InsyaAllah: Sebuah Sketsa Korban {Artikel Pilihan}

insyaAllah...

InsyAllah

(Sebuah) Drama hari Raya AidilAdha yang bertajuk "Lu Pikirlah Sendiri" dan bermoral "Lu Rujuklah Ustaz"

oleh: HAMKA

PART 1

Di hadapan sebuah rumah, kelihatan Abang Ali sedang menggaru telinganya yang tidak gatal, kemudian menggaru pipi, lepas tu membokok menggaru betis pula…

“Assalamulaikum”

Abang Ali lantas mendongak dan terlihatlah seorang manusia berjubah putih dan berserban…

“Oh! Ustaz, dah lama saya tunggu.., ni nak bagitahu, esok pagi nak mintak tolong sembelih lembu arwah bapak saya, boleh ustaz?”

“InsyaAllah”

“Boleh tak ustaz?”

“InsyaAllah”

“Yelah, InsyaAllah, tapi boleh ke?”

“Saya cakap, ‘InsyaAllah’, awak pun kena jugak sebut ‘InsyaAllah’..”

“Tak payah ‘InsyAllah’ lah ustaz, lembu dah ada, dah ikat elok elok, pisau pun dah asah tajam tajam, kira jadi ye ustaz besok pagi?”

“InsyaAllah”

“InsyaAllah-InsyaAllah! Jadi ke tak jadi ni ustaz?”

“InsyaAllah…”

“Pening saya ustaz, insyaAllah ni untuk benda yang tak pasti, lembu ada, pisau ada, kira jawab boleh dah ler..”

“Kamu ni Ali, nak mengajar ustaz pula, kita kena sebut “InsyaAllah” kerana semua yang terjadi dengan izin Allah, faham..”

“Kira boleh ler ni ustaz?”

“InsyaAllah”

Arghhhh, pening kepada Abang Ali dengan jawapan Ustaz Hussin, lalu abang Ali pun berlalu sedang Ustaz Hussin menggeleng-gelengkan kepala melihat Abang Ali yang semakin jauh dari pandangan…

 

PART 2

Suatu waktu dahulu, sewaktu Allah ingin mencipta manusia sebagai Khalifah di atas muka bumi, maka bertanyalah malaikat kepada Allah…

“Mengapa Engkau hendak menjadikan khalifah di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan kepadanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?”

Allah berfirman:
“Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”           

 

PART 3

Suatu waktu yang lain, terdengar Tuhan bertanya kepada ketua Malaikat dengan penuh kemurkaan:

"Apakah yang mencegahmu sujud menghormati sesuatu yang telah Aku ciptakan dengan tangan-Ku?"

Syaitan menjawab: "Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari manusia. Engkau ciptakan aku dari api sedang manusia Engkau menciptakannya dari lumpur!"

Lalu Tuhan melaknatnya, dan menjadikan ia sebagai iblis!

Bermulalah kejahatan di alam manusia...

                                           

PART 4

Abang Ali melihat lembu kesayangannya yang bakal di korbankan esok pagi, sambil menggosok gosok tanduk lembu, abang Ali pun bercakap dengan lembunya..

“Esok pagi, ‘Ustaz InsyaAllah’ akan sembelih kamu, kamu jangan nakal nakal ya?”

Nampaknya, Abang Ali telah melabelkan Ustaz Hussin dengan gelaran ‘Ustaz InsyaAllah’, apa-apalah…

Pintu kandang pun ditutup, dan Abang Ali pun pulang ke rumahnya…

                                           

PART 5

Dari pintu langit, barang siapa di antara manusia yang bertaubat sedang air mata bercucuran ke pipi, maka memujilah Allah akan manusia itu di hadapan para malaikat, lalu berfirman:

“Lihatlah kepada hambaKu yang sedang merayu kepadaKu… Bersaksilah! Aku telah ampunkan segala dosanya!”

Lalu Malaikat berkata: “Mengapa manusia itu harus mendapat pujian setelah berbuat dosa, sedangkan kami lebih baik kerana beribadat sepanjang masa?”

