SEBAB SEBENAR MENGAPA PAS BERUBAH MENURUT NIK ABDUH

umno-pas-648x320

Perubahan yang dimaksudkan adalah perubahan pendekatan politik.

Dalam artikel terdahulu yang mengulas panjang tentang halatuju PAS, saya telah mempersembahkan satu perspektif yang berbeza yang cuba menjelaskan mengapa PAS mengambil pendekatan untuk tidak bersama Pakatan Harapan dan membentuk pula blok ketiga iaitu Gagasan Sejahtera.

Saya juga telah jelaskan keputusan PAS untuk menjadi blok ketiga adalah bersandarkan beberapa justifikasi dan yang utamanya ialah berdasarkan Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS) yang menjadi asas kepada strategi pilihanraya PAS untuk PRU-14 iaitulah untuk menjadi ‘King Maker’ atau undi penentu yang akan mempunyai kuasa membuat keputusan walaupun sebagai minoriti. Bagaimana ianya boleh diterjemah di peringkat perlaksanaan, sama ada di pusat atau negeri adalah soal kedua.

Di samping itu, pendekatan ini telah membuka ruang untuk PAS mendekati penyokong dan pengundi UMNO dengan tujuan untuk mencuri sokongan mereka sekaligus memperkuatkan kedudukan PAS. Maka ceramah PAS hari ini bermodalkan sentimen perkauman dan agama. Saya jelaskan ada dua sentimen yang membangkitkan pas iaitulah sentimen anti-Islam dan sentimen Arab Spring.

Kemudian saya terdengar ceramah oleh Ustaz Nik Abduh (“UNA”) tentang perkara ini (boleh lihat ceramah beliau di bawah) di mana beliau menceritakan kronologi dari rekorder dan terjemahan PAS yang menjelaskan mengapa PAS mengambil pendekatan politik seperti yang diterangkan di atas. Beliau merumuskan ada 3 perubahan yang telah berlaku terhadap 3 parti di mana natijahnya adalah perubahan terhadap pendekatan politik PAS:

Perubahan Pertama: UMNO lebih dibenci oleh rakyat berbanding dahulu

Hujah dan buktinya adalah tertubuhnya Parti Bersatu yang dipelopori oleh Tun Mahathir di mana sebahagian orang UMNO sendiri sudah jatuh benci kepada UMNO lantas menyertai parti baharu ini. Mereka nekad untuk melihat parti yang sudah berusia 71 tahun ini terburai dan pupus untuk kini dan selamanya.

Dakwaan ini ada lojiknya namun lebih menyakinkan jika dapat dibuktikan nilai sokongan yang berkurangan ini melalui pilihanraya apabila UMNO dan Bersatu bertemu satu lawan satu. Ia juga boleh dibuktikan melalui pertambahan keahlian parti dari UMNO kepada Bersatu.

Perubahan Kedua: PAS lebih disayangi oleh rakyat berbanding dahulu

Hujah dan bukti yang diberikan oleh UNA ada dua. Pertama apabila akhbar banyak melaporkan berita mengenai PAS. Bagi saya ini adalah hujah yang sangat-sangat lemah kerana sebab mengapa akhbar melaporkan lebih banyak berita mengenai PAS tidak semestinya bermakna rakyat hari ini lebih sayang kepada PAS. Jadi saya tak mahu ulas panjang.

um-mufti-pahang-dapkafirharbi-24jun2016Sebab kenapa laporan sesuatu berita itu ada begitu banyak. Cuma saya nak nyatakan kita harus mempertimbangkan siapa yang menjadi tuan punya akhbar tersebut. Akhbar yang dimiliki oleh sesebuah parti politik pasti akan melaporkan berita yang membawa suatu agenda tertentu dan menguntungkan si tuan punya. Sebagai contoh Utusan Malaysia apabila melaporkan dan memainkan sentimen agama dan perkauman dalam isu RUU355 sebagai leverage dan survival politik UMNO.

Jika UNA hendak menjadikan laporan akhbar sebagai kayu ukur, maka kayu ukur yang paling tepat adalah prestasi jualan Harakah, iaitu lidah rasmi PAS. Jika lebih ramai rakyat lebih sayangkan PAS, maka sudah tentu rakyat ingin tahu berita PAS daripada sumber yang tepat dengan membeli Harakah. Namun, bagaimanakah prestasi Harakah pada hari ini?

