REPORT CARD SETAHUN PEMERINTAHAN PAKATAN HARAPAN



Tanggal 9 Mei 2018 akan diingati oleh rakyat Malaysia sebagai hari bersejarah di mana buat pertama kalinya negara kita mengalami pertukaran Kerajaan Pusat. Dengan pertukaran ini, rakyat kini memahami bahawa dalam sistem demokrasi, kerajaan boleh bertukar tangan dan kuasa sebenarnya terletak pada tangan mereka. Perubahan pada perkara yang lebih asas kini boleh berlaku seperti anjakan paradigma, budaya kerja dan cara berfikir.

Walau bagaimanapun, ada sebahagian rakyat melihat pertukaran sulung Kerajaan Pusat ini sebagai sejarah hitam negara. Pada pandangan mereka, pengaruh  dan kuasa orang Melayu Islam kini dilihat semakin tercabar, kedudukan ekonomi negara pula semakin teruk dan ruang lebih terbuka untuk anasir-anasir luar yang ingin menghancurkan negara.

Seperti yang saya tegaskan dalam artikel sebelum ini, kebenaran pandangan di atas adalah bergantung kepada persepsi anda terhadap manfaat dan mudharat yang unik buat diri anda sendiri. Selain itu, kita harus juga berfikir dalam kerangka masa yang sesuai apabila menilai sesuatu isu, sama ada jangkamasa pendek atau jangkamasa panjang. 

Sukacita saya ingin tegaskan bahawa tempoh 60 tahun pemerintahan kerajaan Barisan Nasional bukanlah satu tempoh yang singkat. Dalam tempoh ini, sistem demokrasi tidak dapat memainkan peranannya dengan cekap sebagai kuasa periksa dan imbang akibat monopoli politik yang terlalu lama. Budaya, mentaliti dan sistem kerja kita telah terdidik dan terbiasa dalam kerangka politik yang sama.

Maka, adalah tidak mudah untuk kita menerima sebarang perubahan apatah lagi pada skala nasional seperti ini, meskipun perubahan itu boleh jadi lebih baik untuk masa depan negara dan rakyat amnya (dalam tempoh jangkamasa panjang). Kita harus akui, sebagai rakyat biasa kita mungkin kurang sabar dan mahu lihat manfaat yang dapat diterima secara langsung dalam jangkamasa yang sependek yang mungkin.

Oleh yang demikian, sebelum kita memberikan penilaian atau report card terhadap prestasi Kerajaan hari ini, kita harus melihat dari pelbagai sudut dan kerangka yang lebih besar. Jika prestasi Kerajaan hari ini begitu teruk, rakyat yang terkesan sudah mengetahui kuasa yang mereka miliki dan perubahan kerajaan seterusnya tidaklah nampak begitu mustahil lagi.

Sekian.

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.