Lalu Allah membela manusia: “Pergilah panggil ke mari tiga malaikat yang terbaik. Akan Aku turunkan mereka ke bumi dan berikan nafsu seperti manusia, dan kamu akan dapat melihat apa yang dilakukan oleh malaikat-malaikat itu!”

Malaikat menjawab: “Tuhanku, biarlah Harut dan Marut sahaja yang melakukannya!”

Lalu turunlah dua malaikat yang bernama Harut dan Marut ke bumi sebagai manusia yang mempunyai nafsu sepertimana layaknya manusia mempunyai nafsu...

                                           

PART 6

Suatu hari yang lain, ketika Nabi ibrahim a.s sedang duduk menjaga kambing-kambingnya. Maka datanglah seorang hamba Allah lalu bertasbih:

“Subhanallah!”

Alangkah terkejutnya Nabi Ibrahim a.s mendengar nama ‘kekasih’nya disebut sebut sedangkan di zaman itu ramai orang tidak bersetuju dengan ugama yang dibawanya.

Lantas dengan penuh teruja, Nabi Ibrahim a.s segera mendapatkan orang itu lalu menyuruh hamba Allah tersebut ulang balik apa yang di tasbihkan..

Tapi hamba Allah itu membuat syarat, Nabi Ibrahim harus berikan separuh dari kambing baginda jika ingin beliau bertasbih lagi..

Terus sahaja Nabi Ibrahim a.s berikan separuh dari kambing kepada hamba Allah itu, lalu bertasbihlah kalimah ‘SubhanAllah!’

Alangkah gembiranya Nabi Ibrahim mendengar kalimah ini lalu memberikan kesemua kambingnya kepada hamba Allah itu..

Namun, Hamba Allah itu memulangkan kembali ke semua kambing dan berkata: “Aku adalah Malaikat yang turun untuk melihat sejauh mana cintamu kepada Allah, kerana di langit, Allah selalu memujimu di hadapan kami, maka benarlah, kamu benar-benar mencintai Allah lebih dari segala-galanya...

 

PART 7

Abang Ali sedang asyik mengira duit dari tujuh bahagian tempahan orang kampong terhadap lembunya, “satu bahagian, RM 340..,” terus Abang Ali ulang kira kerana sekejap dikira terlebih, sekejap dikira kurang..,

“Berapa aku nak upah ‘ustaz Insyallah’ esok? RM 50 cukup kot..”

Hujung jari di basah lidah, dan jeri jemari terus membelek belek duit itu lagi...

 

PART 8

Sudah lama Nabi Ibrahim a.s berdoa kepada Allah agar diberikan seorang anak lelaki yang soleh… Di hujung usia, ketika umurnya sudah lanjut, maka datanglah keajaiban dari Allah, Nabi Ibrahim dikurniakan seorang anak lelaki yang comel... Nabi Ismail a.s...

Ayah mana yang tidak gembira mendapat cahaya mata yang telah lama diidam-idamkan? Bukan main alang kepalang punya gembira lagi, lalu ketika itu 'cinta'nya pada anak telah melebihi cinta kepada Allah, maka dipendekkan cerita, Allah ingin Nabi Ibrahim a.s buktikan cintanya pada Allah dengan cara meninggalkan anak dan isteri di padang pasir yang tiada asbab hidup selama 7 tahun lebih kurang.

Demi cinta kepada Allah yang lebih dari segala-galanya, maka Nabi Ibrahim AS sanggup korbankan masa yang amat berharga bersama keluarga lalu membawa isteri dan anak tercinta ke satu lautan pasir yang tandus, dan meninggalkan mereka..

“Abang ingin ke mana”

Tanya sang isteri dengan cemas dan sedih, tapi Nabi Ibrahim a.s hanya membisu, berat mulutnya untuk berkata-kata, lalu isterinya bertanya lagi,

“Adakah ini perintah Allah?”

Nabi Ibrahim membenarkan lalu meneruskan perjalanan meninggalkan mereka berdua di padang ‘kematian’, tiada jiran, tiada tanaman, tiada teduhan, tiada teman.., yang tinggal hanya kesabaran dalam kepasrahan..

 

PART 9

Apahal kau termenung tu Ali?

Tanya Mak Munah setelah melihat Ali asyik berbaring depan TV sambil melihat siling..

