Tahun lepas heboh orang ramai memperkatakan tentang sejadah yang mempunyai corak berupa muka babi. Bayangkan ketika kita sedang solat dan pandangan kita tertumpu ke tempat sujud lalu kita mulai perasan yang hiasan di atas sejadah itu saling tak tumpah seperti seekor binatang!

Saya sendiri pernah lihat sejadah yang demikian di satu tempat yang saya lupa di mana. Memang jelas kelihatan corak tersebut. Baru-baru ini semasa singgah untuk solat di sebuah masjid yang baru siap dibina berdekatan Pedas, saya sekali lagi terkejut dengan corak yang jelas kelihatan di atas sejadah saya ketika itu. Belum sempat saya mengangkat takbir, saya terpaksa membatalkan niat lalu berpindah dan qiyam di atas karpet kosong beberapa langkah ke belakang. Bukan saya sengaja mencari-cari bentuk dan corak di atas sejadah tetapi saya cuma berwaspada setelah berita di atas menjadi heboh. Lagipun corak kali ini memang jelas kelihatan seakan benda yang hidup yang sangat tidak menyenangkan perasaan. Kalian boleh nilai sendiri gambar yang saya ambil ini:

Corak ini jelas kelihatan seperti seekor binatang seperti lembu/kambing siap dengan tanduknya (atau orang nogori panggil kobau). Ada mata, hidung dan mulut! Saya sejujurnya tidak dapat mendirikan solat dengan khusyuk dan rasa gelisah tatkala cuba memakukan pandangan ke bawah. Sejadah ini sebenarnya adalah merupakan karpet panjang yang dihamparkan di atas karpet yang sedia ada dan saya rasa jenis ini agak popular di kebanyakan masjid.

Sekali imbas mungkin corak tersebut tidak memberikan makna apa-apa kepada orang ramai, namun bagi yang pernah terdengar tentang tuhan lembu atau tuhan kambing kaum pagan dan penyembah syaitan yang digelar sebagai “Baphomet” pastinya akan terkejut dengan persamaan-persamaan yang timbul.

Yang ini pula gambar yang baru saya ambil daripada salah satu sejadah di rumah saya sendiri. Jelas kelihatan gambar muka seekor haiwan:

Oleh itu saudara-saudara sekalian, berhati-hatilah. Cuba hari ini lihat kembali sejadah-sejadah yang berada di rumah kita dan di surau atau masjid tempat kita solat kebiasaannya.

Sejadah atau tikar sembahyang adalah perkara yang dibenarkan pada syarak pada suruhan menjaga kebersihan dan keselesaan tempat kita ingin mendirikan solat. Asalkan ia tidak mengganggu perhatian kita. Sejadah yang paling afdhal adalah sejadah yang…

  1. mempunyai warna yang tidak terlalu terang yang menyejukkan pandangan.
  2. tidak berwarna-warni
  3. tidak mempunyai gambar-gambar seperti masjid dsbnya.
  4. hiasan bunga yang tidak keterlaluan

Sebaik-baiknya adalah sejadah yang kosong sahaja yang dapat membantu kita meriah solat yang khusyuk, bukan sebaliknya. Apa yang paling penting adalah ruh solat tersebut yakni dengan memahami hakikat di sebalik meletakkan kepala kita di atas tanah.

Rasulullah SAW bersabda,

“Saat dimana seorang hamba paling dekat kepada Tuhannya adalah ketika dia bersujud."

(HR Muslim)

Akhir kata, berwaspadalah dan ambillah inisiatif untuk menggunakan sejadah yang sederhana. Sekali-sekala cubalah mengasingkan diri untuk solat di tengah-tengah kedamaian alam dan sujudlah di atas permukaan tanah yang suci.

 

Abe: pernah sujud atas snow

Blog ini adalah sebuah blog peribadi, dilindungi oleh Creative Commons © 2015 |