Mengapa Hati Mati {Artikel Pilihan}

NOTA ARTIKEL:

Cinta dan hati tidak dapat dipisahkan, kerana cinta yang sejati itu datangnya dari hati yang murni dan tulus, bukannya dari pandangan mata yang liar menilai dengan emosi dan hawa nafsu. Namun, tidak ramai yang berusaha untuk menjaga hati mereka atas nama CINTA. Ramai yang lebih berminat untuk ‘menjaga hati’ pasangan masing-masing daripada menjaga hati mereka sendiri dahulu tanpa mereka sedari. Lebih parah, ramai yang lebih berminat malahan berasa gundah-gulana kerana ingin sentiasa kelihatan cantik di mata pasangan masing-masing. Pelbagai barangan kosmetik, pembersih muka, alat solek, ubat-ubatan dan sesi terapi yang dibelanjakan untuk menjaga kecantikan jasad walhal Allah tidak memandang itu semua. Apa yang Allah pandang ialah hati kita. Kerana dari hatilah lahirnya niat, dan dari niatlah zahirnya amal perbuatan kita.

Tidak ramai yang berusaha untuk menjaga ‘kecantikan’ hati mereka sendiri sebagaimana mereka berhempas-pulas menjaga kecantikan luaran untuk mendapatkan sanjungan dan pujian manusia. Betapa Allah sangat 'terasa hati' dengan manusia-manusia sebegini, ibarat suami yang pulang bekerja disambut oleh isteri yang seperti baru bangun tidur, bukannya seperti hendak keluar bershopping. Lebih menyedihkan, ramai yang sanggup mengotori pula hati mereka dengan bintik-bintik hitam akibat melakukan dosa demi dosa dan maksiat demi maksiat. Begitulah sinis dan kejinya cinta sesama manusia berbanding CINTA agung kepadaNya apabila hati tidak dijaga dan dipelihara, sedangkan menjaga kebersihan hati dan memupuk rasa cinta kepada Al-Khaliq itu adalah amanahNya kepada kita.

Adakah hati yang kotor sebegini yang ingin kita lihatkan kepada Allah semasa di padang Masyar kelak? Adakah hati yang kotor sebegini yang kita harapkan dapat memelihara hati orang lain?

Sudah tentu tidak. Dan tidak hairanlah jika rumahtangga diselubungi rasa tidak selesa dan tidak percaya apabila pasangan suami dan isteri saling berjauhan kerana urusan kerja dan sebagainya apabila hati masing-masing kotor dan busuk akibat dosa dan maksiat yang mereka lakukan dahulu. Itulah natijahnya cinta pandangan mata yang diselubungi dengan hawa nafsu dan emosi yang berlebihan. Lebih membimbangkan, hati yang kotor dan busuk pastinya mudah dihinggapi syaitan yang menghasut keraguan dan syak wasangka yang boleh membawa kepada kekufuran. Na’uzubillahi min zalik.

Dengan kesedaran yang sedikit ini, marilah kita sama-sama menjaga hati kita sendiri dahulu. InsyaAllah, hati yang bersih adalah hati yang selalu mendapat rahmat 'senyuman'-Nya. Sudah tentunya bahagia di dunia dan di akhirat jika Allah senantiasa melihat kita dengan redha yang berpanjangan. Moga ia sedikit sebanyak dapat membuahkan usaha amal ibadah kita yang dapat menjauhkan diri kita daripada hati yang mati..

 

قُلْ هُوَ الَّذِي أَنشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ

(67:23) Katakanlah: "Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati". (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur.

 

Wallahu’alam…

 

Mengapa Hati Mati?

oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.

Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud:

"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam."

(Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud:

كَلّا ۖ بَل ۜ رانَ عَلىٰ قُلوبِهِم ما كانوا يَكسِبونَ

"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan."

(Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

ثُمَّ قَسَت قُلوبُكُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ فَهِىَ كَالحِجارَةِ أَو أَشَدُّ قَسوَةً ۚ وَإِنَّ مِنَ الحِجارَةِ لَما يَتَفَجَّرُ مِنهُ الأَنهٰرُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَشَّقَّقُ فَيَخرُجُ مِنهُ الماءُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَهبِطُ مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

"Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan."

(Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati?

Hati mati disebabkan perkara berikut:

1. Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah. Allah berfirman bermaksud:

فَوَيلٌ لِلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِن ذِكرِ اللَّهِ ۚ أُولٰئِكَ فى ضَلٰلٍ مُبينٍ

"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata."

(Surah al-Zumar ayat 22)

2. Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir). Firman Allah bermaksud:

الَّذينَ ءامَنوا وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللَّهِ ۗ أَلا بِذِكرِ اللَّهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ

"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia."

(Surah al-Ra'd ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud:

يَومَ لا يَنفَعُ مالٌ وَلا بَنونَ

"Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan,

إِلّا مَن أَتَى اللَّهَ بِقَلبٍ سَليمٍ

kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik."

(Surah Ash-Shu’ara ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

    1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
    2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
    3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
    4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
    5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
    6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
    7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
    8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
    9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
    10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya:

Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu:

    1. Hubbul dunia (kasihkan dunia)
    2. Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
    3. Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu:

    1. Zuhud dengan dunia
    2. Zikrullah
    3. Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.

 

 

Abe: Hatimu hatiku jua…

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.