Salam Aidilfitri 1431H

Malam 29 Ramadhan. Sedar tidak sedar kita sudah pun berada di penghujung bulan Ramadhan - Bulan Rahmah, Bulan Maghfirah, Bulan Al-Quran, Bulan Latihan, bulan yang terkandung di dalamnya malam seribu bulan. Sudah sampai masanya Ramadhan akan pergi meninggalkan kita, maka merugilah mereka yang mensia-siakan tempoh 30 hari promosi tanpa henti yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan kita kesempatan, kekuatan dan keterbukaan hati untuk menghidupkan Ramadhan pada tahun ni. Mudah-mudahan kita semua menjadi hambaNya yang bertaqwa yang akan terus istiqamah dan merindui kehadiran Ramadhan yang akan datang.

Menjelangnya hari raya Aidil Fitri bermakna proses penyucian jiwa sudah sampai ke penghujungnya. Mudah-mudahan kita semua dibersihkan daripada segala dosa-dosa yang mengotori jiwa kita selama ini. Semoga terampun dosa-dosa yang besar mahupun yang kecil. Marilah kita kembali kepada fitrah kejadian kita yang suci dan sentiasa tunduk serta rindukan Al-Khaliq yakni Pencipta kita. Marilah kita kembali kepada agama fitrah dengan  merelakan diri dibimbing dan ditunjukkan kepada jalan yang lurus lagi diredhai Allah. Sesungguhnya agama (cara hidup) yang di sisi Allah itu adalah agama Islam. Maka, marilah kita kembali kepada Islam, yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita cintakan. Sedarilah bahawasanya kehidupan ini adalah merupakan lapangan insan menunaikan maksud asal dirinya diciptakan…

Ramadhan kali ini dirasakan begitu bermakna sekali buat saya khususnya. Alhamdulillah, tahun ini pertama kali menghidupkan Ramadhan sebagai seorang suami. Kemeriahan dalam beribadah yang luarbiasa yang dirasakan tatkala bersama-sama isteri berkunjung ke masjid, bangun malam dan bertadarus. Syukur kehadratNya kerana teman hidup seorang yang mudah diajak beramal, memahami dan senang untuk didampingi. Mudah-mudahan kehadirannya dalam hidup saya dapat mendekatkan lagi diri kepadaNya sebagai seorang hamba. Syukur di atas anugerah cinta ini. Ramadhan kali ini juga menyaksikan suatu pengalaman yang cukup menginsafkan dan menyedihkan, dan menyedarkan diri akan suatu kepastian iaitu kematian. Menjelang subuh semalam, nenek saya di Kelantan telah dijemput kembali ke rahmatullah dengan diiringi bacaan surah Yasiin dan doa yang berpanjangan. Subhanallah, Allahyarhamah menghembuskan nafas yang terakhir tatkala azan Subuh dikumandangkan. Semoga ruhnya dicucuri rahmah dan maghfirah dan ditempatkan bersama orang-orang yg soleh dan mendapat syafaat di sisi Allah.

Al-Fatihah…

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العٰلَمينَ
الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
مٰلِكِ يَومِ الدّينِ
إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ
اهدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقيمَ
صِرٰطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ

Amiin… Opah hanya mempunyai 5 orang cucu, dan hanya kami 5 orang adik-beradiklah satu-satunya cucu opah. Sudah lebih 20 tahun kami merayakan Aidilfitri dalam keadaan yang sederhana bersama-sama dengan opah. Di kala ini opah pastinya ternanti-nantikan kepulangan cucu-cucunya yang 5 ini. Alangkah hibanya tatkala memikirkan kepulangan kami pada kali ini tidak seperti tahun-tahun yang sudah. Memang sedih namun Allah lebih menyayangi opah. Allahu Rabbi…

Akhir kata, di kesempatan ini juga saya ingin menyusun jari memohon ampun dan maaf kepada yang mengenali diri ini di atas segala kesilapan dan kesalahan yang ada sepanjang perkenalan kita. Saya mendoakan semoga semuanya berbahagia dan bergembira di samping mereka yang tersayang. Semoga berjaya di dunia dan akhirat…

 

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri

Maaf Zahir & Batin

“Kullu Am Wa Antum Bi Khair”

 

 

 

Abe:  we love u opah :’)

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.