Mengapa Umat Islam Mudah Terima Fahaman Akti-Vaksin dan Flat Earth?



Sementelah terikut mengikuti isu-isu indie yang sedang hangat dikongsikan di media sosial seperti flat earth dan anti-vaksin, saya rasa seperti ada beberapa underlying factors yang sama yang menyebabkan segelintir masyarakat menerima idea-idea janggal seperti ini untuk dipercayai dan kemudiannya diamalkan dan disebarkan. Ia juga tidak terhad kepada fahaman-fahaman sebegini malah boleh meliputi fahaman politik, mazhab, ajaran sesat dsb. Beberapa underlying factors atau traits ini adalah seperti berikut:



1. Penyakit Was-Was

Ragu-ragu pada asasnya adalah baik sebagai benteng pertahanan yang menjadi fitrah manusia supaya kita membuat semakan serta mendapat keyakinan sebelum menerima sesuatu idea. Namun was-was pula adalah perasaan ragu-ragu yang bersangatan yang menyebabkan kita menjadi prejudis, mudah bersangka buruk dan sesat dari landasan ilmu sehingga jauh dari kebenaran.

Mereka yang bukan mainstream ini mempunyai sifat yang sama di mana perasaan ragu-ragu mereka terhadap sesuatu perkara itu kadang-kadang keterlaluan, tidak kukuh dan tidak berlandaskan fakta. Kepercayaan mereka hanya kerana teori konspirasi atau gut feeling yang menjadi pemangkin kepada penyakit was-was.

Penyakit was-was adalah ragu-ragu yang telah berjaya dimanipulasi oleh Syaitan supaya manusia sesat dari landasan kebenaran (landasan ilmu). Ianya tidak terhad kepada persoalan ibadah sahaja.

Allah SWT berfirman: "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia". (Surah An-Nas : 1-6)

Ubat paling mujarab kepada penyakit ini adalah kefahaman yang jelas dalam sesuatu perkara dengan fakta yang diperiksa. Jika kefahaman ini sukar diperolehi seperti dalam isu-isu teoretikal atau konspirasi, maka ia menjadi syubhah dan tidak wajar diamalkan (cukup sekadar menjadi perbincangan akademik).



2. Adab ilmu yang dianjurkan agama

Ilmu datang bersamanya dengan rasa tanggungjawab. Dengan ilmu kita dapat memberikan manfaat kepada orang lain. Tapi dengan ilmu juga kita boleh memberi mudharat.

Melihat diskusi Dr Musa dengan Dr Nurul, sorang doktor 'freelance' yang menyokong fahaman anti-vaksin, kita dapat lihat bagaimana dua pengamal perubatan ini mempunyai sudut pandang yang berbeza terhadap proses mencari dan menerima ilmu.

Dr Musa beberapa kali menekankan mengenai adab ilmu dan hierarki yang membolehkan sesuatu teori itu diterima menjadi fakta di mana ia perlu melalui pelbagai saringan sebelum boleh diamalkan. Di sini, kita dapat lihat pihak mana yang lebih kerap berhujah menggunakan fakta yang jelas dan diperiksa.

Jika disusuri proses pengajian oleh ulama terdahulu, mereka sangat menekankan authenticity sesuatu maklumat itu. Dan sudah tentu proses authentication pada zaman sekarang menjadi lebih kompleks berbanding dahulu dengan kehadiran teknologi maklumat dan internet. Di sinilah peranan yang dimainkan oleh badan-badan akademik yang membuat kajian demi kajian. 

Dalam lapangan ilmu, tidak salah mempunyai pelbagai school of thoughts. Namun, ia perlu melalui pelbagai proses saringan dan pengiktirafan bagi menentukan keabsahan sesuatu maklumat itu sebelum boleh digunapakai sebagai hujah.

Kebanyakan mereka mudah terpengaruh adalah mereka yang gemarkan teori-teori konspirasi dalam mencari erti hidup masing-masing. Dalam satu kajian, mereka yang telah berusia dan juga mereka yang berfikiran konservatif lebih mudah mempercayai berita palsu dan teori-teori konspirasi tanpa memeriksa dan mengesahkan maklumat yang disebarkan. Mereka juga lebih mudah terkesan atau sensitif terhadap nilai sentimental berbanding fakta dan nombor. Oleh itu perasaan mereka mudah dimanipulasi berbanding akal yang waras.