Hujah kedua yang diberikan oleh UNA adalah persepsi UMNO terhadap PAS hari ini lebih mesra dan diterima. Bagi saya hujah beliau ada kekeliruan dalam membezakan antara sebab dan natijah. SEBAB kepada penerimaan dan kemesraan UMNO terhadap PAS adalah apabila PAS dan UMNO kini mempunyai lebih banyak titik persamaan, akibat daripada perubahan pendekatan politik PAS iaitu BPMS yang membuka ruang kerjasama dengan UMNO dalam beberapa perkara dan juga pengisytiharan PAS untuk menjadikan rakan tahalluf DAP dan PKR kini sebagai musuh. PAS dan UMNO kini berkongsi musuh yang sama. Maka NATIJAH kepada pendekatan ini adalah orang UMNO kini boleh bergaul dengan orang PAS dalam banyak perkara.  Bermakna, perubahan sikap penyokong  UMNO adalah natijah  kepada perubahan pendekatan politik PAS.

Perubahan Ketiga: DAP berubah untuk tidak lagi menerima Hudud PAS

Hujah UNA yang ketiga adalah perubahan dalam DAP di mana DAP dahulunya dikatakan boleh menerima Islam sehingga terbentuk kerjasama namun pada hari ini mereka menolak Islam. Namun dakwaan ini hampir 100% disandarkan kepada penolakan DAP terhadap usul RUU355. UNA mendakwa DAP tidak ikhlas dalam menyatakan sokongan mereka terhadap agenda Islam PAS. Beliau membawa contoh ucapan seorang pemimpin DAP yang dikatakan menzahirkan sokongan terhadap hudud PAS. Malangnya saya tidak jumpa ucapan yang dimaksudkan. Apa yang saya jumpa adalah kenyataan tegas DAP dengan prinsip parti yang tidak bersetuju dengan agenda hudud kira-kira lima tahun lepas.

Di sini ada fakta yang harus diperbetulkan. Berdasarkan prinsip dan perlembagaan parti, DAP sememangya tidak bersetuju dengan konsep negara Islam sejak dahulu lagi. Tetapi pada waktu itu kerjasama boleh terbentuk dan wujudnya PR kerana ada titik persamaan iaitulah untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrasi BN. Jika DAP adalah seorang manusia, maka perlembagaan parti adalah suara hatinya! Maka di sini timbul salah faham dalam mentafsir kerjasama politik yang dihulurkan oleh DAP, iaitu bukan sahaja kerana untuk menjatuhkan BN tetapi kerana DAP menyokong hudud sedangkan ia bertentangan dengan prinsip parti DAP yang sudah jelas bersuluh.

Pada hari ini titik persamaan itu sudah kabur malahan beralih pula kepada persamaan dengan UMNO. Titik persamaan ini dijelmakan melalui usul RUU355. Bagaimana usul RUU355 atau agenda hudud PAS ini boleh timbul setelah tertutup untuk sekian lamanya? Iaitulah apabila Jamil Khir memberikan ruang kepada PAS untuk usul ini dibawa secara persendirian. Kononnya, menurut UNA, adalah kerana UMNO sudah insaf dan takut kepada Allah. Bagi saya ini satu hujah yang sangat naif! Jika kita memahami proses penggubalan undang-undang di parlimen di mana UMNO, sebagai kerajaan yang memerintah boleh melaksanakan RUU355 pada bila-bila masa sahaja JIKA mereka benar-benar insaf dan serius. Proses ini telah diterangkan dengan jelas oleh pemimpin serpihan PAS sewaktu ia diusulkan oleh Jamil Khir. Namun kebimbangan mereka diabaikan dan ditafsirkan pula sebagai tidak wala’ kepada pemimpin. Maka kenyataan bahawasanya UMNO sudah benar-benar insaf ini membuktikan dengan jelas bahawa PAS telah dikeceh oleh Jamil Khir dan Najib melalui isu RUU355. UMNO untuk sekian kalinya telah mengggunakan isu hudud yang menjadi soft spot PAS untuk memecahkan pembangkang. Dan PAS telah termakan jerat yang sama untuk kesekian kalinya juga.