“Tak mak, saya teringat Ustaz insyAllah tu, eh, silap.., ustaz Hussin, suka benar cakap insyAllah insyAllah, macam tak jadi.., cakaplah boleh..”

“itulah masalah orang melayu, InsyAllah biasanya tak boleh.., kalau boleh terus cakap boleh, mak pun tak faham..”

"Kalau Ustaz insyAllah tu tak jadi, nak suruh siapa mak?"

"Berapa kau nak upah sembelih tu?"

"RM 50..."

"Mak rasa mak pun boleh, Insyallah.."

Ali tersenyum kambing.

 

PART 10

Tujuh tahun setelah pemergian Nabi Ibrahim a.s meninggalkan Nabi Ismail a.s dan isterinya di padang pasir, Mekah telah berubah wajah. Dari padang tandus telah menjadi oasis, telah menjadi kota… berkat mukjizat Nabi Ismail menghentak kaki setelah ibunya berlari dari Safar dan Marwah. Orang juga telah ramai menatap di sana.

Dari jauh, kelihatan Nabi Ibrahim a.s pulang bersama tunggangannya, pulang dengan hati yang berbunga-bunga. Almaklumlah anak sudah besar, boleh main lari-lari, main sorok-sorok, main batu seremban, main ketawa-ketawa, dan lain lain..

Dan pada waktu itu sekali lagi tumpuan dan fikir Nabi Ibrahim a.s pada anaknya begitu tinggi melebihi tumpuan kepada Allah sehingga datang perintah baru dari Allah untuk buktikan iman dan cintanya iaitu tidak boleh turun dari unta dan kena keluar lagi ke jalan Allah selama 3 tahun,

Sambil menangis Siti Hajar membasuh kaki suami tercinta dengan air zam-zam dan kata Siti Hajar (lebih kurang):

“Allah yang sama jaga abang dalam api, Allah yang sama juga jaga saya dan anak abang, pergilah abang, bila ini perintah Allah maka janganlah bimbang, kerana ALLAH BERSAMA KITA, ALLAH TAK KAN SIA-SIAKAN KITA.!!!”

Lalu menghilanglah Nabi Ibrahim meninggalkan mereka untuk waktu yang belum diketahui akhirnya...

 

PART 11

Harut dan Marut yang turun ke bumi sebagai manusia, terus sahaja lapar dan dahaga, lalu mulai mencari kerja untuk mendapat sedikit upah. Dipendekkan cerita, mereka bekerja sebagai tukang kasut, dan ketika sedang membersihkan kasut, datang seorang wania menghulur kaki, dengan betis yang bunting padi, putih dan gebu..

Dan ini menyesakkan nafas Harut dan Marut, kerana nafsu manusia dalam diri malaikatnya mulai membahang!

Awas semua wanita sekalian!

 

PART 12

Diriwayatkan sebelum Nabi Ibrahim a.s mendapat anak lelaki, demi cintanya kepada Allah, baginda pernah membuat ibadat korban sebanyak 1,000 kambing, 300 lembu dan 100 unta di jalan Allah. Melihatkan kepada banyaknya jumlah korban yang dilakukan, maka kagumlah para malaikat akan betapa hebatnya cinta Nabi Ibrahim a.s kepada Allah.

Kemudian, Nabi Ibrahim a.s bersabda:

“Semua yang menjadi korban itu belum apa-apa lagi bagiku. Demi Allah, kalau aku dikurniakan anak lelaki, sudah tentu aku juga sanggup korbankan dia untuk Allah!”

 

PART 13

Ketika Umur Nabi Ismail 10 tahun, Nabi Ibrahim a.s telah di benarkan pulang berjumpa anak dan isteri...

Maka sekali lagi cinta dan tumpuan baginda pada anaknya melebihi dari cinta dan tumpuannya pada Allah sehinggalah Allah mengeluarkan perintah baru untuk nabi Ibrahin a.s untuk buktikan kesungguhan cintanya pada Allah yang kononnya mengatasi segala-galanya.

Lalu pada malam itu, baginda Nabi Ibrahim a.s telah mendapat mimpi supaya ditunaikan nazarnya demi membuktikan cinta kepada Allah..

