Akhbar Fasik

Orang yang fasik adalah seseorang yang kerap melakukan maksiat kepada Allah dan sering meninggalkan perintah-perintahNya. Status kefasikan seseorang itu begitu dititikberatkan dalam Islam. Contohnya syarat sah akad nikah iaitu seorang wali itu mestilah bukan seorang yang fasik. Begitu juga ketika menjadi saksi pertuduhan. Kesaksiannya tertolak kerana kefasikannya.

Apakah pengertian “gugat Islam” bagi anda?

Selain orang, media seperti akhbar juga kita boleh klasifikasikan sebagai fasik, kerana sidang editor dan barisan wartawan di belakang sesuatu akhbar juga adalah merupakan manusia. Sifat fasik pada sesuatu akhbar dan majalah dapat kita lihat dengan jelas dari segi kandungannya. Adakah dengan menyediakan kolum khas untuk bicara agama dapat mengimbangi dosa menonjolkan artis-artis seksi dan keputusan nombor ekor di kolum yang lain? Sudah tentu tidak, malah ia boleh dikategorikan sebagai “akhbar munafiq” kerana bersifat talam dua muka. Kewujudan “media fasik” secara umumnya telah diterima ramai oleh masyarakat Islam di negara ini sedangkan Allah berfirman di dalam Al-Quran:

وَلا تَلبِسُوا الحَقَّ بِالبٰطِلِ وَتَكتُمُوا الحَقَّ وَأَنتُم تَعلَمونَ

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”

(2:42)

Al-Quran menjadi panduan kepada kita untuk kita jadikan kayu ukur dalam menilai sesuatu perkara. Saya bukan saja suka-suka hendak melabel tetapi jika mana-mana individu atau akhbar atau organisasi yang bersikap sebegini maka menurut pengertian di atas, mereka juga adalah entiti yang fasik dan kesaksian mereka di atas sesuatu perkara tidak boleh diterima bulat-bulat malahan menjadi kewajipan kepada kita untuk menyelidik dan menyiasat:

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنوا إِن جاءَكُم فاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنوا أَن تُصيبوا قَومًا بِجَهٰلَةٍ فَتُصبِحوا عَلىٰ ما فَعَلتُم نٰدِمينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

(49:6)

Apa yang terjadi jika kita tidak siasat dulu berita yang dilaporkan oleh media fasik ini? Impaknya sangat besar. Pertamanya kita telah membuat satu kelalaian kerana tidak menyahut perintah Allah seperti yang terkandung dalam ayat di atas. Keduanya kita telah menyebarkan berita yang tidak diketahui kebenarannya dan ketiganya, kita mungkin akan menimpakan sesuatu kezaliman kepada orang yang difitnah di atas kecuaian kita sendiri untuk menyiasat terlebih dahulu berita tersebut sebelum menyebarkannya. Maka adalah sangat penting bagi kita untuk mengetahui apakah yang dikatakan sebagai “media fasik”.

Akhbar yang fasik adalah akhbar yang tolong-menolong dalam perlakuan dosa dan maksiat. Hanya segelintir sahaja media yang tidak terkesan dengan strategi untuk memenuhi permintaan pembaca yang datang dari pelbagai latar belakang. Lalu dapat kita lihat pelbagai ruangan yang berbeza bagi memenuhi permintaan ini. Hanya segelintir juga media yang tegas dengan pendirian mereka untuk tidak mencampur adukkan perkara-perkara maksiat dengan pekara-perkara kebajikan. Media yang mencampur-adukkan perkara-perkara maksiat inilah yang dikatakan sebagai media fasik. Tidak sukar untuk kita kenali media yang fasik. Seperti juga orang yang fasik, media yang fasik dengan jelas menyiarkan perkara-perkara mungkar dan maksiat. Antaranya adalah seperti gambar-gambar yang menjolok mata, laporan berita yang merangsang syahwat, mempromosikan acara dan iklan yang meruntuhkan akhlak dan akidah umat, menyiarkan keputusan nombor ekor dan lain-lain lagi.

Majalah Mangga

Bukan sahaja akhbar, majalah-majalah melayu Islam yang porno seperti Mangga, majalah URTV dan lain-lain juga dikategorikan sebagai media yang fasik. Apa tidaknya, majalah ini secara terang membogelkan orang-orang Islam dan mempertontonkan kebogelan mereka itu kepada pembaca-pembaca yang juga orang Islam!

