nurul izzah tiada paksaan dalam agama islam

“Maka seharusnya YB lebih berhati-hati. Jika tidak, lebih banyak surat-surat pembaca seperti ini yang akan dihantar dan suara-suara sumbang agama-agama baru seperti agama hak asasi dan agama atheis pasti akan lebih lantang kedengaran…”

Saya agak tersentak dengan reaksi yang timbul akibat kenyataan yang telah dibuat oleh YB Nurul Izzah mengenai topik kebebasan agama. Saya sangat faham akan apa yang cuba YB katakan dan bagi saya reaksi melulu ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana media yang memutarbelitkan kenyataan beliau.

Saya sangat faham tentang apa yang YB cuba sampaikan iaitu tiada paksaan dalam agama, walaupun untuk orang-orang melayu, di mana Melayu itu tidak semestinya beragama Islam. Apa yang YB cuba sampaikan itu adalah lanjutan kepada apa yang telah berlaku kepada 4 pelajar orang Asli yang bukan beragama Islam yang DILEMPANG kerana tidak membaca doa. Betullah apa yang YB itu cakap dalam konteks umum, iaitu sesiapa sahaja tidak kira bangsa tidak boleh dipaksa untuk memeluk agama Islam. Cuma dalam konteks negara kita, umum mengetahui kebijaksanaan Dajjal Kecil mentakrifkan Melayu sebagai Islam (MELAYU = ISLAM) walhal kita semua tahu itu adalah tidak benar. Dan YB telah tegaskan bahawa bagi yang sudah beragama maka mereka terikat dengan peraturan agama masing-masing.

Islam Hak Ekslusif Melayu?

Kebijaksanaan Dajjal Kecil ini terbukti sehingga ke hari ini agama Islam tidak dapat berkembang di luar kerangka bangsa Melayu walaupun negara hari ini diperintah oleh orang Islam yang mengakui bahawa Islam itu agama rasminya. Malang sekali, agama Islam menjadi hak milik ekslusif bangsa Melayu dan tidak dapat berkembang seluas-luasnya malahan yang ada pula ramai tersungkur dan murtad, semua ini kerana kebijaksaan Dajjal Kecil mentakrifkan Melayu itu adalah Islam.

Walhal kita semua sedia maklum mana mungkin Melayu itu mesti Islam. Ada melayu yang lahir sebagai orang Asal beragama nenek moyang. Ada juga Melayu yang bukan Islam tetapi mengetuai bahagiannya dalam sebuah parti Melayu-Islam. Ada juga Melayu yang mengaku Islam tetapi memusuhi hukum-hukum agama. Dan ada ramai Melayu yang tidak solat bertahun-tahun walaupun mengaku sebagai orang Islam. Jadi, mana mungkin Melayu itu mesti Islam dan Islam itu mesti Melayu. Islamnya seseorang itu sudah jelas, dan garis pemisah antara iman dan kufur itu adalah sangat jelas seperti perbezaan siang dan malam. Allah SWT berfirman:

لا إِكراهَ فِى الدّينِ ۖ قَد تَبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَىِّ ۚ فَمَن يَكفُر بِالطّٰغوتِ وَيُؤمِن بِاللَّهِ فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ لَا انفِصامَ لَها ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(256) Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Al-Baqarah: 256)

Ini terbukti walaupun setelah 55 tahun merdeka, walaupun telah banyak jabatan dan agensi agama yang telah ditubuhkan, walaupun ramai pendakwah (berbahasa melayu) yang telah tampil ke hadapan, namun bangsa-bangsa lain di negara Malaysia semakin jauh daripada Islam. Sejak merdeka, kita dapati lebih ramai Ah Chong yang menjadi James Chong, atau Alvin Chong (atau Steve Oh yang menulis surat di bawah ini) daripada Ah Chong yang menjadi Adam Chong atau Ibrahim Chong. Semua ini kerana apa? Kerana sikap bangsa Melayu itu sendiri (ATTITUDE). Jadi jangan salahkan usaha agama lain yang juga mempunyai tanggungjawab berdakwah tetapi salahkan sekumpulan bangsa kita yang berfikiran sempit dan kolot. Salahkan diri kita yang tidak menjadi contoh yang baik kepada agama kita. Allah telah mengamanahkan Islam kepada bangsa Melayu sebagai ‘utusan’ di perantauan ini, maka jawablah di akhirat kelak apa yang telah kita lakukan dalam menyampaikan ajaran ini kepada manusia lain yang bukan berbangsa melayu.