Arakian, berkatalah Nabi Ismail a.s sebelum di sembelih:

“Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan. Insya-Allah ayah akan mendapatkan aku sebagai orang yang sabar, iaitu terhadap apa yang diperintahkan kepada ayah untuk menyembelih aku.”

“Wahai ayah, aku sampaikan beberapa pesan kepada ayah. Hendaklah ayah mengikat tanganku supaya aku tidak bergerak-gerak yang mungkin menyakitkan ayah…”

“Hendaklah wajahku dihadapkan ke tanah supaya ayah tidak melihat lalu menimbulkan kasih sayang ayah kepadaku.”

“Hendaklah ayah melipatkan kain ayah supaya tidak tercemar dengan darah, meskipun sedikit hingga mengurangi pahala aku dan mungkin juga diketahui oleh ibu sehingga dia menjadi susah.”

“Hendaklah ayah menajamkan pisau ayah, lagi pula mempercepatkan jalannya di atas leher ku, supaya tidak terlalu sakit kerana mati itu sakit sekali.”

“Hendaknya ayah membawa bajuku kepada ibu sebagai tanda kenangan daripadaku serta sampaikan salam aku kepadanya dan katakan kepadanya: ‘Bersabarlah engkau terhadap perintah Allah’ dan janganlah ayah beritahukan kepadanya bagaimana ayah menyembelihku, serta bagaimana pula ayah mengikat tanganku.

“Hendaklah ayah tidak memasukkan anak-anak ke rumah ibu supaya dia tidak terlalu sedih mengenangkan aku.”

 

Nabi Ibrahim berkata:

“Sebaik-baik penolong adalah engkau wahai anakku, untuk melaksanakan perintah Allah SWT.” 

(Nabi Ibrahim, sesungguhnya doamu untuk mendapatkan anak yang soleh telahpun makbul)

 

Kemudian Nabi Ismail berkata:

“Wahai ayahku, lepaskan ikatan tali di tanganku dan di kakiku supaya Allah tidak memandang aku sebagai orang yang terpaksa mentaati perintahNya. Bahkan, letakkan pisau itu di atas leher aku supaya malaikat tahu, bahawa Putera Ibrahim itu mentaati perintah Allah dengan ikhtiar iaitu dengan pilihannya sendiri.”

Maka, Nabi Ibrahim pun meluruskan dua tangan Ismail dan dua kakinya tanpa ikatan, serta memalingkan wajah ke tanah, lalu menggerakkan pisaunya dengan sekuat tenaganya.

Lalu Nabi Ismail pun disembelih...

 

Part 14

Suatu waktu, Allah telah membuka pintu langit, dan membuka semua mata malaikat di langit dan laut. Lantas terlihatlah akan malaikat bahawa Nabi Ibrahim a.s sedang menyembelih puteranya iaitu Nabi Ismail, lantas semua Malaikat tersungkur sujud kepada Allah dengan penuh ketakutan.

Kemudian Allah berfirman bermaksud:

“Perhatikan olehmu sekalian kepada hamba-Ku, bagaimana dia melakukan pisau di atas leher puteranya untuk mencari atau mengharap keredaan-Ku, sedang kalian dulu semua mengatakan: ‘Apakah Engkau menciptakan orang yang akan berbuat kerosakan di bumi, dan akan menumpahkan darah, sedang kami sekalian mensucikan Engkau?”

Dan pada suatu waktu yang lain, Allah juga membuka pintu langit dan membuka semua mata malaikat di langit dan laut. Lantas terlihatlah akan malaikat Harut dan marut yang menjadi wakil malaikat terbaik sebagai manusia tapi sedang berzina dengan isteri orang...

Lantas sekali lagi, tersungkurlah semua malaikat sujud kepada Allah dengan penuh ketakutan akan kemurkaan Allah dan membenarkan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian, sebaik-baik makhluk, kerana malaikat yang telah lihat Allah dan beriman sempurna, namun apabila memiliki nafsu seperti manusia, sanggup pula membuat dosa terkutuk..