Bukti bahawa RUU355 ini hanya sekadar mainan politik UMNO terdapat begitu banyak sekali. Penangguhan demi penangguhan dan dimuktamadkan apabila BN secara konsensus menyatakan mereka tidak akan menyokong RUU355.

UNA juga mendakwa bahawa DAP telah dicucuk oleh UMNO untuk menentang RUU355. Bagi saya ini adalah dakwaan yang wajar namun ia boleh diagak kerana sememangya DAP pada dasarnya tidak bersetuju dengan agenda hudud namun membuat keputusan untuk berkerjasama atas dasar agree to disagree. Maksudnya, mereka tidak bersetuju dengan prinsip parti masing-masing namun boleh bersetuju untuk saling berkerjasama dalam menjatuhkan kerajaan BN. Dalam isu ini saya setuju yang DAP juga telah termakan jerat UMNO apabila keterlaluan melatah dan memberontak dengan usul yang hendak dibawa PAS. Namun bagi saya ianya sudah boleh dijangka kerana itulah pahaman dan anutan DAP sejak azali. Pendirian DAP tidak berubah dalam hal hudud ini.

Sentimen Anti-Islam

Sentimen anti-Islam adalah sentimen agama yang merupakan permainan politik semata-mata di mana ianya telah lama digunakan oleh UMNO untuk memecahkan penyatuan di kalangan pembangkang. Kenapa ianya dikatakan mainan politik? Kerana ia hanya digunakan terhadap DAP, walhal sentimen ini wujud secara menyeluruh menjangkau parti di mana orang-orang MCA dan MIC juga boleh dilihat sebagai anti-Islam apabila menentang RUU355 dan mengakibatkan ia ditolak secara konsensus oleh Kerajaan BN.

Hakikatnya, penentangan orang Islam terhadap sesetengah isu agama lahir daripada Islamophobia, iaitulah misrepresentation berkenaan fahaman Islam yang lahir daripada kelakuan dan kata-kata segolongan kecil ekstremis agama dan ekstremis bangsa yang menyalahi prinsip-prinsip agama Islam yang syumul. Islamophobia menimbulkan rasa takut dan benci terhadap Islam dan stereotyping akan menyebabkan phobia ini bertambah teruk kesannya.

Agenda Memartabatkan Islam

Apabila Islam dilihat semata-mata hudud, maka natijahnya adalah tafsiran yang sempit dan menyebabkan salah faham terhadap prinsip-prinsip agama. Malah ia telah menyebabkan berubahnya pendekatan politik PAS yang kini menjadi batu penghalang kepada jatuhnya Kerajaan BN dalam PRU-14. Saya nak tegaskan di sini, sebagai orang Islam, agenda hudud harus disokong 100% kerana ia menjadi soal akidah. Adapun perbezaan pendapat tentang bagaimana dan bila ia terlaksana melalui kuasa politik bukanlah soal akidah tetapi khilaf dalam soal siyasah.

Dalam sistem demokrasi di negara ini, agenda hudud atau pemerkasaan undang-undang hanya boleh dilaksanakan oleh Kerajaan yang memerintah dengan sokongan ahli parlimen. Agenda hudud juga harus diberikan timbang tara yang sewajarnya (dari segi perlaksanaan) setelah melihat kepada komposisi umat Islam di dalam sesebuah negara tersebut agar ia diterima umum dan perlaksanaannya akan membuahkan hikmah dan bukannya mafsadah (kerosakan). Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan komposisi umat Islam hanya sekitar 60%, agenda hudud dalam perihal memberikan kefahaman yang jelas tidak dapat tidak perlu melibatkan orang bukan Islam agar tidak timbul penentangan buta tuli dan kekeliruan yang tambah mengusutkan.

Islam adalah agama yang luas dan tidak hanya semata-mata hudud. Prinsip-prinsip lain seperti berlaku adil, amanah dan berkebajikan adalah prinsip agama yang menyentuh konsep kenegaraan Islam. Prinsip-prinsip ini adalah merupakan batu asas yang sangat penting untuk diperkasakan sebelum hukum-hukum Islam dapat dilaksanakan dengan adil dan hikmah agar terpancar keindahan Islam itu sendiri. Barulah Islam itu menjadi agama yang rahmah untuk sekalian alam, tidak kira sama untuk orang Islam ataupun untuk orang bukan Islam.