Apakah berita dari sumber-sumber ini kita terima bulat-bulat sedangkan Allah telah menegaskan kepada kita akan kewajiban menyiasat? Saya hairan dengan orang-orang yang berbangga dengan majalah-majalah sebegini lalu diletakkan di ruang tamu. Sepatutnya rasa malu sebagai orang Islam kerana baca media “fasik” dan “munafik” ini.

Ombak Rindu

Umat kita sedang tenat. Tenat dengan kehadiran media-media yang fasik. Yang terbaru, filem Ombak Rindu dengan jelas mempunyai elemen yang bercampur-aduk ini berjaya mengaut keuntungan yang berlipat-ganda daripada orang Islam di negara kita sendiri. Bagi saya, niat tetap tidak menghalalkan cara. Apatah lagi dengan menghinakan golongan ustazah sedemikian rupa. Kecil-kecil dahulu kita sering bergurau dengan rakan. Kita ambil satu patung dan kita kata “Hah, ini mak kau. sekarang aku pijak-pijak dia!”. Begitulah juga arakiannya dengan media yang mempunyai unsur subliminal message seperti ini. Imej Islam kita direndahkan dengan cara yang halus. Kemuliaan kita diletakkan di tempat yang paling hina. Penggunaan simbol sebeginilah yang menjadi strategi musuh Islam tanpa disedari oleh orang-orang Islam sendiri yang mungkin terlibat secara sedar atau tidak. Inilah ilmu hitam zaman moden yang digunakan oleh pihak musuh yang menjadi ikutan kita. Umat kita telah terkesan dengan pengamalan ilmu hitam zaman moden ini tanpa kita sedari.

Cerita Guru

Pembasuhan pemikiran yang berpanjangan seperti ini membuatkan kita sedikit demi sedikit mula menerima dan keliru antara yang batil dan yang haq. Ada satu cerita tentang guru yang cuba mengajarkan kepada anak muridnya tentang perkara ini. Dia tunjukkan kepada anak muridnya pembaris dan pemadam. Bila diangkat pembaris, disuruhnya anak-anak murid menjerit “pembaris!” dan begitulah sebaliknya untuk pemadam. Diangkatnya bergilir-gilir secara perlahan-lahan dan kemudian laju-laju. Murid-murid tadi tiada masalah untuk membezakan antara pembaris dan pemadam. Kemudian si guru mengubah arahan. Kali ini bila diangkat pembaris murid-murid harus katakan “pemadam!” dan bila diangkat pemadam murid-murid harus katakan “pembaris!”. Si guru pun mengangkat pembaris dan pemadam secara bergilir-gilir. Mula-mula memang ramai yang tersalah dan tersasul walaupun guru mengangkat perlahan-lahan, tetapi lama-kelamaan mereka dapat juga sehingga apabila diangkat laju-laju pun mereka tidak tersasul lagi malahan boleh sebut dengan lancar sekali.

Begitulah halnya dengan kemaksiatan yang bermaharajalela di di dalam masyarakat kita. Kita semua buat tak tahu je sebab bagi kita itu semua sudah boleh diterima sebagai satu kebiasaan. Bila sudah terima kita takkan buat apa-apa melainkan dengan hanya membenci dengan hati. Itupun syukur kerana ada yang masih membenci. Ramai yang bukan sekadar tak benci malahan jatuh cinta pula dengan perkara-perkara maksiat sebegini. Jatuh cinta dengan artis yang menjolok mata. seronok tengok filem yang lagho dan sebagainya. Maka sudah tentunya kita layak sekali untuk mendapat azab daripada Allah kerana memiliki iman yang lemah dan selalu buat tak endah sahaja akan maksiat di depan mata. Inilah hakikatnya, majoriti masyarakat kita menyukai perkara-perkara begini dan ini adalah pilihan mereka. Pemimpin yang dipilih pun tidak menutup aurat. Mereka yang telah dibasuh fikiran dengan hiburan melampau pastinya tidak dapat membezakan antara pemadam dan pembaris lagi.

Jelasnya Ombak Rindu adalah satu contoh daripada banyak tragedi murahan yang tidak langsung menerapkan unsur-unsur yang positif dengan kaedah yang bertepatan dengan kehendak syarak. Filem Ketika Cinta Bertasbih umpamanya tidak memerlukan unsur-unsur “panas'" bagi menarik penonton dari pelbagai latar belakang. Namun mesej yang disampaikan sangat baik. Cukup-cukuplah dengan cerita yang menfitnah agama kita.

