuan Presiden pula menegaskan supaya perwakilan membuat pilihan yang betul,  sama ada memilih ulamak atau memilih calon yang ditentukan DAP.

ulamak atau barua dap  mahfodz wawancara mingguan malaysia

“Bila banyak ulama dalam AJK PAS Pusat, kemudian dibantu pula oleh golongan proulama dalam Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat maknanya hala tuju akan datang lebih jelas, satu arah, satu matlamat, apabila semua macam itu, ia akan memudahkan kerja. Sekarang ini saya terus terang, golongan profesional dominan, dia kuat dan boleh beri fakta-fakta menyebabkan keputusan tidak boleh dibuat.”  - Dato’ Mahfodz Mohamed (Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat)

Ucapan Dato’ Mahfodz ketika Muktamar 2015 juga telah mengesahkan yang Dewan Ulamak lebih gemar berhujah dengan sentimen berbanding dengan fakta apabila mengatakan usul tanpa bahas ini diputuskan kerana ingin membuktikan bahawa PAS ingin menjaga “izzah” (maruah) dan menghilangkan persepsi bahawa PAS menjadi ‘Kuda Tunggangan DAP” sekaligus menunjukkan PAS sudah termakan umpan permainan sentimen UMNO yang selama ini digerakkan melalui perang saraf di media massa dan media sosial. Ternyata UMNO adalah pemenang sebenar kepada pertelingkahan ini apabila PAS berpecah dan Pakatan Rakyat terbubar.

2. Objektif ini tercapai apabila senarai cai digunakan yang bertujuan membezakan antara dua team dalam PAS supaya mudah untuk para perwakilan mengenali yang mana calon team ulamak (Team A) dan yang mana calon profesional atau “Barua DAP” atau "Jebon" (Team B). Ketika muktamar berlangsung, para perwakilan dilihat membuang undi secara terbuka dan ada yang berbincang.  Natijahnya,  hampir kesemua pimpinan profesional PAS yang ternama kalah,  sama ada di peringkat pusat, pemuda mahupun muslimat. Belum pernah terjadi di mana hampir kesemua calon team B dikalahkan. Ternyata keputusan muktamar telah mencerminkan dan merealisasikan senarai cai yang diedarkan oleh pihak tertentu. Namun,  ada yang cuba menidakkan kenyataan ini dan menutup sebelah mata dengan menyatakan ia adalah adat pertandingan walaupun keputusannya pelik bin ajaib!

Senarai-Cai-Muktamar-PAS-2015 cai muktamar pas 2015 nik abduh vs suhaizan kayat

3. Setelah dikalahkan, bermacam-macam kenyataan yang tambah mengeruhkan keadaan dan mengguris mereka yang kalah seperti oleh Ketua Pemuda yang baru iaitu Nik Abduh yang mengibaratkan kekalahan mereka sebagai proses tapisan Allah daripada yang buruk kepada yang baik. Zuhdi pula mengatakan pas kini berada di landasan yang betul.  Semuanya menunjukkan bahawa terdapat agenda supaya golongan profesional ini disingkirkan supaya golongan ulamak dapat memonopoli saf kepimpinan PAS.  Dan ternyata, impian ini telah tercapai melalui penggunaan cai. Bagi yang tewas, sesungguhnya  pemilihan kali ini tidak boleh diterima kerana bersifat tidak adil.  PAS sudah kehilangan keseimbangan kuasa di antara golongan ulamak dan profesional yang sebenarnya telah mengukuhkan parti dalam arena politik tanah air sejak dua dekad yang lalu.

4. Golongan yang kalah tiada lagi tempat di dalam parti. Hendak menyumbang di peringkat pusat,  ruangnya sudah tertutup. Suara mereka sudah disenyapkan. Mereka jadi kera sumbang. Peranan mereka di dalam parti telah dibantutkan. Karier politik mereka dalam PAS seolah-olah telah dibunuh.

5. AKAN TETAPI, ini belum cukup untuk dijadikan sebab untuk keluar PAS dan tubuh parti baru. Sebab utama adalah usul tanpa bahas untuk memutuskan hubungan dengan DAP. Ini kerana  implikasinya sangat besar sehingga wujudnya lompong di dalam PR. Namun, kritikan golongan profesional terhadap usul ini dianggap seperti membela DAP dan menyanggahi kepimpinan TGHH. Ulamak dalam PAS mungkin berasa puas hati kerana dapat berkeras dengan DAP namun hakikatnya kini, rakyat sudah mula hilang harapan mereka yang diberikan dalam PRU12 dan PRU13. Sedang negara dihangatkan isu 1MDB dan UMNO berada dalam kedudukan yang paling lemah,  PAS pula hilang fokus dengan isu dalamannya sendiri gara-gara muktamar cai dan usul tanpa bahas. Pada ketika ini, golongan profesional masih menaruh harapan yang usul ini akan ditarikbalik apabila dikaji semula oleh Majlis Syura Ulamak (MSU). 