“Ada melayu yang lahir sebagai orang Asal beragama nenek moyang. Ada juga Melayu yang bukan Islam tetapi mengetuai bahagiannya dalam sebuah parti Melayu-Islam. Ada juga Melayu yang mengaku Islam tetapi memusuhi hukum-hukum agama. Dan ada ramai Melayu yang tidak solat bertahun-tahun walaupun mengaku sebagai orang Islam...”

Kenyataan Pahit

Berbalik kepada kenyataan YB Lembah Pantai dalam forum bertajuk “Islamic State: Which version? Whose responsibility?” tersebut, secara jujurnya saya merasakan bahawa YB bukanlah orang yang layak untuk mewakili umat Islam di malaysia ini di hadapan audience di Subang Jaya tersebut. Amatlah buruk natijah daripada apa yang cuba diperjelaskan oleh YB kerana umum memahami ucapan beliau sebagai satu pembaharuan yang baik dalam isu kebebasan beragama di Malaysia. Seperti surat pembaca di Malaysiakini ini, yang melihat kenyataan YB Nurul sebagai satu nafas baru dalam usaha memperjuangkan hak asasi total tanpa sempadan di Malaysia dan penulis tersebut mengambil peluang ini untuk menghentam habis-habisan orang-orang Melayu yang beragama Islam. Saya percaya penulis itu pasti terkejut jika dia bertanyakan pendapat ulamak di dalam PAS dan menerima jawapan yang sampir serupa seperti melayu-melayu dalam kerajaan yang dihentamnya. Ini kerana penulis itu salah faham dengan apa yang YB Lembah Pantai cuba sampaikan mengenai “NO COMPULSION IN ISLAM”…

The Malaysiakini report on Nurul Izzah Anwar's statement that there should be no compulsion in religion even for Malays is a watershed idea for the nation.

This poignant truth surpasses even the remarkable observation made by former Malaysian Prime Minister Abdullah Ahmad Badawi on the country's "first rate infrastructure and third world mentality."

It shows that Malaysian leaders know what's wrong with their country but do they have the moral courage and political capability to right the wrongs?

I am sure Nurul Izzah and her political coalition will win many votes if she makes her suggestion a key policy in their political manifesto.

It will bring Malaysia in line with contemporary values of human rights because the Malays are still a bonded people, controlled by all sorts of rules and regulations that exempt other Malaysians…

Baca selanjutnya di sini

YB Lembah Pantai sepatutnya berwaspada dalam menjawab soalan agama bagi mengelakkan kekeliruan kerana beliau bukanlah orang yang alim tentang isu yang cuba dibincangkan. Masyarakat umum non-muslims hari ini melihat YB sebagai role-model yang sesuai untuk mewakili belia melayu Islam yang bebas pemikirannya dan berani. Maka seharusnya YB lebih berhati-hati. Jika tidak, lebih banyak surat-surat pembaca seperti ini yang akan dihantar dan suara-suara sumbang agama-agama baru seperti agama hak asasi dan agama atheis pasti akan lebih lantang kedengaran. Saya sudah melihat sendiri video penuh ucapan beliau dan memang benar beliau tidak ada mengatakan tentang kebebasan murtad untuk orang Islam namun media telah memutar-belitkan kenyataan beliau dan ditambah pula dengan mindset Melayu itu mesti Islam, maka keadaan kecoh inilah yang kita saksikan.

