Malaysia Bukan Negara Sekular (Dan Bukan Juga Negara Islam)

Islam atau sekular

Saya tertarik dengan satu artikel di Utusan Online yang membincangkan mengenai agama yang “dianut” oleh negara kita. Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai DAP yang sempat disentuh oleh penulis di penghujungnya tetapi saya tertarik untuk bersetuju dan tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dikongsikannya.

Perdebatan mengenai sama ada Malaysia ini sebuah negara Islam atau sebuah negara sekular memang sudah agak lama berlarutan. Pelbagai tokoh telah membahaskannya. Mufti-mufti, ulamak, pakar sejarah, hakim dan peguam dan lain-lain semuanya telah melontarkan pandangan masing-masing. Namun seolah-olah tiada kata putus yang dapat kita simpulkan daripada perbahasan mereka.

Berbalik kepada artikel tersebut, secara umumnya ada yang saya setuju dan ada yang saya tidak setuju. Malaysia sememangnya bukan negara sekular. Melabel negara tercinta ini sebagai sebuah negara sekular adalah suatu tuduhan yang ekstremis dan generalis. Dan Malaysia juga bukanlah sebuah negara Islam yang mengamalkan Islam secara syumul. Islamnya negara kita ini umpama “Islam Mykad” yakni Islam pada namanya sahaja. Kerana Islamnya negara itu ditentukan dengan sistem pemerintahannya sebagai sebuah negara yang berkerajaan.

Kita kena akui bahawa proses menegakkan sistem khilafah masih tertunggak. Perjalanan kita masih jauh dan sebagai  1Umat kita tidak boleh leka dibuai nikmat istidraj. Islam juga hanya menjadi salutan (Islam plastik) kerana banyaknya kegiatan maksiat yang berleluasa di dalam negara dan raja hanyalah simbol kerana tidak berkuasa penuh terhadap kerosakan demi kerosakan yang berlaku di dalam negara.

Pelbagai ideologi-ideologi songsang juga sudah menular dalam pemikiran-pemikiran pegawai-pegawai kita. Ideologi sekular yang mengasingkan agama dalam hal-hal pentadbiran dan penentuan dasar sememangnya sudah berleluasa di dalam negara sehingga orang telah melabel negara ini sebagai sebuah negara sekular.

Namun kita kena akui bahawa sudah termaktub di dalam perlembagaan kita Islam sebagai agama rasmi, tinggal hanya diri kita sahaja yang mesti menghidupkan agama dalam kehidupan masing-masing. Baik kehidupan peribadi mahupun dalam kerjaya dan bidang masing-masing, usaha menerapkan dan menghidupkan Islam haruslah berterusan dengan harapan Islam di negara ini dapat diamalkan secara syumul dan akhirnya membentuk sebuah negara islam ideal yang diidam-idamkan. Yang paling penting yang harus diingat ialah proses ini bermula dengan diri kita sehinggalah masyarakat itu bersedia untuk proses seterusnya.

Begitulah pandangan cetek saya mengenai kedudukan Islam sebagai agama kita yang tercinta di negara kita yang turut kita cintai.. Di bawah ini adalah artikel yang dimaksudkan dan lain-lain artikel turut dikongsikan untuk penilaian masing-masing.

Malaysia Bukan Negara Sekular

Oleh: DR. MARZUKI MOHAMAD - Penolong Profesor di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

JIKA diteliti kandungan Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa undang-undang tertinggi negara kita tidak berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular.

Islam diiktiraf sebagai Agama Persekutuan, Raja-raja Melayu dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, wang negara boleh dibelanjakan untuk tujuan pendidikan Islam dan penyelenggaraan institusi-institusi Islam, malah wang pungutan zakat dikira sebagai hasil negara.

Selain itu, pendidikan Islam diajar sebagai mata pelajaran wajib untuk pelajar-pelajar beragama Islam di sekolah-sekolah kerajaan, latihan untuk guru-guru pendidikan Islam disediakan oleh kerajaan, undang-undang syariah dilaksanakan oleh mahkamah syariah yang merupakan sebahagian daripada institusi kehakiman negara, hakim-hakim mahkamah syariah adalah penjawat awam yang dibayar gaji oleh kerajaan, dan banyak lagi perkara lain yang mengaitkan agama Islam dengan dasar kerajaan dan institusi negara. Kesemua ini dilaksanakan di bawah lembayung Perlembagaan.

Dalam sebuah negara sekular, tidak mungkin dana negara digunakan secara langsung untuk kebajikan umat Islam. Tidak mungkin juga sistem kehakiman Islam dan pendidikan Islam menjadi sebahagian daripada sistem negara, dan undang-undang syariah dilaksanakan oleh penjawat-penjawat awam.

Di bawah Perlembagaan negara kita, kesemua ini dibenarkan. Pelaksanaannya tidak bercanggah dengan Perlembagaan, malah selari dengan hasrat Perlembagaan.

Di Malaysia, tidak berlaku pemisahan antara agama dan negara secara total. Ciri penting negara sekular ini tidak wujud di Malaysia. Maka sah Malaysia bukan negara sekular seperti yang ditegaskan oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Parlimen baru-baru ini.

Tetapi mengapa masih ada pihak yang beria-ia ingin mengatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular?…

Baca artikel penuh di:  http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121030/re_01/Malaysia-bukan-negara-sekular

 

Artikel-artikel lain yang berkenaan:

1. Malaysia Bukan Negara Sekular

2. Salah tanggapan mengenai kedudukan Islam punca Malaysia dianggap negara sekular

3. Sepuluh Salah Tanggapan Terhadap Kedudukan Islam Di Malaysia

4. Malaysia – Negara Islam Atau Sekular?

5. The fact that we are a secular nation

Secular nation

Abe: Yang penting kita jaga diri dan keluarga dulu sebelum kita berbahas dan berkokok dalam mempertahankan idea masing-masing. Kalau jenis pakai rantai, pakai gelang, tak solat, tak tutup aurat dsbnya, tapi dialah yang paling lantang nak pertahankan bangsa dan agama, hentikanlah dan lebih baik diam dulu dan perbanyakkan mendengar kuliah agama. Pertahankan iman dan amal kamu dulu sebelum nak membetulkan orang lain. Kerana jika diri kamu tidak betul, kamu hanya akan menyesatkan orang lain.

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.