“Mari Berjudi Secara Sihat dan Sah”

Pendek kata itulah mesej halus yang bakal disampaikan oleh Kerajaan kepada rakyat secara tidak langsung setelah ‘sebulat suara’ meluluskan lesen perjudian sukan sempena acara World Cup 2010 kepada BERJAYA Group tempoh hari.

{Tahukah anda lesen yang dikeluarkan ini bukan sahaja untuk acara World Cup, tetapi juga kepada semua jenis acara sukan pada masa akan datang? Baca: Malaysia legalises sports betting despite Islamic concerns}

Hairan, tatkala kecoh di laman sosial dan lain-lain laman berita alternatif mengenai keputusan ini, kerajaan dilihat bersikap mendiamkan diri daripada mengulas. Media arus perdana juga tidak ada yang cenderung untuk membangkitkan isu ini dalam slot-slot mereka. Para figur, selebriti, alim-ulamak yang kebiasaannya lantang bersuara tidak ada yang berani tampil memberikan pendapat dan mengeluarkan kenyataan serta pandangan. Sedikit pun tidak menyentuh isu ini, kaca TV dan dada akhbar sepi seribu bahasa. Semuanya mendiamkan diri, seolah-olah memperlihatkan isu ini sebagai isu yang remeh. Semuanya mendiamkan diri, seolah-olah memperlihatkan yang mereka semuanya bersetuju.

Ataupun, adakah mereka ini adalah kaum yang punya selemah-lemah iman, bersembunyi di sebalik imej yang gagah dan perkasa?

Gertak pun tidak.

Timbul seribu satu persoalan. Apakah kita tidak punya prinsip dalam hal yang serupa ini. Mengapa kita bersikap selektif sedangkan Islam itu meliputi segenap aspek kehidupan? Di manakah garis pemisah yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi di negara ini? Di manakah kebanggaan kita? Tertinggal di masjid kristal kah?

Umum mengetahui judi adalah satu bentuk hiburan yang mendatangkan pendapatan yang lumayan. Umum juga mengetahui judi adalah satu perbuatan keji yang dibenci oleh setiap agama dan nilai moral.

يَسـَٔلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ ۖ قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَفعِهِم

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya

(2:219)

Tanyakan sahaja kepada sesiapa, pasti ramai yang akan berkata dua mengenai perjudian. Pasti ramai yang akan membenarkan firman Allah di atas.

Sudah tentunya ada pihak yang akan kerugian jika suatu pihak mengaut keuntungan. Maka, siapakah yang akan kerugian jika kerajaan mengaut keuntungan dalam isu ini? Itu poin yang pertama. Poin yang kedua adalah merujuk kepada persoalan bagaimanakah wang hasil perjudian ini bakal disalurkan untuk ‘pembangunan bidang sukan’ seperti yang diwar-warkan oleh Awang Adek? Apakah bentuk pelaburan yang akan dibuat? Apakah bentuk pemantauan yang akan digunapakai? Di mana hasil ini akan diserapmasuk?

Di manakah letaknya nilai etika dan nilai moral dalam menggunakan keuntungan ini untuk kepentingan bersama setelah ramai yang hilang pedoman, hilang pegangan, hilang harta benda dan keluarga akibat perjudian? Apakah cukup justifikasi menghalalkan perbuatan keji ini demi manfaat bersama? Tidakkah itu menjijikkan?

Banyak persoalan yang berbangkit dan itulah yang menghairankan kita apabila banyak pihak mengambil pendekatan mendiamkan diri sahaja. Bagi yang beragama Islam, tak perlu fikir panjang, tak perlu bergelar ustaz. Allah mengutuk dengan sekeras-kerasnya perbuatan keji ini. Jelas keputusan ini telah menghalalkan yang apa yang diharamkan di sisi Allah:

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنوا إِنَّمَا الخَمرُ وَالمَيسِرُ وَالأَنصابُ وَالأَزلٰمُ رِجسٌ مِن عَمَلِ الشَّيطٰنِ فَاجتَنِبوهُ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(5:90)

Sebagai individu muslim, pilihan terletak di tangan masing-masing. Tepuk dada tanya iman. Namun bagi yang berkuasa dan berpengaruh, tanggungjawab lebih besar dan mereka bakal dipersoalkan di akhirat kelak. Sebagai pemimpin yang beragama Islam, amanah yang pertama tetap adalah untuk tunduk dan patuh kepada perintahNya dan ini termasuklah menterjemah kepada bentuk perlaksanaan yang bersesuaian dengan bidang kuasa masing-masing.

Selain itu, tindakan memberikan lesen perjudian ini juga jelas bertentangan dengan pendekatan dan penerapan nilai-nilai murni yang cuba disampaikan selama ini kepada masyarakat. Ramai remaja yang bakal kompius antara hak dan yang batil akibat didikan yang berbeza-beza. Generasi pewaris kita bakal keliru.

Agak menghairankan, belum pun sempat isu ini diketengahkan dan dibawa ke meja perbincangan, lesen ini umpama telah ‘diluluskan’ terlebih dahulu, mencegah aktiviti perjudian dan memajukan bidang sukan bagaikan seperti alasan yang dibuat-buat. Buktinya adalah alasan yang tidak masuk akal dan tempoh ‘cadangan’ yang begitu pendek. Pasti ramai yang bersetuju dengan pandangan Mazidul yang menulis di dalam blog beliau:

Persoalan saya, adakah menghalalkan kegiatan haram, satu-satunya kaedah mengatasi masalah atau sekadar cuba menambah kutipan cukai judi kerajaan?  Serampang 2 mata.

Terfikir, ramai orang Islam gila meneguk arak di kawasan tertutup. Justeru, halalkan sahaja arak, maka meminumnya tidak menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang Syariah. Kutipan cukai arak juga akan bertambah.

Sikap berdiam diri inilah yang membimbangkan. Pemimpin-pemimpin kita dan mereka yang berpengaruh harus memberikan kritikan yang membina, baik mereka yang bertugas di dalam kerajaan mahupun tidak demi kesejahteraan umat Islam di negara ini. Inilah ujian yang menguji keimanan kita. Cukup puaskah kita dengan selemah-lemah iman? Paling tidak ‘bersuara’lah di dalam blog masing-masing kerana ini jelas bertentangan dengan hukum syarak Islam. Sampaikan walaupun suatu ayat.

Wallahu’alam…

 

Berita dan artikel yang berkaitan:

 

Edit: Alhamdulillah, semakin ramai yang menyuarakan kebimbangan…

 

Abe: makan bola, tidur bola, judi bola

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.