Jendela Hati

jendela hati

Hati adalah tempat jatuhnya simbahan cahaya dan nur hidayah Allah.

Hati yang bersedia menerima sentuhan Ilahi, ibarat jendela yang terbuka seluas-luasnya di waktu pagi. Inilah jendela rumah orang yang bertaubat. Ia cinta kepada Allah dan Allah cinta kepadanya.

Hati yang dihinggapi dosa ibarat jendela yang separa terbuka. Masih ada sinaran cahaya yang menerjah masuk. Inilah hati kebanyakan manusia. Ia senantiasa menerima sentuhan hidayah. Namun tidak terlepas dari melakukan dosa. Hati di peringkat ini dimiliki oleh dua jenis tuan rumah:

1. Yang membuka jendela; Tuan rumah ini memiliki hati yang masih lembut. Ia masih boleh mendengar nasihat dan menyahut seruan Allah. Ia masih gagahkan diri ke masjid dan mendengar ceramah. Ia masih dekat orang-orang soleh.

2. Yang menutup jendela; Tuan rumah ini memiliki hati yang telah keras. Ia semakin jauh dari jalan kebenaran, tanpa ia sedari. Ia seronok dengan dosa yang dilakukan. Hati ini menjadi semakin keras dan keras akibat dosa yang dibiarkan berlarutan. Lantas hati ini jatuh sakit yang membarah.

Manakala hati yang telah gelap adalah hati yang telah mati, ibarat jendela yang terkatup rapat dan dikunci dari dalam. Diselubungi pula dengan langsir tebal yang berwarna hitam. Ia hidup di dalam dunia sendiri. Ia sesat dan menyesatkan orang lain. Ia takabbur dan sombong. Tanpa belas dan rahmat Allah, ia pasti akan terus sesat kerana ia telah menjual jiwanya kepada syaitan.

“Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila dia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada agama Allah yang dibawanya), maka Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu mencapai cita-citanya; oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah diganggu oleh Syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayatNya dengan kukuhnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah (cubaan) bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka, dan yang hatinya keras membatu; dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran. Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.”

(Al-Hajj: 52-54)

Jika paras rupa dan pakaian yang cantik adalah tempat jatuhnya pandangan manusia, maka HATI adalah tempat jatuhnya pandangan Ilahi. Maka, jagalah hati dan sambutlah sinaran nur hidayahNya.

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.