KESIMPULAN

UNA mendakwa bahawa PAS berubah kerana UMNO dan DAP telah berubah berdasarkan hujah-hujah yang dibawanya dengan membawa perumpamaan seorang ayah yang berubah sikapnya apabila anak-anak meningkat dewasa. Namun seperti yang saya ulas satu-persatu, perubahan yang dikatakan oleh UNA itu adalah merupakan salah tafsir politik seperti berikut:

  1. DAP tidak pernah menerima hudud PAS seperti yang didakwa oleh Nik Abduh dan ianya selari dengan prinsip parti yang jelas dan tidak tersembunyi; dan
  2. UMNO BN tidak ikhlas atau insaf untuk melaksanakan hudud seperti yang didakwa oleh Nik Abduh apabila mempelawa PAS untuk membawa usul persendirian. Ini kerana jika UMNO benar-benar ikhlas dan takutkan Allah, maka mereka selaku Kerajaan lah yang berkuasa menggerakkan usaha untuk memartabatkan mahkamah syariah dan membawa usul ini ke parlimen. Ia terbukti merupakan permainan politik apabila usul ini ditangguh-tangguh perbahasannya dan BN secara sebulat suara telah menolak untuk menyokong RUU355. Dalam hal hudud ini, UMNO bukanlah parti yang boleh diharapkan kerana UMNO tidak mahu BN kalah akibat kehilangan deposit kerusi parlimen yang besar terutamanya daripada Sarawak.

Hakikatnya, DAP dan UMNO tidak berubah sama sekali dalam isu hudud. Yang berubah adalah strategi PAS dalam melaksanakan hudud dan ianya berpunca dari permainan politik dan sentimen anti-Islam yang dimainkan oleh UMNO. Hujahan UNA untuk menghalalkan pemecahan undi 3 penjuru adalah lemah kerana meletakkan kesalahan kepada pihak lain!

Perubahan PAS telah diterjemahkan dan dibuktikan melalui penganutan BPMS di mana PAS memilih untuk melebihkan senyuman kepada UMNO. Pendekatan ini bagi saya adalah pendekatan yang matang dan jauh ke hadapan namun masanya adalah sangat tidak sesuai iaitu dalam ketika negara menuntut perubahan untuk meruntuhkan monopoli politik BN buat julung-julung kali. Namun perubahan dan harapan ini terkubur dengan terbentuknya blok ketiga yang sudah pastinya akan memecahkan undi pihak yang membangkang Kerajaan dan membantutkan proses kematangan sistem demokrasi di Malaysia.

Segala-galanya berpunca daripada persepsi dan sentimen anti-Islam yang telah berjaya digerakkan oleh Jamil Khir dan Najib melalui isu hudud. Ia adalah senjata ampuh yang telah digunakan berkali-kali oleh UMNO apabila ia sedang nazak. Dan ternyata UMNO berjaya dalam strategi mereka apabila kini pakatan pembangkang bergaduh dan berpecah. Di sini saya tidak menyalahkan PAS 100% tetapi turut menyalahkan DAP dan Amanah yang juga telah termakan jerat UMNO apabila mereka membuat keputusan untuk bermusuhan dengan PAS. Dalam hal ini, saya setuju tidak wajar PH mengumumkan untuk bertanding bagi menjatuhkan Kerajaan PAS di Kelantan yang sememangnya sudah menjadi negeri pembangkang. PH boleh bertanding di kerusi parlimen namun biarlah PAS bertanding satu lawan satu dengan UMNO di peringkat negeri.

Bagi saya masih belum terlewat untuk mengajak PAS bersama PH kerana saya lihat masih banyak titip persamaan di antara PAS dan PH. Namun demikian, untuk direalisasikan, hak dan prinsip parti masing-masing haruslah dihormati dan diselesaikan dengan berhikmah.

Abe: Teringat ke Almarhum TGNA apabila lihat UNA berucap

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.