7 Wasiat Raja-Raja Melayu 

Dalam beberapa hari di kebelakangan ini, kita dihidangkan dengan banyak kenyataan-kenyataan akhbar (malahan ada yang jadi front page news!) oleh beberapa pemimpin Umno dan NGO yang menuduh DSAI sebagai pengkhianat Melayu kerana menjadi punca kepada pelbagai masalah dalam negara ini walaupun beliau berada di luar daripada barisan kerajaan yang memerintah pada hari ini, iaitu Kerajaan Barisan Nasional.

Antara masalah-masalah yang paling kerap dirujuk oleh mereka adalah masalah perpecahan di kalangan orang Melayu, walhal kita sedia maklum yang perpecahan kerana ideologi dan pandangan yang berbeza itu adalah lumrah dalam kehidupan manusia sejak zaman berzaman. Perpecahan juga boleh membawa maksud persatuan yang sedang terbina dari kalangan kelompok yang tidak sehaluan tersebut. Apabila persatuan itu terbina di atas dasar-dasar yang munasabah dan relevan seperti memperjuangkan hak-hak kemanusiaan dan menentang kerajaan yang zalim, maka perpecahan yang dianggap sebagai satu keburukan itu akan menjadi satu kebaikan pula apabila masyarakat secara keseluruhannya mendokong ideologi yang berbeza tersebut.

Laungan pengkhianatan Anwar yang dikatakan berpunca daripada perjuangan peribadi beliau ini (yang mendorong kepada ‘perpecahan’ idea) adalah merupakan satu Mitos Perpecahan Melayu yang paling hebat dalam sejarah politik tanah air sejak zaman komunis.

Berikut saya kepilkan bersama beberapa tajuk berita terbaru yang menuduh DSAI sebagai pengkhianat Melayu yang dibuat secara terbuka:

Anwar Pengkhianat - 03/08/09 – Utusan Meloya
Perwakilan Umno JB laung 'Anwar pengkhianat bangsa' - 09/08/09 – Malaysiakini
Muhyiddin Beri Amaran Mengenai Pengkhianat Bangsa - 10/08/09 – Bernama
NGO Sokong Kenyataan Muhyiddin Bahawa Anwar Pengkhianat 10/08/09- Bernama

Kita dah baca, kita dah dengar, dan kita sedia maklum akan betapa bencinya parti Umno kepada Anwar sehingga pemimpin-pemimpinnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan seperti yang di atas. Saya minta rakan-rakan yang dihormati sekalian agar berlaku adil kepada pihak yang tertuduh (secara terbuka, memalukan ini) dengan meluangkan masa untuk mendengar pula penjelasan dari Anwar sendiri dalam beliau sedang diserang dari segenap penjuru media kerana kita adalah rakyat yang bijak dan berpendirian.

Pertama: Kenyataan Media Menjawab Fitnah Isu Pengkhianatan
Kedua: Ceramah Perdana Memperjelas Isu di Kg Baru

Bagi saya, Surat Terbuka Buat Raja Nazrin oleh chegubard yang menjadi artikel pilihan kali ini sudah cukup menperjelaskan isu pengkhianatan yang tiba-tiba meletus sejak berita muka depan sebuah akhbar pro-UBN pada 3 Ogos yang lalu.

Berikut saya petik isi kandungan surat terbuka tersebut:

7 penyelewengan UMNO yang mengkhianati 7 Wasiat Raja-Raja Melayu sepanjang pemerintahan BN

PERTAMA: Kerana persepakatan Umno dan keghairahan Umno untuk dijadikan pewaris negara ini dari penjajah, Umno telah menggagalkan usaha serius sekumpulan besar rakyat tanah ini untuk menjadikan negara ini merdeka sebagai negara bangsa yang lebih bersatu padu. Perlembagaan Rakyat yang diketengahkan oleh AMCJA - PUTERA telah disabotaj , digagalkan dan difitnah oleh Umno bagi pihak British yang tidak mahu negara ini menjadi negara bangsa yang kuat. Maka negara ini terpaksa akur dengan kemerdekaan 'kurniaan British' dan mewarisi dasar pecah perintah yang sehingga hari ini menjadikan kita lemah.

KEDUA: British selaku penjajah telah mengistiharkan Kanun Tanah yang mengandungi Akta Tanah Rizak Melayu. Ketika British mengistiharkan tanah rizab ini sebanyak lebih kurang 7 juta hektar telah digazetkan sebagai Tanah Rizab Melayu. Tahun 1957, British menyerahkan negara ini kepada pewarisnya iaitu Regim Umno dengan bilangan tanah rizab Melayu yang masih 7 juta hektar. Namun kini hanya tinggal lebih kurang bawah 4 juta hektar tanah rizab Melayu yang masih tinggal. Itupun kebanyakan sudah berpindah milik kepada segelintir Melayu kaya dan berkepentingan politik.

