PKP WAKTU TERBAIK UNTUK UJI KEBERKESANAN WORK FROM HOME (WFH)



Jika sebelum ini kita mencemburui negara-negara maju atau syarikat MNC yang mengamalkan waktu kerja fleksibel atau pengurangan hari bekerja di pejabat, maka waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini adalah peluang yang terbaik untuk para majikan (pengurusan, jabatan sumber manusia, IT dsb.) dan juga para pekerja bereksperimentasi dengan WFH.

Mana tahu selepas krisis COVID-19 ini berakhir, mungkin kita boleh terus amalkan WFH dengan waktu bekerja yang lebih fleksibel dan seimbang di antara kerjaya, keluarga dan ibadah, namun masih dapat memberikan kadar produktiviti yang sama atau lebih baik.


Majikan

Para majikan boleh mula mengkaji kemungkinan untuk menerapkan polisi WFH di syarikat secara serius dan berterusan walaupun krisis sudah berakhir. Jika tidak sepenuhnya mungkin separa perlaksanaan. Kenalpasti aktiviti-aktiviti dan bahagian dalam syarikat yang boleh diterapkan konsep WFH ini.

Kenalpasti keperluan infrastruktur, peralatan, sistem dll untuk membolehkan WFH dilaksanakan dengan lebih efisyen, menstruktur organisasi dan skop kerja, merangka SOP dan peraturan-peraturan, penggunaan hot desk dan site office, serta sistem dokumentasi yang baik. Komunikasi adalah keperluan yang paling utama untuk WFH berjaya maka majikan perlu merangka sistem komunikasi serta SOP yang berkaitan.

Jika dapat dilaksanakan dengan efisyen, WFH sebenarnya dapat memberikan pelbagai kelebihan kepada majikan seperti penjimatan tenaga, ruang pejabat, peningkatan produktiviti, tadbir urus, transparency dll. Kenalpasti kekurangan dan risiko yang mungkin dihadapi dan bagaimana ia dapat diuruskan seperti aktiviti yang melibatkan maklumat sulit, pemantauan, kecuaian dsb.

Selain itu, polisi WFH juga dapat menjadi daya penarik kepada tenaga kerja yang berbakat untuk berkerja di syarikat yang mengamalkan WFH atau waktu kerja yang fleksibel. Ini kerana mereka dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas, menjimatkan kos perjalanan, meluangkan lebih masa bersama keluarga dsb.

Keseimbangan di antara urusan kerja dan urusan peribadi menjadikan pekerja lebih bahagia dan lebih produktif. Mereka dapat mengelakkan tekanan yang tidak perlu di samping menyelesaikan isu-isu peribadi yang sebelum ini mungkin ditangguh-tangguhkan.


Pekerja

Buat para pekerja yang sedang WFH semasa PKP ini, tunjukkan amalan kerja yang terbaik dan buktikan kepada bos dan majikan anda bahawa WFH tidak bermakna anda mengabaikan kualiti kerja yang diberikan. Usahakan supaya anda kekal komited untuk bekerja seperti di pejabat dan mudah untuk dihubungi pada bila-bila masa. Siapkan kerja dalam tempoh yang diberikan atau lebih cepat.

Bersedia jika diberikan tugasan tambahan atau skop kerja yang berbeza kerana WFH tidak mungkin berjaya tanpa kerjasama dari semua. WFH bermakna anda mungkin perlu lakukan tugasan orang lain dan kepercayaan harus diberikan sepenuhnya kepada bos dan rakan sekerja. Untuk WFH berjaya, kita perlu saling cover tugasan masing-masing bila diperlukan.

Nyatakan juga kesediaan untuk ke pejabat jika perlu. Jangan salahgunakan kelonggaran yang diberikan untuk membuat kerja-kerja lain yang tidak berkaitan jika anda diberikan tugasan yang perlu disiapkan segera. Amalkan pengurusan masa, tadbir urus dan ketelusan yanng tertinggi sewaktu berkerja di rumah.

Tempat atau ruang bekerja hendaklah diasingkan dari ruang-ruang lain di rumah anda. Sediakan ruang kerja yang khusus dan kekalkan ia dalam keadaan kemas, selesa dan produktif. Jauhkan dari gangguan anak-anak sewaktu bekerja di rumah dengan meminta pertolongan pasangan atau gunakan khidmat pengasuh.

Gangguan anak mungkin agak sukar untuk dielakkan lebih-lebih lagi jika anda mempunyai anak kecil namun ia adalah sangat penting untuk dielakkan terutamanya jika anda sedang berkomunikasi dengan bos atau majikan anda.

WFH memerlukan sistem komunikasi yang baik dan bebas dari gangguan untuk membolehkan ianya berkesan. Bos atau majikan mungkin memerlukan pertolongan anda untuk tugasan-tugasan urgent. Jadi pastikan anda sentiasa bawa handphone ke mana-mana anda berada untuk mudah dihubungi. 

Pendek kata, anda harus kekal profesional sewaktu berkerja di rumah kerana pada hakikatnya anda sedang berkerja untuk syarikat.

Wallahu’alam.

Che Ahmad

#stayhome #stayprofessional

1 ulasan:

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.