Allah SWT berfirman:

وَمِنَ النّاسِ مَن يَشتَرى لَهوَ الحَديثِ لِيُضِلَّ عَن سَبيلِ اللَّهِ بِغَيرِ عِلمٍ وَيَتَّخِذَها هُزُوًا ۚ أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مُهينٌ

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.”

(31:6)

Berikut dikongsikan bersama adab-adab sebagai orang Islam yang beriman ketika menerima sesuatu berita.

Wallahu’alam,

Che Ahmad

 

Adab Ketika Menerima Berita

1. Tidak semua berita itu harus kita baca dan dengar. Kita perlu baca berita yang penting sahaja dan tidak membuang masa kita. Kita perlu bijak memilih berita yang kita baca. Gunakan “news filter” yang menjadikan iman sebagai sandaran.

2. Tidak terburu-buru ketika membuat tanggapan selepas membaca atau mendengar sesuatu berita. Tetapi kita harus ‘fatabayyanu’ yakni periksa dengan teliti dan perlahan-lahan cuba memahaminya.

Rasulullah SAW bersabda:

التَأَنِيْ مِنْ اللهِ وَ الْعَجَلَةُ مِنْ الشَّيْطَانِ

“Perlahan-perlahan itu dari Allah, sedangkan terburu-buru itu dari syaitan.”

(Musnad Abu Ya'la 7/247 disahihkan oleh al-Bani 4/404)

Imam Hasan al-Basri juga pernah berkata: “Orang mukmin itu perlahan perlahan sehingga jelas perkaranya.”

3. Menjauhkan diri daripada kata pertanyaan yang berbentuk retorik. Tidak semua pertanyaan itu harus dijawab. Kadang-kadang pertanyaan itu adalah untuk menimbulkan keraguan dan perasaan was-was.

4. Menjauhkan diri daripada berita yang memperlecehkan golongan ulamak.

5. Waspada dengan berita yang disebarkan oleh prasangka buruk. Allah menyuruh kita bersangka baik dan menjauhi sikap bersangka buruk.

Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa…”

(49:12)

Nabi SAW juga bersabda:

إيَّاكُم والظَّنَّ فإنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الحَديثِ

“Jauhkan dirimu dari sangka, maka sesungguhnya sangkaan itu paling dustanya perkataan.”

(HR Bukhari)

6. Menjauhkan diri daripada berita yang bersumberkan dari orang yang suka menghasut dan menfitnah.

Ada seseorang telah datang kepada Amirul-mukminin  Umar bin Abdul Aziz, dia menjelaskan tentang kejelekan orang lain, lalu Umar berkata: Jika kamu mahu, kami akan periksa dulu beritamu ini, jika kamu berdusta, maka kamu termasuk di dalam ayat 6 surah Al-Hujuraat (seperti yang di atas) dan jika kamu benar maka kamu termasuk di dalam firman Allah:

هَمّازٍ مَشّاءٍ بِنَميمٍ

“Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai)”

(68:11)

Kata Umar, jika kamu mahu, aku maafkan kesalahanmu. Lalu orang itu berkata, aku memilih untuk dimaafkan wahai Amirul Mukminin dan saya tidak akan mengulangi perkataan ini lagi. (Nihatul Arbi fii Fununil Adab 1/347)

7. Menjauhkan diri daripada berita orang yang bercakap tanpa ilmu dan tidak takut dosa.

Orang Islam hendaklah menjauhkan diri daripada membicarakan sesuatu yang dia tidak tahu perkaranya, kerana Allah SWT mengancam orang yang berbuat dan berbicara tanpa ilmu:

وَلا تَقفُ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۚ إِنَّ السَّمعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤادَ كُلُّ أُولٰئِكَ كانَ عَنهُ مَسـٔولًا

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

(17:36)

8. Menjauhkan diri daripada berita yang disampaikan oleh orang yang fanatik. Kerana orang yang fanatik ini mempunyai bias dalam sesuatu perkara yang disampaikan maka wajarlah bagi kita untuk meneliti dahulu berita yang disampaikannya (tabayyun) dengan cara kita meneliti sumber-sumber lain tentang perkara yang berkenaan itu.

Rujukan:

Tabayyun dalam menerima berita
Tabayyun dalam Islam

 

Abe: Kenapa majalah Mangga yang menjadi pilihan untuk dihidangkan kepada tetamu? Pilih buah mangga lagi bagus!

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.