3. Siapakah sebenarnya orang yang alim?


Dalam ertikata yang luas dan tidak terhad kepada ilmu agama sahaja, orang yang alim adalah orang Islam beriman yang berilmu, mempunyai pengalaman luas dalam bidangnya dan pengetahuannya selari dengan pendapat umum atau ijma. Tidak wajib memakai kopiah, jubah atau tudung labuh untuk digelar sebagai orang yang alim lagi boleh dipercayai kata-katanya.

Sheikh Muszaphar umpamanya adalah merupakan orang yang sangat alim dalam bidangnya walaupun beliau tidak berkopiah dan berjubah kerana tidak ramai orang yang melanjutkan pelajaran dalam bidang ini dan diberikan peluang keemasan untuk ke angkasa lepas mengelilingi bumi.

Jika kuat beribadat sahaja menjadi ciri-ciri wajib untuk bergelar orang yang alim, sudah tentu umat Islam hari ini akan sesat kerana agama lain juga mempunyai pengikut yang kuat beribadat. Islam menjadi mulia kerana ia agama yang memuliakan ilmu dan mengangkat kebenaran. Islam bukan agama teori tetapi agama yang meraikan ilmu serta selari dengan penemuan saintifik, fitrah alam dan kejadiannya.

Nabi s.a.w. bersabda: “Keutamaan orang berilmu (alim) dari seorang yang ahli ibadah (‘abid) adalah seperti keutamaan bulan pada malam bulan purnama dari seluruh bintang. Sesungguhnya alim ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya (mewarisinya) maka berarti ia telah mengambil dengan bagian yang besar.” (HR: Tirmidzi, Ibnu Majah, Abu Dawud, dan dihasankan oleh Al-Albani dalam Al-Misykah)

Islam mengangkat tinggi ilmu dan mereka yang mempelajarinya. Hanya dengan ilmu barulah umat ini akan dimuliakan. Tanpa ilmu, umat ini akan hidup dalam kejahilan dan kegelapan.

Cendekiawan Islam dahulu seperti Al-Khwarizmi, Ibnu Sina, Al-Biruni dan lain-lain lagi adalah contoh individu Muslim yang beriman yang mahir dalam bidang masing-masing. Mengamalkan Islam tidak menjadikan kita umat yang ketinggalan jika semangat dan adab ilmu yang sebenarnya difahami serta dipraktikkan oleh umat Islam.




4. Self-appointed messenger

Kadang-kadang kita menjadi hairan bagaimana sesetengah individu masih boleh bernafas dalam kesesatan sedangkan selautan manusia termasuk orang-orang yang alim dalam bidangnya memberikan nasihat serta petunjuk.

Mereka mungkin mendapat sesuatu maklumat yang ekslusif atau rahsia dan dengan maklumat itu mereka merasa diri lebih istimewa daripada orang lain. Sedangkan maklumat itu mungkin sudah diketahui umum malah telah dikaji akan kebenarannya.

'Kelebihan' yang mereka miliki ini menjadikan mereka sombong dan bersikap sinis terhadap orang yang tidak sependapat dengannya. Mereka rasa diri mereka maksum, sentiasa betul dan sebarang pendapat yang bercanggah akan ditolak mentah-mentah secara nyata atau senyap.

Dengan ilmu ekslusif yang mereka miliki, mereka berasa seronok apabila terus-menerus mendapat perhatian ramai apabila bercerita mengenai teori-teori yang bercanggah dengan mainstream tetapi menarik untuk diperdengarkan.

Lama-kelamaan, mereka akan membentuk sistem kepercayaan sendiri dan rasa selesa dalam kepercayaan tersebut. Sebarang bentuk cubaan untuk mengubah kepercayaan mereka akan dianggap sebagai ancaman dan wajar diperangi habis-habisan.

Dalam dokumentari Behind the Curve yang berkisar tentang kumpulan Flat Earth di Amerika Syarikat, kehadiran individu-individu ini menjadi figura yang memberikan para pengikut harapan dan tempat mengadu. Dokumentari ini juga menerangkan dengan lebih lanjut urutan psikologi dan lojik akal yang membentuk kepercayaan mereka.

Einstein menyebut: “Any fool can know. The point is to understand.”



5. Taksub dan Jumud

Satu ciri yang berterusan dikaitkan dengan kumpulan ini adalah ketaksuban terhadap sesuatu idea atau seseorang sehingga menjadi jumud (beku, kaku, kolot). Ketaksuban ini adalah kerana mereka telah berasa selesa dengan sistem kepercayaan yang mereka bentuk sendiri dan ditambah pula dengan sokongan komuniti yang sefikrah dengan mereka.