KETIGA: Wasiat ketiga ini juga dicabuli. Pertahanan Negara jelas goyah apabila pemimpin regim ini memilih untuk menjadi hamba kepada kuasa asing. Pertahanan negara masih bergantung dengan Amerika, pembelian peralatan perang yang melibatkan rasuah telah membahayakan keselamatan negara kerana peralatan yang tidak setara malah turut menyebabkan perajurit negara mati ketika latihan bukan ketika perang kerana mengendalikan peralatan perang yang usang dan tidak berkualiti. Malah tuanku rekod menyatakan Pemimpin kanan regim ini juga terlibat dalam menyerahkan tanah milik negara ini kepada negara asing dengan sewenang wenangnya. Itu belum masuk lagi kisah bagaimana periuk nasi negara ini (BERNAS) kini sudah menjadi milik pedagang asing dari Hong Kong.

KEEMPAT: Merujuk kepada perihal Kedaulatan Raja - raja Melayu menang telah dijanjikan dalam perlembagaan namun regim Umno Bn yang menguasai 2/3 parlimen negara telah meminda perlembagaan ini dengan menghakis kuasa Raja - raja Melayu. Masih ingatkah Tuanku dengan penghinaan TV3, Utusan dan lain media milik Umno yang menghina dan mengaibkan Raja Melayu semata untuk mempengaruhi rakyat untuk meminda perlembagaan pada tahun 1994 demi menghakis kuasa Raja Melayu.

KELIMA: Sememangnya Islam masih kekal sebagai agama Persekutuan namun kegagalan regim pemerintah menjaga keharmonian Islam amat menyedihkan. Malah Islam dipermainkan sendiri dalam ucapan pemimpin regim ini, khususnya ketika zaman era Mahathir Mohamad. Insitusi masjid, agihan zakat dan bantuan Baitulmal semuanya dipolitikkan sehingga penghormatan kepada institusi agama seumpamanya makin terhakis.

KEENAM: Bahasa Melayu sudah hilang maruah akademiknya. Institut Pengajian Tinggi bangga menggunakan bahasa penjajah sebagai pengantara. Di Peringkat menengah dan rendah mujur rakyat berani bangkit berdepan belantan, gas dan air kimia Polis regim ini maka kemungkinan pengajaran Sains dan Matematik akan dikembalikan semula dalam bahasa Melayu. Tulisan jawi pusaka bangsa telah lama mati......ini semua kerana pengkhinatan regim ini.

KETUJUH: Hak istimewa orang Melayu dan bumiputera makin terhakis, bukan kerana dirampas oleh kaum lain tetapi diseleweng oleh bangsa sendiri melalui pengaruh politik regim. Regim ini menggunakan istilah hak bumiputera atau dasar ekonomi baru telah mengaut keuntungan bagi pihak mereka dan keluarga serta kroni mereka atas nama kuota Melayu sedangkan majoriti Melayu masih susah dan melarat. Memang yang kaya melayu tetapi yang kaya sangat kaya dan yang majoriti masih payah di bawah sini.

 

7 Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957:

1.Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu .

2.Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

3.Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

4.Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.

5.Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

6.Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

7.Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

 

 

Abe: lebih baik kita hayati 7 wasiat Rasulullah SAW

Dari Abu Dzar ia berkata; “Kekasihku (Rasulullah SAW) berwasiat kepadaku dengan tujuh hal: (1) Supaya aku mencintai orang-orang miskin dan dekat dengan mereka (2) Baginda memerintahku agar aku melihat orang-orang yang di bawahku dan tidak melihat orang yang berada di atasku (3) Baginda memerintahkan agar aku menyambung silaturahim dengan karib kerabat meski mereka berlaku kasar kepadaku (4) Aku diperintahkan agar memperbanyak ucapan La haula walaa quwwata illa billah (5) Aku diperintahkan untuk mengatakan kebenaran meskipun pahit (6) Baginda berwasiat agar aku tidak takut celaan orang yang mencela dalam berdakwah kepada Allah (7) Baginda melarang aku agar aku tidak meminta-minta sesuatu kepada manusia.”

(HR: Ahmad)

Blog ini adalah sebuah blog peribadi, dilindungi oleh Creative Commons © 2015 |