Coretan Hari Raya Eidul Adha 1433H

Sudah lama tidak menulis walaupun jari jemari ini memberontak untuk menulis kerana ingin meluahkan lontaran pemikiran yang datang bertubi-tubi setiap kali usai mengikuti sesuatu isu. Sejak kali terakhir menulis, sudah banyak yang berlaku dalam kehidupan yang penuh cabaran ini. Alhamdulillah, saya kini sudah bergelar seorang ayah kepada seorang bayi lelaki yang sempurna dan indah sekali. Syukur kepada Tuhan Yang Maha Menciptakan. Dialah yang menciptakan segala-galanya.

pengorbanan nabi ismailPerayaan hari raya eidul adha kali ini juga dirasakan begitu bermakna. Entah berapa kali mata ini bergenang mengenangkan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Tidak tergambar di fikiranku anak yang comel ini ingin disembelih dengan mata pisau yang tajam dan membelah daging. Namun kerana iman yang teguh dan kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT melebihi kecintaan kepada isteri, anak, harta, dan seluruh isi dunia, maka kedua nabi Allah ini rela berkorban demi taat setia dan cinta kepada Tuhan. Subhanallah, besar sungguh pengorbanan mereka. Mengalir air mata ini membayangkan anak lelaki sendiri di ribaan bersedia untuk disembelih sewaktu bersila mendengar khutbah pagi itu.

 

المالُ وَالبَنونَ زينَةُ الحَيوٰةِ الدُّنيا ۖ وَالبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوابًا وَخَيرٌ أَمَلً

(46) Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

(Al-Kahfi: 46)

Sesungguhnya, semahal-mahal perkara yang diciptakanNya adalah iman. Dan dengan imanlah akan aku didik anak yang diamanahkan ini.

Kemudian terdetik di pemikiran ini, apakah perkara lain yang mahal selepas iman? Adakah nyawa? Kerana nyawa berkeliaran di serata dunia, dari sekecil-kecil makhluk kepada sebesar-besarnya masing-masing menghirup dan menghebuskan nafas tanda ia hidup. Namun nyawa datang dan pergi. Ia umpana suatu tenaga yang ditiupkan ke dalam satu jasad, lalu jasad itu hidup dan bergerak-gerak. Dan apabila ia mati, tenaga itu mengalir keluar meninggalkan jasad itu, lalu jasad itu mereput. Hanya Allah yang mampu memberikan nyawa kepada sesuatu. Manusia tidak mampu memberikan nyawa kepada objek-objek dangkal yang diciptakan mereka.

Tetapi nyawa tanpa aqal ibarat haiwan-haiwan yang berkeliaran di muka bumi. Ibarat seekor nyamuk yang hidup selama 7 hari. Ibarat bakteria yang bergerak-gerak yang hidup hanya selama beberapa jam lalu ia mati. Maka nyawa yang ditiupkan kepada manusia, dan dianugerahkan pula dengan aqal fikiran (intelligence) maka itulah yang menjadikan manusia ini khalifah di muka bumi. Dengan aqal yang dianugerahkan Allah, maka manusia dapat memerintah dan memakmurkan bumi.

Manusia juga dianugerahkan dengan nafsu, naluri dan nurani. Allah memberikan nafsu kepada kita agar kita dapat merasakan lazatnya buah-buahan, nikmatnya berperasaan, indahnya sentuhan dan pancaindera.

Namun jasad yang bernyawa, dengan aqal yang memikirkan, dan dengan nafsu yang menikmati tidak akan bermakna jika tiada iman. Iman adalah sebesar-besar nikmat yang menyinari diri. Jauh lebih besar daripada nyawa, akal dan nafsu. Kerana itu iman harus dijadikan perkara utama dalam hidup yang perlu kita pelihara dan teguhkan.

وَإِذ قالَ لُقمٰنُ لِابنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يٰبُنَىَّ لا تُشرِك بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ

(13) Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

(Luqman: 13)

 

Selamat menyambut Hari Raya Aidul Adha 1433H.

Wassalam.

pengorbanan ibrahim dan ismail cinta agung

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.