Kehadiran individu yang menjadi messenger mereka dengan penampilan yang warak serta kata-kata yang manis membuatkan para pengikut mudah mempercayai sesuatu idea tanpa mengikuti adab dan landasan ilmu yang sewajarnya.

Kajian saintifik, gulungan ijazah dan pengalaman dicampak mudah-mudah hanya kerana ianya bercanggah dengan sesuatu idea yang sudah mereka anuti sebagai kepercayaan.

Lama-kelamaan mereka menjadi detached from reality atau hidup di alam lain. Mereka tidak mengambil endah cara hidup dan kepercayaan orang lain. Mereka berterusan merasa was-was dan prejudis terhadap orang yang tidak sependapat dengan mereka.

Kesimpulan

Kehadiran kumpulan dengan idea-idea ekstrem ini boleh memecah-belahkan umat dan menggagalkan usaha institusi yang memelihara kehidupan kita apabila mereka terus menyebarkan fahaman dan teori mereka.

Oleh itu, forum terbuka yang membicarakan tentang isu-isu ini adalah baik supaya kita boleh menilai sendiri sejauh mana kebenaran kefahaman mereka. Namun sebelum itu rakyat harus faham mengenai adab ilmu dan kriteria-kriteria yang menjadikan sesuatu maklumat itu sebagai fakta yang boleh diterimapakai. Para ilmuan juga harus menerima mereka dengan berhikmah dan tidak memulaukan mereka menjadi lebih jauh daripada masyarakat.

Wallahuálam.


Nota: Untuk mengetahui pandangan mufti dan ulamak mengenai teori flat earth, boleh baca artikel ini: https://tzkrh.com/bagaimana-kepercayaan-flat-earth-boleh-bermula/

Berikut adalah cebisan artikel tersebut:


وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ شَيْءٍ مَّوْزُونٍ

Maksudnya: Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya – (Surah al-Hijr 15:19)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di mentafsirkan (وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا) dengan maksud: Kami luaskan (lapangkan) bumi dengan seluas-luasnya agar manusia dan haiwan-haiwan seluruhnya dapat berjalan sampai ke segenap pelosok dan mencari rezeki-rezekinya, dan dapat tinggal di sudut-sudutnya.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, hlm. 1/347)

Perlu diingatkan bahawa apabila memahami ayat-ayat Al-Quran, ia perlu difahami secara menyeluruh dan bukan bergantung kepada sebahagian ayat sahaja. Kadang-kadang ayat daripada satu surah mempunyai keterangan lanjut dalam ayat yang lain pula.

Selain itu, kita perlu merujuk kepada keterangan daripada para pentafsir bagi memahami konteks ayat tersebut dengan lebih tepat. Contohnya dalam ayat di bawah, Allah ada menggunakan perkataan “يكور” yang apabila diterjemahkan membawa maksud ‘melingkar’.

خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ ۖ يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ ۖ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۗ أَلَا هُوَ الْعَزِيزُ الْغَفَّارُ

“Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya); dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, – tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.” (Surah Al-Zumar 39:5)


Berkata Ibn ‘Asyur dalam mentafsirkan kalimah (يُكَوِّرُ) dalam Surah al-Zumar ayat 5 di atas:

"Al-Takwir bermaksud menggulung dan melingkar. Dikatakan kawwara al-‘Imamah dengan maksud menggulung dan melilit serban. Diumpamakan takwir di sini dengan fenomena pertukaran siang ke malam pada satu bahagian di permukaan bumi, dan sebaliknya, secara bergilir seperti perbuatan melilit serban, iaitu pertukaran malam berlaku ke atas pertukaran malam yang sebelumnya.

Ini merupakan satu analogi yang unik dan boleh diterima, bahawa bumi itu ibarat bentuk kepala. Dan dianalogikan pertukaran siang dan malam ke atas bumi itu, ibarat pergerakan lilitan serban ke atas kepala yang bulat. Ini juga merupakan sebahagian daripada mu‘jizat saintifik al-Qur’ān. Kalimat takwir merujuk juga kepada kurrah yang bermaksud sfera, iaitu objek yang berbentuk bulat yang sama tiap penghujungnya.

Justeru bumi ini adalah sfera. Fakta ini tidak diketahui oleh bangsa Arab dan manusia, sehinggalah al-Qur’ān memberikan isyarat dengan dua elemen, iaitu pertukaran secara giliran iaitu gelap kepada terang atau malam kepada siang."

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.