“Maafkan kami wahai manusia, alangkah hebatnya akan kamu manusia ciptaan Allah yang tidak pernah lihat wajah Allah, tidak lihat syurga-neraka, hidup hanya bersandarkan dengan sabda Nabi Muhammad SAW tapi masih mampu mentaati Allah mengatasi semua malaikat, maka layaklah kamu dipuji Tuhan sewaktu membasuh dosa bersama air mata…”

 

Part 15

Tuan-tuan yang mulia..

Nabi ibrahim a.s tidak diperintah untuk sembelih seekor binatang
Tapi diperintah untuk sembelih seorang manusia…

Nabi ibrahim a.s tidak diperintah untuk sembelih seorang manusia sahaja
Tapi manusia itu adalah anak dia…

Nabi ibrahim a.s tidak diperintah untuk sembelih anak dia sahaja
Tapi itulah satu-satunya anak dia…

Dan baginda telah melakukannya….

 

Part 16

Malaikat Jibril telah muncul sambil menangis di hadapan Malaikat Harut dan Marut sambil berkata,

“Cobaan apakah yang membuat kamu hanyut seperti ini?”

Mendengar ucapan Jibril itu, Harut dan marut pun menangis dengan sekuat kuatnya. Jibril berkata,

“Sesungguhnya Tuhan kamu sudah memerintahkan kepada kamu untuk memilih antara azab di dunia atau azab di akhirat.”

Tahulah sudah bahwa dunia ini hanya sementara, sedangkan akhirat kekal abadi dan sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang kepada semua hamba-Nya. Kedua-dua malaikat itu akhirnya memilih hukuman di dunia dan menyerahkan nasibnya kepada kehendak Allah.

Lantas Harut dan Marut digantung di antara dua gunung pada sebuah gua bawah tanah. Setiap hari mereka diseksa sepanjang hari.

Ketika berita hukuman itu diketahui malaikat yang lain, mereka pun berdoa:

“Ya Allah, ampunilah anak cucu Adam kerana kami kagum bagaimana mereka dapat menyembah dan taat kepada Allah, padahal mereka dikelilingi beberapa kesenangan dan kelazatan.”

(Firman Allah: “Dan malaikat-malaikat bertasbih serta memuji Tuhannya dan memohon ampun bagi orang-orang yang ada di bumi.”)

 

Part 17

Allah telah terima pengorbanan Nabi Ibrahim a.s, pisau menjadi ‘tumpul di leher Ismail a.s, dan Malaikat jibrail telah datang membawa qibas sebagai ganti...

Maka bertakbirlah mereka kepada Allah yang Maha Tinggi..

Aku dan korang di sini.., adakah benar kita telah membuat pengorbanan di jalan Allah?

Sanggupkah kita ‘menyembelih’ perasaan bersama anak dan isteri demi untuk ugama?

Boleh, InsyaAllah?

 

Part 18

Pagi pagi lagi Abang Ali dah tiba di rumah Ustaz Hussin..

“Ustaz .., ustaz!”

Ustaz hussin pun keluar dan bertaya..

“Kenapa, Ali?”

“InsyaAllah! lembu hilang!!!

Woha!

 

SEKIAN…

 

 

Abe: nak ucap Selamat Hari Raya Aidil Adha dan tahniah buat mereka-mereka yang berkorban apa saja demi menurutkan perintah Allah dan demi menjauhkan diri daripada larangan-Nya.

Firman Allah SWT:

فَلَمّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعىَ قالَ يٰبُنَىَّ إِنّى أَرىٰ فِى المَنامِ أَنّى أَذبَحُكَ فَانظُر ماذا تَرىٰ ۚ قالَ يٰأَبَتِ افعَل ما تُؤمَرُ ۖ سَتَجِدُنى إِن شاءَ اللَّهُ مِنَ الصّٰبِرينَ

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar."

(37: 102)

 

وَلا تَقولَنَّ لِشَا۟يءٍ إِنّى فاعِلٌ ذٰلِكَ غَدًا إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ ۚ وَاذكُر رَبَّكَ إِذا نَسيتَ وَقُل عَسىٰ أَن يَهدِيَنِ رَبّى لِأَقرَبَ مِن هٰذا رَشَدًا

Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti". Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya-Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini".

(18: 23-24)

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.