Inilah cabaran yang perlu dihadapi terutamanya oleh pimpinan PAS sebagai parti yang mewakili bijak pandai agama di dalam Pakatan Rakyat. Kenyataan TGNA juga tidak mencukupi dan seolah-olah hanya mengabaikan sahaja apa yang terlepas daripada mulut YB Lembah Pantai apabila dengan mudah menolak akhbar yang melaporkannya atas alasan akhbar itu kuat menipu. Walhal bukan akhbar itu sahaja yang melaporkannya. Malahan yang pertama kali melaporkannya adalah Malaysiakini. Begitu juga nasib yang telah menimpa Dr. Asri apabila cuba mempertahankan YB Nurul Izzah. Tidak semena-mena The Malaysian Insider menyimpulkan Dr. Asri sebagai menyokong orang Melayu memilih agama masing-masing (murtad).

Memang tidak adil kita menghukum YB Nurul Izzah kerana beliau tiada niat seperti yang telah difitnah oleh media massa (dan beliau telahpun mengambil tindakan undang-undang untuk menyaman akhbar-akhbar yang cuba menggambarkan seolah-olah beliau menyokong murtad). Saudara dan saudari boleh melihat sendiri video ucapan beliau bermula di minit yang 9:00. Sikap media dan individu yang lekas melatah lantas mengambil kesempatan ini untuk memperoleh ‘political mileage’ menunjukkan sifat sebenar mereka. Mereka lah yang sebenarnya menggunakan agama untuk kepentingan politik masing-masing.

Sesungguhnya saya memuji kesungguhan dan keberanian Nurul Izzah untuk berdakwah dan menerangkan tentang Islam. Namun ini seharusnya menjadi pengajaran kepada beliau supaya lebih berhati-hati di masa hadapan di mana audience datang daripada pelbagai latar belakang. Kerana reaksi-reaksi yang timbul seperti surat pembaca di Malaysiakini (dan reaksi yang terbaru daripada Bar Council) tersebut adalah sangat merbahaya dan boleh mengancam kedudukan agama Islam di negara kita.

Tiada Paksaan Dalam Agama

Adapun tafsir daripada ayat “no compulsion in Islam” yang lebih tepat adalah seperti yang dijelaskan oleh Dr. MAZA di bawah:

Firman Allah (maksudnya):

“Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Maka sesiapa yang tidak mempercayai taghut serta beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada pegangan yang teguh, dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”

(Surah al-Baqarah ayat 256).

Ayat ini diturunkan kepada golongan Ansar di mana dalam kalangan mereka mempunyai anak-anak yang telah diyahudi atau dikristiankan. Apabila Islam datang, mereka ingin memaksa anak-anak mereka menganut Islam, maka Allah melarang mereka berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan. Lalu diturunkan firmanNya tadi…

(Dr. MAZA)

(tiada paksaan walaupun untuk bangsa arab sendiri dari golongan Ansar")

Dan jika kita buka fikiran sempit kita dan dihayati ruh Islam yang sebenarnya sewaktu ia mula-mula berkembang, Islam bermaksud ‘submission” dan “peace”,  maka di sini kita akan faham tentang apa yang dikatakan mengenai ‘tiada paksaan’. Dan sesungguhnya hidayah itu adalah milik Allah semata-mata. Wallahu’alam…

 

Artikel lain yang berkenaan:

Mudahkan Pendekatan Islam, Jangan Eksklusifkannya

Let There Be No Compulsion in Religion

 

Susulan Dan Kemaskini

15 cops visit Malaysiakini over reader's letter

Presiden UMNO Benarkan Murtad Pada Tahun 2007

Tyranny of the Commonplace Mind

‘I am disappointed with Nurul’

Himpunan bantah Nurul Izzah, fitnah - Nasrudin 

 PAS 'membisu' tentang kenyataan Nurul Izzah

Abe: bukan muslim liberal tetapi muslim ahli sunnah wal jamaah.

Blog ini adalah sebuah blog peribadi, dilindungi oleh Creative Commons © 2015 |