6. Setelah sebulan dibiarkan tergantung,  MSU akhirnya mengesahkan keputusan usul tanpa bahas tersebut.  Namun, nasi sudah menjadi bubur. Hubungan PAS dan DAP sudah tidak boleh diselamatkan lagi.  Pakatan Rakyat sudah terbubar. Inilah kemuncaknya buat para pimpinan G18 yang telah dipulaukan. Bagi mereka, usul yang mempunyai implikasi besar ini sepatutnya dibincangkan bersama mereka terlebih dahulu. Paling tidak pun, jika ia dibahaskan semasa muktamar,  mungkin pendekatan usul tersebut masih boleh diperhalusi dan PR boleh diselamatkan.  Tetapi malangnya, ia tidak dibahaskan atas arahan pihak tertinggi dalam PAS.

7. Kelompongan dalam PR inilah yang perlu diisi segera.  Sokongan rakyat yang berbilang kaum terhadap PAS sebahagian besarnya diperolehi kerana pendekatan PAS dahulu yang Mesra Berkebajikan - PAS Untuk Semua.  Namun,  presiden selaku nakhoda kini sudah menukar haluan bahtera untuk menyusuri terusan yang lebih sempit. Sokongan rakyat ini perlu dikekalkan dan harapan baru perlu diberikan kepada mereka supaya mereka tidak hilang keyakinan dan kepercayaan  terhadap kebolehan PR untuk memimpin negara.

8. Atas sebab survival politik PR,  bukan survival politik individu, dan memenuhi aspirasi rakyat berbilang kaum yang mengundi PR pada PRU13 yang lalu, maka G18 akhirnya memutuskan untuk membuat parti baharu.  Pada ketika ini pimpinan ulamak PAS yang baru dilantik masih lagi mahu menyerang dan tidak nampak usaha untuk menyelamatkan melainkan kenyataan demi kenyataan yang penuh dengan sindirin dan cemuhan.

9. Sebahagian ahli PAS akan pergi meninggalkan PAS untuk bersama wadah baru ini. Sebahagian yang lebih besar lagi  yang akan turut pergi adalah sokongan rakyat yang berbilang bangsa.  PAS mungkin boleh menang di Kelantan dan Terengganu tetapi untuk pergi lebih jauh mereka perlukan rakan-rakan PR.

10. Pemimpin PAS tidak perlu gusar dengan apa yang berlaku kerana itu adalah natijah dan takdirnya yang akan tercatat di dalam sejarah ketika PAS dipimpin oleh TGHH.  PAS kini sudah suci,  bersih dan berada di landasan yang betul setelah ditapis dan ditapis sejak awal penubuhannya.  Maka yang sudah dilantik wajar menumpukan kerja terhadap amanah yang diberikan dan isu-isu semasa yang jauh lebih penting. Yang paling penting ialah PAS perlu berkerjasama dengan parti baru ini dan juga PKR dan DAP untuk mempertahankan kerajaan negeri sedia ada dan untuk memenangi Putrajaya terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang.  Hakikatnya, PAS berkongsi musuh yang sama dengan PKR, DAP dan parti baharu yang bakal ditubuhkan. Musuh bersama mereka ialah kebobrokan UMNO-BN. Oleh itu, PAS tidak wajar menjadikan parti baharu ini sebagai musuh mereka (dan juga sebaliknya).

11. Oleh itu,  cukup-cukuplah menyerang mereka yang sudah pergi dan yang akan pergi kerana ternyata golongan profesional dalam PAS juga mempunyai impian yang sama untuk melihat hudud dan nilai-nilai Islam yang syumul dilaksanakan di setiap peringkat di dalam negara, cuma, pendekatan mereka mungkin berbeza.  Maka, ucapkanlah selamat berjuang kepada mereka yang akan pergi. Hakikatnya, kalian masih boleh berjalan seiringan walaupun tidak sehaluan untuk mencapai kemenangan yang diimpikan.

Lain-Lain Artikel:
3. Di Mana Mulanya Krisis PAS? - Arifin Zakaria

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.